📝 Ringkasan
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menggalakkan alumni UTM di Terengganu untuk menjadi agen perubahan dalam menghadapi cabaran global. Beliau menekankan bahawa hubungan antara UTM dan alumni tidak berakhir selepas konvokesyen, tetapi terus berkembang sebagai komuniti sepanjang hayat. Alumni di Terengganu memegang pelbagai kedudukan strategik dalam pentadbiran, pendidikan dan pembangunan negeri.
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos 2026 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat UTMAlumni terus memperkukuh hubungan dengan komuniti alumninya menerusi penganjuran UTM Alumni Connect: Sepetang Bersama Naib Canselor dan Alumni Terengganu yang menghimpunkan seramai 60 alumni UTM di The Langit Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu.
Program yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menjadi platform untuk universiti mendekati alumni, berkongsi perkembangan serta pencapaian terkini UTM, di samping menyampaikan hala tuju strategik universiti dalam merealisasikan aspirasi UTM ASCEND 2030.
Dalam perkongsian beliau, Prof. Mohd Shafry menegaskan bahawa hubungan antara UTM dan alumni tidak berakhir selepas konvokesyen, sebaliknya terus berkembang sebagai sebuah komuniti sepanjang hayat. Alumni merupakan aset strategik dan duta terbaik universiti, manakala kejayaan sesebuah universiti bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan penyelidikan, tetapi juga melalui impak graduannya kepada masyarakat.Â
“UTM kini mempunyai 257,881 alumni, merangkumi 243,413 alumni di Malaysia dan 14,468 alumni antarabangsa di 104 negara. Mereka berkhidmat dalam pelbagai sektor sebagai pemimpin kerajaan, tokoh korporat, jurutera, usahawan, penyelidik, ahli akademik dan pemimpin masyarakat. “, ujar beliau dalam ucapannya.
Terengganu merupakan antara negeri yang mempunyai jaringan alumni UTM yang membanggakan, dengan graduan universiti memegang pelbagai kedudukan strategik dalam pentadbiran, pendidikan dan pembangunan negeri.
Antaranya ialah YB Dato’ Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Setiausaha Kerajaan Terengganu; Tuan Haji Lizan Che Mat, Datuk Bandar Kuala Terengganu; Tuan Anuar Mohd Azlan, Timbalan Pengarah (Pembangunan), JKR Negeri Terengganu; Dato’ Dr. Din Adam, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Terengganu; Prof. Ts. Dr. Shukor Abd. Razak, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Sultan Zainal Abidin; serta Ts. Dr. Pajuzi Awang, Pengarah IPGK Sultan Mizan.
Kehadiran alumni UTM dalam landskap pendidikan tinggi Terengganu juga signifikan.  “Ramai alumni berkhidmat sebagai pensyarah, penyelidik dan pentadbir di UMT, UniSZA, UiTM Cawangan Terengganu, UC TATI dan IPGK Sultan Mizan, sekali gus meneruskan legasi UTM melalui pembangunan generasi masa hadapan.”, katanya.
Manakala dalam sektor industri pula, graduan UTM merupakan antara tenaga profesional yang menyumbang kepada industri minyak, gas dan tenaga di Kerteh, Paka dan Kemaman, termasuk dalam bidang kejuruteraan, operasi, penyelenggaraan, pembinaan serta pengurusan projek.Â
Dalam ucapannya, Prof. Mohd Shafry turut menyentuh mengenai keperluan untuk melihat peranan alumni dalam konteks yang lebih luas, khususnya ketika dunia berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks.
“Keadaan dunia hari ini menuntut pendekatan yang lebih kolaboratif. Pelbagai cabaran dalam negara dan global, termasuk isu kelestarian dan “planetary health” atau kesihatan planet, memerlukan penyelesaian yang melibatkan kepakaran merentas disiplin, industri, kerajaan, akademia dan masyarakat.”
Dalam konteks tersebut, alumni mempunyai potensi untuk bertindak sebagai ejen perubahan dengan membawa pengalaman, kepakaran dan jaringan masing-masing untuk bekerjasama dengan UTM dalam mengenal pasti permasalahan serta mencari penyelesaian bersama.
“Alumni ialah rakan strategik UTM dalam memperkukuh reputasi, memperluas jaringan industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan mempercepat inovasi.”
Justeru, hubungan antara universiti dengan alumni perlu bergerak melangkaui engagement semata-mata kepada kolaborasi yang menghasilkan impak, dengan alumni menjadi penghubung antara ilmu, penyelidikan dan inovasi yang dibangunkan di universiti dengan keperluan sebenar industri dan masyarakat.
Seiring aspirasi UTM ASCEND 2030, alumni turut digalakkan untuk memainkan peranan lebih aktif dengan menjadi duta universiti, membuka peluang latihan industri dan pekerjaan, membangunkan kolaborasi bersama UTM serta kembali menyumbang sebagai mentor, penceramah atau pensyarah adjung.
Naib Canselor turut menyeru alumni supaya terus memberi kembali kepada alma mater bukan semata-mata dalam bentuk kewangan, tetapi melalui “idea, masa, kepakaran, peluang dan jaringan profesional.”
Hubungan tersebut akan terus diperkasakan melalui pelbagai inisiatif Pusat UTMAlumni, termasuk “UTM Alumni Back to Campus” yang akan bermula pada Oktober 2026 bagi membawa alumni kembali ke kampus serta mengeratkan hubungan mereka dengan universiti dan mahasiswa.Â
Prof. Shafry turut berkongsi idea menerusi buku beliau bertajuk “Perubahan Struktural Memacu Kecemerlangan Universiti”, yang menghimpunkan pemikiran dan perspektif mengenai perubahan serta transformasi yang diperlukan dalam usaha memacu kecemerlangan universiti.
Alumni yang hadir turut berkesempatan mendapatkan buku tersebut, diikuti dengan sesi menandatangani buku bersama Naib Canselor. Interaksi dalam suasana santai itu memberi ruang kepada alumni untuk berhubung secara lebih dekat dengan kepimpinan universiti serta bertukar pandangan mengenai perkembangan UTM.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar; Menjalankan Fungsi Pengarah Pusat UTMAlumni, Prof. Madya Dr. Syed Norris Hikmi Syed Abdullah; serta Pengerusi Persatuan Alumni UTM Cawangan Negeri Terengganu, YBhg. Dato’ Ahmad Che Abdullah.
Penganjuran UTM Alumni Connect di Terengganu mencerminkan komitmen UTM untuk memastikan hubungan dengan alumni terus berkembang daripada sebuah hubungan berasaskan nostalgia kepada perkongsian strategik berasaskan impak.





