Memperkasa komuniti PPKI melalui inisiatif lestari penanaman Azolla di MJIIT

SDGSDG4SDG8SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) telah menganjurkan bengkel Projek Komuniti Penanaman Azolla bagi murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding. Bengkel itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid PPKI mengenai penanaman Azolla melalui aktiviti yang interaktif dan mudah difahami. Murid PPKI telah berpeluang memahami operasi sistem bersepadu yang menggabungkan penternakan ikan tilapia dengan penanaman Azolla serta menghasilkan pelet makanan ikan menggunakan mesin berskala kecil.

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) menganjurkan Bengkel Projek Komuniti Penanaman Azolla sebagai sebahagian daripada pelaksanaan geran Program Pemindahan Ilmu (KTP) – Rangkaian Universiti Penyelidikan Malaysia (MRUN).

Program berkenaan dilaksanakan menerusi projek bertajuk Projek Penanaman Azolla dan Penternakan Mampan: Inisiatif Lestari Pemerkasaan Potensi dan Ekonomi Komuniti Pelajar Sekolah Kurang Upaya Program Pendidikan Khas Integrasi yang diketuai oleh Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad.

Bengkel itu melibatkan murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding, dengan diiringi guru dan ibu bapa.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi MJIIT, Prof. Ir. Ts. Dr. Wira Jazair Yahya, dan Pengetua SMK Dusun Nanding, Khairun Nizah Hasanudin.

Selepas majlis perasmian, para tetamu turut dibawa melawat Makmal Biojisim Alga (Algae Biomass Lab) bagi melihat dengan lebih dekat kemudahan serta sistem penanaman Azolla yang dibangunkan di MJIIT.

Barisan tetamu kehormat bergambar kenangan selepas majlis perasmian dan lawatan ke fasiliti penanaman Azolla

Bengkel itu memberi penekanan kepada pendekatan pembelajaran secara amali bagi memberikan pendedahan kepada murid PPKI mengenai penanaman Azolla melalui aktiviti yang interaktif dan mudah difahami.

Menerusi sesi demonstrasi dan latihan praktikal, para peserta diperkenalkan kepada kaedah penanaman tumbuhan Azolla, termasuk teknik pembajaan yang betul.

Murid PPKI mengikuti latihan praktikal penanaman Azolla

Keterlibatan murid diteruskan menerusi lawatan ke Makmal Penyelidikan Alga dan Jisim Biak bagi melihat aplikasi sebenar Sistem Akuakultur Peredaran Semula Azolla (Azolla Recirculating Aquaculture System atau ARAS).

Menerusi lawatan tersebut, peserta berpeluang memahami operasi sistem bersepadu yang menggabungkan penternakan ikan tilapia dengan penanaman Azolla.

Peserta melawat tapak sistem ARAS di Algae Biomass Lab

Selain pendedahan kepada teknologi, bengkel turut dirangka bagi merangsang perkembangan kognitif dan kemahiran motor halus murid menerusi aktiviti memasang kit Lego 3D sistem ARAS.

Para peserta turut menyertai aktiviti berbentuk penyelesaian masalah, termasuk cabaran maze serta aktiviti mengenal pasti bahan yang diperlukan untuk menghasilkan baja. Pendekatan ini memberi peluang kepada murid mempelajari konsep berkaitan sistem penanaman Azolla melalui aktiviti yang lebih bersifat praktikal.

Elemen keusahawanan turut diterapkan melalui modul aktiviti pengiraan wang yang bertujuan membina keyakinan diri serta memperkenalkan kemahiran asas pengurusan kewangan dalam kalangan murid PPKI.

Murid PPKI SMK Dusun Nanding memasang kit Lego 3D sistem ARAS

Sebagai sebahagian daripada pendedahan kepada kitaran sistem penternakan dan penanaman yang mampan, para peserta turut berpeluang menghasilkan pelet makanan ikan menggunakan mesin berskala kecil.

Menerusi aktiviti tersebut, murid dapat melihat proses bagaimana tumbuhan Azolla yang telah dikeringkan diproses sebelum dijadikan bahan dalam penghasilan pelet makanan ikan.

Murid PPKI mencuba proses menghasilkan pelet makanan ikan menggunakan mesin berskala kecil

Secara keseluruhannya, bengkel berkenaan memberi ruang kepada murid PPKI memperoleh pengalaman pembelajaran secara amali berkaitan penanaman Azolla, teknologi akuakultur dan konsep kelestarian. Pelaksanaan program turut disokong oleh kerjasama antara UTM, pihak sekolah, guru dan ibu bapa.

Kejayaan penganjuran bengkel itu turut didukung oleh komitmen ahli pasukan geran yang terlibat dalam perancangan dan pelaksanaan program.

Antara ahli jawatankuasa yang terlibat ialah Prof. Madya Dr. Shaza Eva Mohamad, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin, Dr. Fatin Syahirah Othman, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri, Dr. Nabilah Zaini, Dr. Hafizah Farhah Saipan@Saipol, Hairul Lail Ismail, Siti Norasikin Sharip dan Vikneshvaran Tanabalam.

Pelaksanaan bengkel ini mencerminkan usaha berterusan UTM dalam memperluas pemindahan ilmu kepada komuniti menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, di samping memperkenalkan teknologi dan amalan berkaitan kelestarian kepada murid berkeperluan pendidikan khas.

Explore More

UTM Open Day