FAI UTM perkasa inovator muda Orang Asli, enam kumpulan mara ke peringkat negeri STEM Stars 2026

SDGSDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Enam kumpulan murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi (Asli) telah terpilih ke peringkat negeri dalam pertandingan STEM Stars 2026. Mereka telah berjaya menunjukkan kemahiran dan inovasi dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di bawah bimbingan pasukan STEM Experts dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kumpulan-kumpulan ini akan mewakili sekolah mereka dalam pertandingan peringkat negeri pada 21 September 2026.

DENGKIL, 5 Ogos – Enam kumpulan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tampoi (Asli), Dengkil berjaya melangkah ke peringkat negeri selepas terpilih dalam STEM Stars: School Level Competition 2026, anjuran S P Setia Foundation dengan penglibatan pasukan STEM Experts dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.

Pertandingan yang berlangsung di Makmal Sains SK Bukit Tampoi (Asli) itu melibatkan sembilan kumpulan murid, masing-masing tiga kumpulan daripada Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Setiap kumpulan membentangkan projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang dibangunkan menerusi bimbingan pelajar UTM yang berperanan sebagai STEM Ambassadors, selain menjawab soalan panel berkaitan idea, aplikasi dan penyelesaian yang diketengahkan.

Daripada tiga kumpulan yang bertanding bagi setiap kategori tahun, dua kumpulan terbaik dipilih, menjadikan keseluruhan enam kumpulan yang akan membawa cabaran SK Bukit Tampoi (Asli) ke peringkat negeri. Projek yang dipertandingkan mengetengahkan pelbagai elemen STEM termasuk kelestarian, persekitaran, teknologi pintar, kreativiti serta penyelesaian terhadap cabaran kehidupan sebenar.

Barisan STEM Experts dan STEM Ambassadors UTM Kuala Lumpur yang terlibat membimbing dan memperkasa murid SK Bukit Tampoi (Asli) sepanjang pelaksanaan Program STEM Stars 2026

Penglibatan UTM dalam Program STEM Stars 2026 diterajui oleh Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Kejuruteraan Kenderaan (VES) dan Ketua Unit STEM Kecerdasan Buatan (AI), FAI, UTM Kuala Lumpur, yang turut merupakan Ketua Projek STEM Stars UTM. Beliau mengetuai pasukan STEM Experts UTM Kuala Lumpur yang terdiri daripada Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Ts. Rafizah Musa dan Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi.

Pasukan STEM Experts bersama STEM Ambassadors UTM Kuala Lumpur berperanan membimbing murid sepanjang pembangunan projek, memperkukuh idea dan aplikasi STEM, memberikan sokongan teknikal serta mempersiapkan peserta menghadapi proses penilaian dan pertandingan. Penglibatan ini merupakan sebahagian daripada usaha UTM membawa kepakaran universiti lebih dekat kepada komuniti sekolah, khususnya dalam memperluas pendedahan dan pengalaman pembelajaran STEM kepada murid Orang Asli.

Pada pertandingan peringkat sekolah ini, UTM diwakili oleh Ts. Rafizah Musa daripada FAI, UTM Kuala Lumpur, yang turut terlibat dalam proses penilaian serta memberikan maklum balas bagi membantu murid memperkemas projek sebelum ke peringkat seterusnya. Panel penilai turut disertai Purushothman Munusamy, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Probino Solution, yang membawa kepakaran dan pengalaman dalam bidang pendidikan, robotik serta latihan digital, khususnya dalam pembangunan pembelajaran STEM berasaskan teknologi, selain Hartini Awang, Pengurus S P Setia Foundation, yang mewakili pihak penganjur dalam pelaksanaan dan penilaian program.

Gabungan kepakaran daripada akademia, pendidikan dan teknologi ini memberi peluang kepada murid menerima maklum balas daripada pelbagai perspektif, bukan sahaja terhadap hasil inovasi, malah dari aspek kefahaman terhadap projek, kemahiran komunikasi serta keupayaan mereka menerangkan dan mempertahankan idea di hadapan panel.

Panel juri meneliti projek dan mendengar penerangan murid semasa sesi penjurian STEM Stars: School Level Competition 2026

Pelaksanaan pertandingan turut mendapat kerjasama erat pihak pengurusan SK Bukit Tampoi (Asli), khususnya Guru Besar, Hjh. Norlita Ramli; Penolong Kanan Pentadbiran (PK1), Noresah Sapari; serta Penyelaras Program, Ikhwan Budiman Misri, bersama barisan guru yang membimbing murid sepanjang program.

Walaupun hanya enam daripada sembilan kumpulan dipilih untuk meneruskan cabaran, pertandingan ini memberikan pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada semua peserta, yang berpeluang membangunkan idea, menghasilkan projek, bekerja secara berkumpulan, menyelesaikan masalah serta membina keyakinan untuk membentangkan hasil kerja di hadapan panel.

Murid SK Bukit Tampoi (Asli) membentangkan idea dan aplikasi projek STEM kepada panel penilai dalam sesi penjurian di makmal sains sekolah

Enam kumpulan terpilih akan mewakili SK Bukit Tampoi (Asli) dalam STEM Stars 2026 – Selangor State Level Competition pada 21 September 2026, bersama wakil tiga lagi sekolah di Selangor iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Ladang Rinching, SK Semenyih dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Kg. Baru Semenyih, sebelum wakil terbaik daripada empat sekolah berkenaan bertemu di peringkat negeri.

Pasukan yang layak daripada peringkat negeri berpeluang meneruskan perjalanan ke peringkat kebangsaan, dengan Finale Rehearsal pada 29 September, diikuti STEM Stars National Finale pada 30 September 2026.

Antara murid SK Bukit Tampoi (Asli) yang berjaya terpilih untuk meneruskan cabaran ke STEM Stars 2026 – Selangor State Level Competition

Kolaborasi antara UTM, S P Setia Foundation dan SK Bukit Tampoi (Asli) menerusi STEM Stars 2026 memperlihatkan bagaimana kerjasama universiti, yayasan korporat dan sekolah dapat membuka akses kepada pengalaman pembelajaran STEM yang lebih inklusif dan bermakna kepada murid Orang Asli.

Bagi enam kumpulan terpilih, fokus kini beralih kepada proses pemurnian projek sebelum membawa nama SK Bukit Tampoi (Asli) ke pentas negeri pada September ini, dengan harapan perjalanan yang bermula di sebuah makmal sains di Dengkil mampu diteruskan sehingga ke pentas kebangsaan STEM Stars 2026.

Warga SK Bukit Tampoi (Asli) bersama pasukan STEM Experts dan STEM Ambassadors UTM Kuala Lumpur serta S P Setia Foundation sempena STEM Stars: School Level Competition 2026 di Dengkil, Selangor

 

Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad dan Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib, Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM Kuala Lumpur

Explore More

UTM Open Day