Dua pelajar UTM rangkul Johan dan Naib Johan Bahas Piala Menteri 2026

SDGSDG4SDG7SDG16

📝 Ringkasan

Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tinesh Ravindran dan Wan Zafirzan Wan Tarmizan, telah meraih Johan dan Naib Johan dalam Pertandingan Bahas Piala Menteri 2026. Tinesh, alumni Fakulti Komputeran, telah memenangi Johan bersama pasukan Kerajaan, manakala Wan Zafirzan, pelajar tahun akhir Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), telah meraih Naib Johan bersama pasukan Pembangkang.

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tinesh Ravindran dan Wan Zafirzan Wan Tarmizan, mengharumkan nama universiti menerusi penyertaan dalam Pertandingan Bahas Piala Menteri 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Tinesh, alumni Fakulti Komputeran, meraih Johan bersama pasukan Kerajaan, manakala Wan Zafirzan, pelajar tahun akhir Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), meraih Naib Johan bersama pasukan Pembangkang.

Pertandingan anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia itu turut melibatkan KiniEvents sebagai rakan penganjur dan mendapat sokongan Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP).

Program tersebut diadakan bersempena Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa Ke-7 (ISES) 2026 yang berlangsung pada 11 dan 12 Ogos, bertemakan “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders”. ISES menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri dan pakar tenaga bagi membincangkan masa hadapan tenaga lestari di Malaysia serta rantau ini.

Majlis Anugerah Bahas Piala Menteri 2026, diiringi oleh YB Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Malaysia bersama pasukan Johan dan Naib Johan bagi Bahas Piala Menteri 2026
Majlis Anugerah Bahas Piala Menteri 2026 diiringi Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad, Timbalan Menteri PETRA Malaysia, bersama pasukan Johan dan Naib Johan

Pertandingan yang berformatkan Debat Ala Parlimen itu membawa usul “Kerajaan wajar memperluaskan pengeksportan bekalan elektrik berasaskan Tenaga Boleh Baharu ke negara-negara jiran di samping memenuhi keperluan domestik.”

Tinesh, pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian Komputer dan Keselamatan) dengan Kepujian dari Fakulti Komputeran, mewakili pihak Kerajaan. Pasukannya mempertahankan pendirian bahawa eksport elektrik hijau dapat menjana pendapatan, menarik pelaburan, mempercepat pembangunan tenaga boleh baharu dan memperkukuh kerjasama serantau menerusi Grid Kuasa ASEAN.

Tinesh sedang berbahas bagi pihak Kerajaan
Tinesh sedang berbahas bagi pihak Kerajaan

Mewakili pihak Pembangkang, Wan Zafirzan, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian dengan Kepujian di MJIIT, menegaskan bahawa pasukannya tidak menolak eksport, sebaliknya menuntut bukti bahawa bekalan yang dieksport merupakan lebihan sebenar selepas permintaan domestik, rizab keselamatan, kesiapsiagaan grid, penyimpanan tenaga dan keadaan kecemasan diambil kira.

Wan Zafirzan semasa berbahas dari pihak Pembangkang
Wan Zafirzan semasa berbahas bagi pihak Pembangkang

Salah satu detik yang mencuri perhatian berlaku apabila Timbalan Perdana Menteri pasukan Kerajaan menggunakan perkataan “paksa” dalam menghuraikan pelaksanaan dasar terhadap rakyat. “Mr Speaker, saya takut mendengar statement itu,” kata Wan Zafirzan secara berseloroh sebelum mencabar pihak Kerajaan, “Ini demokrasi, bukannya tirani. Di manakah semak dan imbang, serta di manakah auditnya?”

Pertanyaan tersebut menyerlahkan kepentingan ketelusan, pengawasan bebas dan akauntabiliti sebelum sesuatu dasar berskala besar dilaksanakan, sekali gus mencerminkan prinsip kejuruteraan perisian yang mementingkan pengujian, keselamatan dan pengauditan sistem.

Dari kiri: Tinesh Ravindran dan Wan Zafirzan
Dari kiri, Tinesh Ravindran dan Wan Zafirzan

Pasukan Kerajaan akhirnya dinobatkan sebagai Johan dan membawa pulang piala kejuaraan serta wang tunai RM5,000, manakala pasukan Pembangkang muncul Naib Johan dengan wang tunai RM2,000. Setiap ahli pasukan turut menerima piala iringan individu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad dan Dato’ Hamzah Hussin, selain Anuar Zaki Bakar, Saiful Hakim Abdul Rahman, Yuha Ismail dan Ir. Ts. Mohd Adzha Husin. Panel hakim terdiri daripada Muhamad Sharulnizam Mohd Roni, Veliana Ruslan, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, Chia Ting Ting dan Emellia Shariff.

Pencapaian Tinesh dan Wan Zafirzan sebagai Johan dan Naib Johan Bahas Piala Menteri 2026 turut mencerminkan penglibatan aktif pelajar UTM dalam wacana dasar awam dan isu tenaga lestari pada peringkat kebangsaan.

Explore More

UTM Open Day