Bengkel Modul Azolla perkasa kemahiran teknikal murid PPKI SMK Dusun Nanding

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Bengkel Modul Azolla diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding bagi memperkasa kemahiran teknikal dan kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). Bengkel ini bertujuan menguji kebolehgunaan modul pengajaran berasaskan ekosistem “Azolla-Ikan” yang direka untuk memperkenalkan aplikasi bioteknologi Azolla Recirculating Aquaculture System (ARAS) dan ekonomi kitaran. Murid-murid PPKI berjaya menyelesaikan latihan interaktif dan praktikal dengan baik, menunjukkan minat dan inisiatif membantu dan bergotong-royong. Program ini dijangka memberi impak kepada ekosistem seramai 135 orang dan mendukung matlamat SDG 8 dan aspirasi Malaysia MADANI.

HULU LANGAT, 12 Ogos – Dalam usaha memperkasa kemahiran teknikal dan kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), penyelidik dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) menganjurkan “Bengkel Pembangunan dan Pemurnian Modul Azolla” bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dusun Nanding.

Bengkel ini merupakan fasa kritikal di bawah geran Program Pemindahan Ilmu-Rangkaian Universiti Penyelidikan Malaysia (KTP-MRUN) bertajuk “Projek Penanaman Azolla dan Penternakan Mampan: Inisiatif Lestari Pemerkasaan Potensi dan Ekonomi Komuniti Pelajar Sekolah Kurang Upaya Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Dusun Nanding”. Ia bertujuan menghimpunkan guru-guru pendidikan khas untuk memberikan cadangan bagi memurnikan lagi draf modul pengajaran berasaskan ekosistem “Azolla-Ikan”.

Menyedari cabaran kebolehpasaran pelajar pasca-sekolah, khususnya usia 19 tahun, modul ini direka untuk memperkenalkan aplikasi bioteknologi Azolla Recirculating Aquaculture System (ARAS) dan ekonomi kitaran. Penggunaan tumbuhan Azolla sebagai makanan alternatif ikan dan baja bio bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada palet komersial yang turut terjejas akibat inflasi import, malah membuka ruang penjanaan ekonomi baharu buat komuniti sekolah yang menempatkan lebih 100 orang murid berkeperluan khas.

Murid-murid menunjukkan semangat yang tinggi dalam sesi interaksi dua hala

Menurut Ketua Projek dari MJIIT, Prof. Madya Ir. Dr. Pauziah Muhamad, fokus utama bengkel ini adalah untuk menguji secara realistik sama ada draf modul yang dibangunkan bersesuaian dengan tahap kognitif unik murid PPKI di sekolah tersebut.

“Kita mahu memastikan laras bahasa, grafik, dan latihan teknikal yang disediakan benar-benar mudah difahami dan boleh dipraktikkan,” katanya.

Bengkel dimulakan dengan sesi penerangan projek. Bagi menguji kebolehgunaan modul, murid-murid PPKI diberikan beberapa latihan bertulis interaktif seperti cabaran mencari jalan (maze) ke arah Azolla dan padanan isi tempat kosong. Berdasarkan pemerhatian, murid-murid mempamerkan minat yang mendalam pada rekaan visual modul dan berjaya menyelesaikan tugasan dengan panduan guru, memberikan petunjuk positif bahawa aras kesukaran dan persembahan buku modul tersebut adalah sesuai.

Murid-murid PPKI berjaya melengkapkan latihan interaktif seperti cabaran maze dan latihan kiraan duit

Pemahaman teori tersebut kemudiannya diterjemahkan dengan baik semasa latihan praktikal di luar bilik darjah, apabila murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut menunjukkan inisiatif membantu dan bergotong-royong. Keterlibatan fizikal mereka secara aktif, daripada mengangkat tangki air secara berkumpulan, memasang kolam kanvas, mengisi air, hinggalah menabur benih Azolla, membuktikan bahawa arahan kemahiran teknikal di dalam modul berjaya diserap dan dipraktikkan dengan baik.

Semangat kerjasama berpasukan dipamerkan oleh murid-murid PPKI ketika aktiviti penyediaan kolam kanvas dan penaburan benih Azolla, hasil pemahaman modul

Program ini dijangka memberi impak kepada ekosistem seramai 135 orang yang merangkumi murid, guru dan ibu bapa, dengan sokongan padu daripada warga pendidik. UTM turut merakamkan penghargaan kepada barisan guru PPKI SMK Dusun Nanding, khususnya Penolong Kanan Pendidikan Khas, Arshnah Sakura Arshad, serta guru-guru penggerak utama iaitu Suhaila Tarmizi dan Yuslin Amani Yusoff, atas dedikasi mereka menyantuni keperluan pelajar. Turut menggembleng tenaga dalam memastikan kelancaran bengkel di lapangan adalah ahli-ahli geran KTP-MRUN, Hairul Lail Ismail, Vikneshvaran Tanabalam dan Siti Norasikin Sharip.

Murid-murid PPKI sendiri mengambil inisiatif mengendalikan proses penyediaan air untuk kolam Azolla
Murid-murid PPKI menanam Azolla ke dalam kolam yang telah disediakan

Penghasilan Modul Azolla PPKI ini menyokong matlamat SDG 8, Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi serta mendukung aspirasi Malaysia MADANI menerusi pemupukan nilai Ihsan dan Kesejahteraan. Selari dengan visi UTM ASCEND 2030 untuk memperluas inovasi berteraskan komuniti, pemurnian modul ini dijangka menjadi instrumen penting dalam menjamin kelestarian pemindahan ilmu serta daya tahan ekonomi jangka panjang untuk komuniti SMK Dusun Nanding. 

Explore More

UTM Open Day