UTM raikan kehadiran pelajar baharu menerusi Sesi Ramah Mesra Bersama Naib Canselor

SDGSDG4SDG8SDG17

📝 Ringkasan

UTM menganjurkan Sesi Ramah Mesra Bersama Naib Canselor bagi pelajar baharu Asasi dan Diploma Sesi 2026/2027. Sesi itu memberi peluang pelajar berinteraksi dengan Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, untuk mengenali aspirasi universiti dan memahami hala tuju pendidikan. Beliau menekankan kepentingan memupuk sikap ingin tahu, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi.

JOHOR BAHRU, 14 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menganjurkan Sesi Ramah Mesra Bersama Naib Canselor UTM sempena Program Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) bagi pelajar baharu Asasi dan Diploma UTM Sesi 2026/2027 yang berlangsung di Dewan Kuliah 7, Blok N24, UTM Johor Bahru.

Program tersebut memberi peluang kepada pelajar baharu berinteraksi secara lebih dekat dengan Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bagi mengenali aspirasi universiti serta memahami hala tuju pendidikan yang bakal dilalui sepanjang tempoh pengajian mereka.

Selain menjadi platform memperkenalkan budaya akademik UTM, sesi itu turut mengeratkan hubungan antara pelajar dengan pihak pengurusan universiti. Pelajar juga berpeluang mengemukakan pandangan dan pertanyaan berkaitan pengalaman pembelajaran, pembangunan diri serta pelbagai peluang yang disediakan sepanjang pengajian di UTM.

Sesi dialog interaktif memberi peluang kepada pelajar baharu berinteraksi secara langsung dengan Naib Canselor UTM dan barisan pengurusan universiti bagi mendapatkan pandangan serta perkongsian mengenai hala tuju pengajian dan pembangunan diri di UTM

Dalam sesi dialog tersebut, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menegaskan komitmen UTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya Menginovasi Penyelesaian Lestari, iaitu membangunkan penyelesaian inovatif dan mampan bagi menangani cabaran masa hadapan.

Beliau turut menggalakkan pelajar supaya aktif melibatkan diri dalam aktiviti pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kesukarelawanan sebagai nilai tambah yang mampu memperkukuh kebolehpasaran graduan. Di samping itu, beliau menekankan kepentingan memupuk sikap ingin tahu, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta meningkatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat dalam era digital.

Menyentuh mengenai perkembangan teknologi semasa, beliau mengingatkan bahawa kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan secara beretika dan bijaksana.

“AI tidak seharusnya menguasai cara kita berfikir. Sebaliknya, kita perlu menguasai teknologi tersebut dengan ilmu, nilai dan kebijaksanaan agar dapat menggunakannya untuk mencipta masa depan yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang tersedia sepanjang tempoh pengajian di UTM.

“Gunakan peluang sepanjang berada di UTM untuk meneroka potensi diri, membina jaringan yang baik serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dapat memperkaya pengalaman,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan pelajar supaya menghayati Adab UTM sebagai asas pembentukan sahsiah, integriti dan jati diri sepanjang bergelar mahasiswa beridentitikan UTM.

Program turut diserikan dengan tayangan montaj serta bacaan ikrar pelajar baharu yang melambangkan komitmen dan kesediaan mereka untuk memulakan perjalanan sebagai warga UTM.

Pelajar baharu Asasi dan Diploma UTM melafazkan ikrar sebagai simbol komitmen dan kesediaan mereka memulakan perjalanan akademik sempena Program Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) Sesi 2026/2027

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat; Penolong Naib Canselor (Strategi dan Kesohoran Global), Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah; serta barisan pegawai kanan universiti.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam membimbing pelajar baharu menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti, di samping memupuk semangat kecemerlangan, kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat sejak hari pertama mereka bergelar warga UTM.

 

 

Oleh Nazratul Hazirah Rushdan, Pegawai Media, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UTM

Explore More

UTM Open Day