📝 Ringkasan
UTM melalui Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) telah menerajui langkah memperkasa pengkomersialan inovasi bioproduk berimpak tinggi dan memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama industri melalui penganjuran IBD Wellness Day 2026. Acara ini merupakan platform penting dalam mengetengahkan kejayaan penyelidikan universiti yang telah diterjemahkan kepada bentuk produk yang berpotensi untuk dikomersialkan. UTM telah melancarkan produk penjagaan rambut baharu, Hair Tonic, hasil penyelidikan komprehensif yang diketuai oleh Pengarah IBD UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham. Produk ini dibangunkan dengan menggunakan ekstrak kafein yang diproses di Pusat Pemprosesan Herba IBD. UTM juga telah memeterai Pertukaran Dokumen Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA) dengan Trinovate Lab Group Sdn. Bhd. dan Pertukaran Dokumen Perjanjian Penyelidikan Kolaboratif (RCA) dengan Syarikat Phyto Biznet Sdn. Bhd.
JOHOR BAHRU, 13 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Institut Pembangunan Bioproduk (IBD) terus menerajui langkah memperkasa pengkomersialan inovasi bioproduk berimpak tinggi dan memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama industri melalui penganjuran acara tahunan, IBD Wellness Day 2026 yang berlangsung di UTM Johor Bahru, di sini hari ini.
Acara ini menjadi sebuah platform penting dalam mengetengahkan kejayaan penyelidikan universiti yang telah diterjemahkan kepada bentuk produk yang berpotensi untuk dikomersialkan. Usaha ini sekali gus dilihat mampu memperkukuh ekosistem inovasi negara berasaskan bioproduk serta menyokong sepenuhnya agenda pemindahan teknologi di peringkat kebangsaan.
Bagi merealisasikan agenda pengkomersialan ini, kemuncak penganjuran IBD Wellness Day 2026 menyaksikan pelancaran rasmi produk penjagaan rambut baharu, Hair Tonic.
Inovasi terbaharu ini merupakan hasil penyelidikan komprehensif yang diketuai oleh Pengarah IBD UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham, yang berjaya dikomersialkan menerusi kerjasama strategik bersama syarikat Trinovate Lab Group Sdn. Bhd.

Menariknya, produk inovatif ini dibangunkan dengan menggunakan ekstrak kafein yang diproses di Pusat Pemprosesan Herba IBD, iaitu sebuah fasiliti milik UTM yang memiliki pensijilan Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta pensijilan Halal.
Pensijilan berstatus tinggi ini sekali gus menjadi jaminan ketat terhadap kualiti, keselamatan, serta pematuhan penuh kepada piawaian industri terkini.
Kejayaan penghasilan produk ini secara langsung membuktikan keupayaan barisan penyelidikan tempatan dalam menghasilkan inovasi berasaskan sains yang mempunyai nilai komersial yang tinggi serta bersedia untuk menembusi pasaran terbuka.
Selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem inovasi tersebut, UTM turut memeterai Pertukaran Dokumen Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA) dengan Trinovate Lab Group Sdn. Bhd. Menerusi pemeteraian dokumen bersejarah ini, ia memberi laluan kepada pihak syarikat untuk memulakan pengeluaran berskala besar serta pemasaran produk Hair Tonic berkenaan ke pasaran tempatan dan juga merintis peluang ke pasaran antarabangsa.

Selain itu, sesi Pertukaran Dokumen Perjanjian Penyelidikan Kolaboratif (RCA) antara IBD UTM dengan Syarikat Phyto Biznet Sdn. Bhd. turut direalisasikan bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan secara bersama dalam usaha membangunkan bioproduk dan bidang kosmetik yang berteraskan kepada sumber semula jadi.
Ruang kerjasama ini telah dibuktikan menerusi pelancaran Makmal Satelit IBD-Phyto Biznet Sdn. Bhd. yang dijangka akan berfungsi sebagai pusat penyelidikan gunaan dan inkubator inovasi. Ia disasarkan untuk menggalakkan pembangunan bakat baharu, mempercepat pembangunan bidang teknologi dan menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah bagi memenuhi keperluan dan kehendak industri semasa.


Terdahulu, majlis perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Dalam ucapannya, beliau menegaskan aspirasi UTM dalam mempercepat proses pengkomersialan hasil penyelidikan, melebarkan rangkaian kerjasama strategik dengan pihak industri, dan pada masa yang sama memastikan sebarang inovasi ciptaan universiti memberi impak nyata kepada pertumbuhan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan pelbagai lapisan masyarakat.
“Ekosistem pengkomersialan inovasi universiti perlu dilaksana secara komprehensif dan warga penyelidik tidak boleh lagi beroperasi secara bersendirian. Kita amat memerlukan sokongan rakan strategik daripada pelbagai agensi dan industri untuk membawa jenama produk tempatan menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan agar IBD merangka pelan tindakan strategik untuk tempoh 10 tahun akan datang bagi memastikan setiap inovasi bioproduk yang dihasilkan mampu menyumbang secara ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Matlamat utama penterjemahan hasil R&D ini adalah untuk memanfaatkan kekayaan biodiversiti menjadi peluang ekonomi bagi membantu masyarakat. Lebih penting lagi, ia disasarkan untuk melahirkan barisan usahawan baharu, menyahut saranan melahirkan syarikat pemula (startup), dan akhirnya berupaya menawarkan peluang pekerjaan bergaji premium untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Selain memberi tumpuan kepada elemen pengkomersialan dan jalinan kerjasama industri, penganjuran IBD Wellness Day 2026 turut diisi dengan pengisian yang berteraskan aspek kesihatan, inovasi dan amalan kelestarian. Sepanjang program berlangsung, para pengunjung berpeluang mengikuti pelbagai acara bermanfaat merangkumi siri ceramah kesihatan, perkhidmatan rawatan oleh Bakawali Spa, ruang jualan pelbagai jenis produk kelolaan Phyto Biznet Sdn. Bhd., penganjuran Pertandingan Inovasi Makanan Sihat serta pendedahan peluang melaui sesi Research Pitching.
Sebagai tanda sokongan universiti terhadap kepentingan memelihara alam sekitar, kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai turut dijalankan serentak selain aneka food trucks, edaran kupon makanan secara percuma kepada pengunjung, serta tawaran cabutan bertuah yang eksklusif bagi setiap perbelanjaan serendah RM100 di kawasan reruai pameran Bakawali Spa.