UTM perkukuh pemindahan ilmu melalui bengkel “Si Comel” Projek PERCA+ di PPR Seri Semarak

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meneruskan Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Komuniti Perca+: Memperkasakan Wanita B40 Bandar melalui Inovasi Ekonomi Kitaran Batik dengan mengadakan bengkel kedua di PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur. Bengkel ini memberi tumpuan kepada penghasilan produk “Si Comel”, iaitu rantai kunci anak patung bersaiz tapak tangan yang dihasilkan daripada kain perca batik. Peserta telah didedahkan kepada teknik menghasilkan produk yang lebih halus, kreatif dan mempunyai potensi untuk dipasarkan sebagai produk kraftangan tempatan.

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan pelaksanaan Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Komuniti PERCA+ menerusi Bengkel Kedua yang berlangsung di Pusat Tuisyen PPR Blok E, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur. Program bertemakan Memperkasakan Wanita B40 Bandar melalui Inovasi Ekonomi Kitaran Batik itu merupakan kesinambungan usaha universiti dalam memperkasa komuniti melalui pembangunan kemahiran berasaskan ekonomi kitaran.

Siri latihan ini menyusuli bengkel pertama yang memperkenalkan konsep ekonomi kitaran serta pemanfaatan semula kain perca batik. Bengkel kali ini pula memberi tumpuan kepada penghasilan produk “Si Comel”, iaitu rantai kunci anak patung bersaiz tapak tangan yang diperbuat daripada kain perca batik.

Melalui modul yang disediakan, peserta didedahkan kepada teknik menghasilkan produk yang lebih kemas, kreatif dan berkualiti, sekali gus mempunyai potensi untuk dipasarkan sebagai produk kraf tangan tempatan yang bernilai tambah.

Peserta Projek KTP Komuniti PERCA+ tekun menghasilkan rantai kunci anak patung “Si Comel” menggunakan kain perca batik sebagai sebahagian daripada latihan kemahiran berasaskan ekonomi kitaran

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Rifqah Mohd Noor, usahawan berdaftar di bawah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, yang berkongsi teknik penghasilan produk bermula daripada penyediaan pola, pemilihan kombinasi fabrik, pembentukan karakter sehingga proses kemasan akhir. Pendekatan ini memastikan setiap produk yang dihasilkan bukan sahaja mempunyai nilai estetika, malah memenuhi standard kualiti yang bersesuaian untuk pasaran.

Turut menjayakan bengkel ialah Jafiqa Enterprise selaku rakan industri projek yang menyediakan pembantu fasilitator bagi membimbing peserta secara individu sepanjang sesi amali. Selain membekalkan kain perca batik dari Perlis sebagai bahan utama latihan, syarikat tersebut turut berkongsi pengalaman industri bagi membantu peserta memahami potensi komersial produk yang dihasilkan. Kerjasama erat antara UTM, industri dan komuniti ini memperkukuh ekosistem pemindahan ilmu melalui gabungan kepakaran akademik dan pengalaman praktikal.

Selain latihan penghasilan produk, peserta turut mengikuti sesi fotografi produk yang dikendalikan oleh wakil Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Sesi tersebut memberi pendedahan kepada teknik asas menghasilkan imej produk menggunakan telefon pintar, meliputi aspek pencahayaan, komposisi, sudut penggambaran dan penyusunan latar bagi menghasilkan visual yang lebih menarik untuk tujuan promosi serta pemasaran digital.

Berbanding siri latihan terdahulu, bengkel kali ini memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan apabila peserta semakin yakin mengendalikan bahan, menguasai teknik jahitan halus serta menghasilkan produk dengan kemasan yang lebih teliti dan konsisten. Perkembangan ini membuktikan keberkesanan pendekatan latihan secara berperingkat dalam membangunkan kemahiran komuniti sehingga mampu menghasilkan produk yang mempunyai identiti tersendiri dan nilai komersial.

Antara rantai kunci anak patung “Si Comel” yang dihasilkan peserta menggunakan kain perca batik dari Perlis, membuktikan bahawa lebihan tekstil mampu ditransformasikan menjadi produk kraf tangan kreatif yang mempunyai nilai komersial

Bagi Nur Aina Najwa Sarip, 19, peserta termuda program, penyertaan dalam bengkel ini membuka perspektif baharu terhadap potensi ekonomi yang boleh diwujudkan melalui kreativiti.

“Sebelum menyertai program ini, saya tidak pernah terfikir bahawa kain perca boleh dijadikan produk yang begitu menarik dan mempunyai nilai jualan. Bengkel ini bukan sahaja mengajar saya kemahiran baharu, malah memberi keyakinan bahawa kreativiti juga boleh menjadi peluang untuk menjana pendapatan. Saya juga seronok apabila didedahkan dengan teknik mengambil gambar produk kerana ia penting untuk mempromosikan hasil kerja kami di media sosial,” katanya.

Projek KTP Komuniti PERCA+ bukan sahaja memberi penekanan kepada pemindahan kemahiran menghasilkan produk, malah melengkapkan peserta dengan pengetahuan berkaitan pembungkusan, penjenamaan dan strategi promosi bagi membantu mereka membangunkan perusahaan mikro secara lebih mampan. Pendekatan menyeluruh ini diharap dapat membolehkan komuniti memanfaatkan ekonomi kitaran sebagai model penjanaan pendapatan yang berdaya saing.

Pelaksanaan projek ini turut mencerminkan aspirasi UTM ASCEND dalam memperkasa komuniti melalui pemindahan ilmu, inovasi dan kolaborasi strategik antara universiti, industri serta masyarakat. Melalui inisiatif seperti PERCA+, kepakaran UTM diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi impak nyata kepada komuniti, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan kesejahteraan negara.

Peserta, fasilitator dan rakan strategik bergambar bersama hasil produk “Si Comel” yang dihasilkan dalam Bengkel Kedua Projek KTP Komuniti PERCA+

Explore More

UTM Open Day