Perlawanan persahabatan KDEBWM-UTM buka ruang kerjasama penyelidikan dan kelestarian

SDGSDG12SDG17

📝 Ringkasan

Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) telah mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak veteran Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Perlawanan ini membuka ruang untuk perbincangan tentang potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi. KDEBWM melihat kepakaran penyelidik universiti sebagai elemen penting dalam mencari penyelesaian mampan terhadap isu pengurusan sisa dan menyokong agenda kelestarian negara.

JOHOR BAHRU, 13 Jun — Semangat kesukanan menjadi medan penghubung kepada jalinan kerjasama strategik apabila Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) hadir menyantuni pasukan bola sepak veteran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi satu perlawanan persahabatan yang berlangsung baru-baru ini.

Delegasi KDEBWM yang diketuai oleh Dato’ Hj. Ramli Mohd Tahir bersama pasukan telah meluangkan masa beriadah bersama warga UTM dalam suasana penuh mesra dan harmoni. Perlawanan ini bukan sahaja menjadi platform mempererat hubungan antara kedua-dua organisasi, malah membuka ruang kepada perbincangan berkaitan potensi kolaborasi pada masa hadapan.

UTM yang kini berada dalam fasa persiapan akhir menjelang Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) 2026 menyambut baik kehadiran KDEBWM sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan bola sepak veteran sebelum pemilihan akhir pemain. Kejohanan SUKUM kali ini akan berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, pada 6 hingga 16 Ogos 2026.

Sebelum sepak mula perlawanan, sesi sembang santai antara Dato’ Hj. Ramli Mohd Tahir bersama pengurus pasukan bola sepak veteran UTM, Dr. Nazrul Hisham Zainal Alam, turut memberi fokus kepada potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

Sebagai organisasi yang bertanggungjawab menguruskan pengurusan sisa bagi negeri Selangor, KDEBWM melihat kepakaran penyelidik universiti sebagai elemen penting dalam mencari penyelesaian mampan terhadap isu pengurusan sisa serta menyokong agenda kelestarian negara pada masa hadapan.

Sesi sembang santai sebelum perlawanan persahabatan antara pihak KDEBWM yang diketuai oleh Dato’ Hj. Ramli Mohd Tahir (dua dari kiri) dan UTM di bawah pengurusan Dr. Nazrul Hisham Zainal Alam (dua dari kanan)

“Melalui sukan, kita dapat mengenali lebih ramai pihak dan membina hubungan yang lebih erat. Hubungan ini boleh menjadi asas kepada kerjasama yang lebih besar, termasuk dalam bidang penyelidikan dan pembangunan. Kita harus bekerjasama untuk terus maju,” ujar Dato’ Hj. Ramli.

Perlawanan persahabatan yang berlangsung dalam suasana santai namun kompetitif itu menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengimbangi permainan di atas padang yang sedikit licin susulan hujan sebelum perlawanan. Beraksi dalam format tiga separuh masa, pasukan KDEBWM mempamerkan persembahan mantap apabila berjaya menewaskan UTMFC dengan keputusan 4-0.

Ketua pasukan UTM, Wan Yusryzal Wan Ibrahim, bertukar cenderamata dengan kapten KDEBWM sebelum perlawanan bermula

Walaupun berdepan kekalahan, Dr. Nazrul Hisham melihat perlawanan tersebut sebagai satu ujian penting dalam menilai kekuatan pasukan serta memperkemaskan taktikal menjelang fasa terakhir latihan.

“Perlawanan ini merupakan satu proses pembelajaran dan ujian taktikal untuk membentuk kesebelasan terbaik. Kami tidak panik dengan keputusan ini kerana fokus utama adalah persediaan ke SUKUM. Kami lebih bersedia untuk mencipta sejarah menjadi pasukan veteran pertama yang mencipta hatrik emas pada tahun ini,” katanya.

Beliau turut menyambut baik usaha kolaborasi bersama KDEBWM dan berharap hubungan yang terjalin melalui perlawanan ini tidak terhenti di padang sahaja, sebaliknya dapat dikembangkan kepada kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.

Pemain kedua-dua pasukan pada sesi penyerahan cenderahati selepas tamat perlawanan yang dimenangi oleh KDEBWM dengan jaringan 4-0

Sementara itu, Dato’ Ramli turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada pasukan bola sepak veteran UTM dalam menghadapi SUKUM 2026 dan menyatakan kesediaan KDEBWM untuk meneroka peluang kerjasama bersama penyelidik UTM.

Perlawanan persahabatan ini membuktikan bahawa sukan bukan sekadar medan pertandingan, tetapi turut menjadi jambatan yang menghubungkan komuniti, memperkukuh jaringan profesional serta membuka ruang kepada kerjasama strategik demi manfaat bersama.

Explore More

UTM Open Day