PONTIAN, 20 Jun – Seramai 51 mahasiswa Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjayakan Program Semarak Komuniti MADANI: Celik Hak, Lindungi Diri yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kampung Parit Haji Abdul Karim, Ayer Baloi, Johor.
Program ini merupakan anjuran bersama Kolej Tun Fatimah (KTF) dan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM dengan sokongan komuniti setempat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan, pihak industri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Penganjuran program ini bertujuan menterjemahkan konsep pembelajaran berasaskan komuniti melalui penglibatan langsung mahasiswa bersama masyarakat setempat. Pendekatan tersebut memberi peluang kepada mahasiswa mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar, di samping menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti.
Sepanjang tiga hari program berlangsung, pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, kesukarelawanan, pembangunan belia, kelestarian alam sekitar, kesihatan dan kebajikan masyarakat telah dilaksanakan. Antaranya termasuk program keluarga angkat bersama penduduk kampung, gotong-royong komuniti di beberapa lokasi sekitar kampung, aktiviti perkongsian ilmu bersama pelajar sekolah, pemindahan ilmu perundangan kepada ketua-ketua kampung dan komuniti, bengkel seni kraf tangan bunga dawai, brisk walk lestari, pemeriksaan kesihatan percuma, pengumpulan minyak masak terpakai serta pengagihan bakul makanan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang memerlukan.


Sebagai sebahagian daripada usaha pemindahan ilmu kepada masyarakat, mahasiswa UTM turut melaksanakan sesi perkongsian mengenai asas kontrak dan tort kepada 68 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pulai.
Melalui pendekatan interaktif yang merangkumi kuiz, permainan pendidikan dan perkongsian berasaskan situasi harian, konsep-konsep perundangan yang lazimnya dianggap kompleks berjaya disampaikan dalam bahasa yang mudah difahami serta bersesuaian dengan peringkat umur murid.
Sesi tersebut turut menggunakan Buku Cakna Kontrak dan Tort hasil penulisan Dr. Aminah Mohsin yang disampaikan dalam format santai serta berkonsepkan ilustrasi, sekali gus menjadikan kandungannya lebih menarik, mesra pembaca dan mudah difahami oleh golongan muda.

Aktiviti tersebut bertujuan memupuk kesedaran awal mengenai hak, tanggungjawab dan kepentingan membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan seharian. Pendekatan santai dan menyeronokkan yang digunakan bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap ilmu perundangan, malah membantu mereka memahami bagaimana aspek kontrak dan tort boleh memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.
Selain itu, program ini turut mengetengahkan pengisian akademik menerusi sesi Bual Bicara Kontrak dan Tort yang menghimpunkan panel serta pakar dalam bidang berkaitan. Melalui sesi tersebut, komuniti Kampung Parit Haji Abdul Karim diberikan pendedahan mengenai isu-isu yang sering berlaku dalam masyarakat seperti pencerobohan tanah persendirian dan tanah kerajaan, urus niaga tanah, perjanjian jual beli, sewaan, pajakan serta tanggungjawab undang-undang dalam kehidupan seharian.
Penduduk kampung turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan para pakar bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu yang dihadapi, di samping memperoleh panduan berkaitan hak dan tanggungjawab mereka di sisi undang-undang. Sesi tersebut berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memahami aspek perundangan dalam usaha melindungi diri, keluarga dan harta benda.
Pensyarah kursus merangkap penasihat program, Dr. Aminah Mohsin berkata program seumpama ini merupakan platform terbaik untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat, di samping membangunkan kemahiran insaniah mahasiswa.
“Melalui program ini, mahasiswa berpeluang menghubungkan teori yang dipelajari di dalam kelas dengan realiti kehidupan masyarakat. Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan komuniti membantu mereka memahami isu sebenar yang dihadapi masyarakat serta membentuk graduan yang lebih peka, bertanggungjawab dan berjiwa komuniti,” katanya.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Perasmian Program Semarak Komuniti MADANI: Celik Hak, Lindungi Diri disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor, Hjh. Nurul Akmalina Hj. Shamsuddin.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa masyarakat yang memahami hak dan tanggungjawab mereka akan lebih berupaya membuat keputusan yang bijak, mengelakkan diri daripada menjadi mangsa ketidakadilan serta mampu menyumbang secara positif kepada pembangunan komuniti. Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dan kesejahteraan masyarakat perlu dipupuk melalui kerjasama erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Kejayaan Program Semarak Komuniti MADANI: Celik Hak, Lindungi Diri terus mendapat pengiktirafan apabila dinobatkan sebagai Johan Kategori Pembelajaran Khidmat Masyarakat Service Learning (SL) Terbaik sempena Kolokium Penglibatan Komuniti dan Pembelajaran Khidmat (CESCO) 2026 yang berlangsung pada 20 Jun 2026. Pengiktirafan tersebut mencerminkan keberkesanan program dalam mengintegrasikan pembelajaran akademik, pemindahan ilmu kepada masyarakat serta pembangunan sahsiah mahasiswa melalui pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti.

Kejayaan penganjuran Program Semarak Komuniti MADANI: Celik Hak, Lindungi Diri serta pengiktirafannya sebagai Johan Kategori Pembelajaran Khidmat Masyarakat Service Learning (SL) Terbaik di CESCO 2026 membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan komuniti mampu menjadi platform yang berkesan untuk menghubungkan ilmu akademik dengan keperluan masyarakat.
Melalui kerjasama erat antara KTF, FABU, komuniti setempat serta pelbagai agensi yang terlibat, program ini bukan sahaja berjaya menjadi medium pemindahan ilmu dan pemerkasaan masyarakat, malah turut membentuk mahasiswa yang beradab, berintegriti, berjiwa komuniti dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab mereka sebagai agen perubahan dalam masyarakat.
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda pembangunan holistik UTM, program seumpama ini diharapkan dapat terus melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah unggul dari segi sahsiah, kepimpinan dan nilai kemanusiaan.