KOTA TINGGI, 13 Jun – Kelab Institut Jurutera Kimia (IChemE) Cawangan Pelajar UTM (UTM SC) telah menganjurkan program ChemE REACH di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI) sebagai inisiatif khidmat masyarakat yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada seramai 149 pelajar Tingkatan Lima aliran Sains Tulen mengenai bidang Kejuruteraan Kimia serta peluang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Program yang berlangsung di SAKTI ini menghimpunkan pelajar Tingkatan Lima bersama mahasiswa IChemE UTM SC, pensyarah dan panel industri bagi berkongsi ilmu, pengalaman serta memberikan gambaran sebenar mengenai skop pengajian dan kerjaya dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Objektif utama ChemE REACH adalah untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap bidang Kejuruteraan Kimia, membantu mereka memahami hubungan antara teori dan aplikasi dalam industri, serta memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi, organisasi profesional dan komuniti pendidikan.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen IChemE UTM SC dalam melahirkan bakal jurutera yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran profesional, berintegriti serta bersedia menghadapi cabaran industri pada masa hadapan. Program ini turut menjadi platform berterusan dalam memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk meneroka bidang Kejuruteraan Kimia sebagai pilihan kerjaya, di samping menjadikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai institusi pilihan utama selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program ini turut menampilkan dua panel industri, iaitu Imran Adnan dan Nurul Syuhada Mahmud, Jurutera Industri dari PETRONAS Carigali, yang berkongsi pengalaman serta pendedahan berkaitan dunia kejuruteraan kimia dalam industri.

Melalui sesi perkongsian bertajuk “From Classroom to Industry: Engineering with Purpose”, para panel memberikan gambaran mengenai aplikasi ilmu kejuruteraan dalam industri minyak dan gas, laluan kerjaya seorang jurutera serta cabaran sebenar yang dihadapi di tempat kerja.

Perkongsian tersebut berjaya memberi inspirasi dan meningkatkan kefahaman pelajar tentang keperluan serta kemahiran yang diperlukan bagi membina kerjaya dalam bidang kejuruteraan.

Panel industri, Nurul Syuhada Mahmud dari PETRONAS Carigali, menyampaikan ceramah bertajuk “From Classroom to Industry: Engineering with Purpose”
Panel industri, Imran Adnan dari PETRONAS Carigali, menyampaikan ceramah bertajuk “Student to Engineer: Navigating a Path to a Successful Career”

Sepanjang program berlangsung, para peserta mengikuti sesi perkongsian bersama panel industri yang membincangkan pengalaman dalam dunia pekerjaan, skop kerjaya Kejuruteraan Kimia, perkembangan industri semasa serta kemahiran yang diperlukan untuk menjadi jurutera yang kompeten.

Pengarah Program, Nur Alissa Mohd Nazri, dalam ucapannya menegaskan bahawa pendedahan awal kepada pelajar sekolah amat penting bagi membantu mereka membuat pilihan akademik dan kerjaya yang lebih jelas selepas tamat persekolahan.

“Melalui ChemE REACH, kami berharap para pelajar bukan sahaja mengenali bidang Kejuruteraan Kimia dengan lebih mendalam, malah memahami peranan jurutera kimia dalam menyelesaikan pelbagai cabaran dunia sebenar serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan teknologi,” katanya.

Ucapan Pengarah Program ChemE REACH 26, Nur Alissa Mohd Nazri

Selain itu, para pelajar turut menyertai aktiviti eksplorasi secara berkumpulan melalui lima stesen serta pameran reruai yang dikendalikan oleh ahli IChemE UTM SC. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami konsep asas Kejuruteraan Kimia secara lebih interaktif melalui demonstrasi dan aplikasi praktikal.

Aktiviti IChemE Speedster yang dijalankan bersama pelajar
Aktiviti Sky High Tower melibatkan pelajar dalam bentuk kumpulan

Aktiviti eksplorasi ini turut memberi penekanan terhadap pendedahan aplikasi kejuruteraan kimia serta pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan masa. Pada masa yang sama, ia memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Pendekatan berasaskan pembelajaran berkhidmat (service learning) yang diterapkan membolehkan mahasiswa berkongsi ilmu dengan komuniti sambil mengembangkan kemahiran profesional mereka.

Secara keseluruhannya, ChemE REACH berjaya mencapai matlamatnya sebagai program pendidikan komuniti yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah melalui pendedahan awal terhadap dunia Kejuruteraan Kimia. Inisiatif ini sekali gus mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Explore More

UTM Open Day