📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Zhejiang University (ZJU) melancarkan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan (AI) Zhejiang-Malaysia di Hangzhou, China. Makmal bersama ini akan memfokuskan pada tiga bidang utama, iaitu pembangunan peralatan pintar, pendigitalan sektor pertanian pintar, dan pembangunan bandar pintar dan mampan. Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem inovasi berasaskan kecerdasan buatan dan membuka ruang kepada pembangunan bakat global, penyelidikan berimpak tinggi, dan penerokaan penyelesaian teknologi masa hadapan.
HANGZHOU, 13 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh jaringan strategik antarabangsa apabila melancarkan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan (AI) Zhejiang-Malaysia bersama Zhejiang University (ZJU) dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Kampus Zijingang, Hangzhou, China.
Delegasi UTM diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, manakala pihak ZJU diketuai oleh Naib Presiden Zhejiang University, Prof. Gang Chen, bersama Prof. Erping Li dari Kolej Sains Maklumat dan Kejuruteraan Elektronik (ISEE) serta ahli Akademi Kejuruteraan China (CAE).
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pegawai Tadbir Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), Muhamad Syafik Rahmat; Dekan ISEE, Prof. Hongsheng Chen; Pengarah Bahagian Teknologi Tinggi dan Baharu, Prof. Wenyuan Xu; serta Timbalan Pengarah Pejabat Penglibatan Global ZJU, Minjie Tian.


Pelancaran makmal bersama ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua institusi susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Naib Canselor UTM dan Presiden ZJU pada 19 Disember 2025, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik Malaysia dan China dalam bidang kecerdasan buatan, inovasi digital dan pembangunan teknologi masa hadapan.
Makmal bersama tersebut akan memfokuskan kepada tiga bidang utama, iaitu pembangunan peralatan pintar bagi memacu ekonomi digital, pendigitalan sektor pertanian pintar, serta pembangunan bandar pintar dan mampan. Selain penyelidikan saintifik, kerjasama ini turut memberi penekanan kepada kolaborasi industri dan pembangunan bakat melalui model kerjasama yang merangkumi penyelidikan bersama, penglibatan industri, mobiliti akademik serta pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi strategik.
Menurut Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, penubuhan makmal bersama ini bukan sekadar simbol kerjasama akademik, sebaliknya merupakan platform strategik yang menghubungkan kepakaran penyelidikan, inovasi industri dan pembangunan bakat antara Malaysia dan China.

“Penubuhan Makmal Bersama Kecerdasan Buatan Zhejiang-Malaysia mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh ekosistem inovasi berasaskan kecerdasan buatan yang mampu memberi impak bukan sahaja kepada universiti, malah kepada pembangunan industri, masyarakat dan ekonomi serantau.
“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada pembangunan bakat global, penyelidikan berimpak tinggi serta penerokaan penyelesaian teknologi masa hadapan yang selari dengan agenda transformasi digital dan pembangunan mampan,” katanya.
Dalam sesi tersebut, laporan kemajuan berkaitan pembangunan makmal bersama turut dibentangkan bagi membincangkan hala tuju kerjasama masa hadapan dalam mempercepatkan pelaksanaan inisiatif strategik yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa, universiti dan negara secara keseluruhan.
Kerjasama ini turut mendukung aspirasi Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 dalam memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, inovasi berimpak tinggi, jaringan global, pengukuhan ekosistem inovasi rentas sempadan serta pembangunan bakat berdaya saing di peringkat global ke arah pembangunan mampan dan kesejahteraan sejagat. Penubuhan makmal bersama ini dijangka menjadi pemangkin kepada penghasilan penyelesaian teknologi berimpak tinggi serta memperkukuh kedudukan UTM sebagai universiti penyelidikan global yang aktif menerajui agenda kecerdasan buatan dan inovasi serantau.
Oleh Muhamad Syafik Rahmat, Ketua Seksyen Korporat, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM