Seteguh KASIH Ibu, memaknai semula keibuan dalam dunia moden berteraskan nilai Islam

SDGSDG3SDG4SDG5SDG8SDG10SDG16

📝 Ringkasan

Dalam sambutan Hari Ibu Kebangsaan 2026, masyarakat diseru untuk menghargai kekuatan dan ketabahan wanita yang menjadi tunjang kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Islam meletakkan ibu pada kedudukan yang sangat istimewa dan menggambarkan bahawa perjalanan seorang ibu bermula dengan pengorbanan fizikal, emosi dan spiritual yang panjang. Dalam Islam, penyusuan turut diberikan perhatian yang besar kerana ia bukan sahaja memenuhi keperluan nutrisi bayi, tetapi turut membina hubungan emosi dan spiritual antara ibu dan anak.

Ada doa seorang ibu yang tidak pernah kita dengar, tetapi menjadi sebab hidup kita terus dipermudahkan. Ada penat seorang ibu yang tidak pernah diceritakan, tetapi dipendam demi memastikan anak-anak terus tersenyum. Di sebalik wajah tenang seorang ibu, tersimpan ribuan keresahan, pengorbanan dan kasih sayang yang sering kali tidak mampu dibalas dengan apa jua nilai.

Dalam dunia hari ini, menjadi seorang ibu bukanlah sekadar melahirkan anak. Seorang ibu memikul pelbagai amanah, daripada membina keluarga, mengurus emosi, menjaga ibu bapa yang uzur, mendidik anak dalam dunia digital, hinggalah ada yang terus berjuang mendapatkan zuriat atau membesarkan anak angkat dengan penuh kasih sayang. Sempena sambutan Hari Ibu Kebangsaan 2026 yang membawa tema “Seteguh KASIH Ibu”, masyarakat diseru untuk kembali menghargai kekuatan dan ketabahan wanita yang menjadi tunjang kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

Islam meletakkan ibu pada kedudukan yang sangat istimewa. Dalam Surah Luqman ayat 14, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

Ayat ini menggambarkan bahawa perjalanan seorang ibu bermula dengan pengorbanan fizikal, emosi dan spiritual yang panjang. Kehamilan, kelahiran dan penyusuan mungkin merupakan proses biologi, namun di situlah terbukti suatu jihad kasih sayang yang membentuk asas kesejahteraan keluarga dan masyarakat.

Dalam Islam, penyusuan turut diberikan perhatian yang besar kerana ia bukan sahaja memenuhi keperluan nutrisi bayi, tetapi turut membina hubungan emosi dan spiritual antara ibu dan anak. Al-Quran menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 233 bahawa para ibu dianjurkan menyusukan anak selama dua tahun penuh bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Ini menunjukkan bahawa penyusuan merupakan sebahagian daripada hak anak dan amanah besar seorang ibu.

Kisah-kisah para nabi turut memperlihatkan kekuatan dan pengorbanan seorang ibu. Kisah ibu Nabi Musa AS menggambarkan ujian berat seorang ibu yang terpaksa melepaskan bayinya demi keselamatan daripada kekejaman Firaun. Dalam keadaan penuh cemas dan tawakal, Allah mengilhamkan kepada ibu Nabi Musa untuk menghanyutkan bayinya ke sungai, namun akhirnya Allah mengembalikan Nabi Musa kepada ibunya untuk disusukan sendiri. Kisah ini memperlihatkan bahawa naluri keibuan sentiasa terkait dengan kasih sayang, perlindungan dan pergantungan kepada Allah.

Begitu juga kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa AS, yang melalui pengalaman kehamilan dan kelahiran dalam keadaan penuh cabaran sosial dan emosi. Maryam menjadi simbol kekuatan wanita, ketabahan ibu dan kemuliaan seorang perempuan yang dipilih Allah. Al-Quran merakamkan kesakitan dan perjuangan Maryam ketika melahirkan Nabi Isa bersendirian di bawah pohon kurma, sekali gus mengiktiraf realiti kesakitan dan pengorbanan seorang ibu.

Dalam sejarah Nabi Muhammad SAW pula, amalan penyusuan oleh ibu susuan memperlihatkan bahawa konsep keibuan dalam Islam mempunyai dimensi yang lebih luas. Baginda SAW disusukan oleh ibu kandungnya sendiri, Aminah binti Wahab, serta dua orang ibu susuan, iaitu Tsuwaibah Al-Aslamiyah dan Halimah As-Sa’diyah. Hubungan yang terjalin melalui penyusuan itu membentuk ikatan mahram yang diharamkan berkahwin selamanya, serta kekeluargaan yang diiktiraf syarak. Tradisi ibu susuan menunjukkan bahawa kasih ibu tidak hanya terhad kepada hubungan darah semata-mata, tetapi turut merangkumi hubungan penyusuan dan penjagaan.

Hari ini, definisi ibu berkembang seiring perubahan masyarakat. Selain ibu kandung, wujud ibu angkat dan ibu susuan yang memainkan peranan penting dalam membina kesejahteraan kanak-kanak dan keluarga. Dalam konteks semasa, amalan pengambilan anak angkat dan perkongsian susu ibu semakin mendapat perhatian sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi kekeluargaan dan kasih sayang dalam masyarakat.

Dalam masa yang sama, dunia kini sedang berdepan isu penurunan kadar kelahiran dan kadar kesuburan yang semakin membimbangkan di banyak negara, termasuk Malaysia. Trend ini bukan sahaja berlaku di negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara Eropah, tetapi turut mula memberi kesan kepada struktur populasi dan pembangunan sosial di Malaysia. Penurunan kadar kesuburan memberi isyarat bahawa sokongan terhadap kesejahteraan ibu dan institusi keluarga perlu diperkasakan secara serius bagi menjamin kelangsungan generasi masa hadapan.

Cabaran ekonomi, tekanan pekerjaan, kos sara hidup, kesihatan mental, kekurangan sokongan penjagaan anak serta ketidakseimbangan kehidupan dan kerjaya merupakan antara faktor yang mempengaruhi keputusan pasangan untuk menangguhkan atau mengehadkan bilangan anak. Dalam keadaan ini, wanita sering berada di persimpangan dalam menanggung beban fizikal dan emosi keibuan.

Namun begitu, kepesatan teknologi perubatan turut membuka peluang baharu kepada pasangan yang berdepan isu subfertiliti dan kesukaran mendapatkan zuriat. Rawatan kesuburan, teknologi reproduktif dan intervensi perubatan moden memberi harapan kepada ramai pasangan untuk membina keluarga. Selain itu, perkembangan dalam bidang laktasi turut memungkinkan amalan penyusuan cetusan (induced lactation), iaitu proses merangsang penghasilan susu bagi wanita yang tidak melalui kehamilan, termasuk ibu angkat yang ingin menyusukan anak angkat mereka.

Fenomena ini memperlihatkan bahawa konsep keibuan semakin berkembang dan merangkumi dimensi biologi, emosi, sosial dan spiritual yang lebih luas. Namun begitu, perkembangan teknologi dan amalan moden ini perlu dipandu dengan ilmu, etika dan panduan syarak yang jelas agar selari dengan nilai Islam serta budaya masyarakat Malaysia. Aspek nasab, hubungan mahram, keselamatan kesihatan, dokumentasi penyusuan dan hak kanak-kanak perlu diberikan perhatian secara bertanggungjawab.

Dalam dunia moden yang semakin mencabar, wanita hari ini memikul pelbagai peranan secara serentak sebagai ibu, pekerja, penjaga kepada ibu bapa, pendidik dan anggota masyarakat. Di sebalik kekuatan yang dipamerkan, ramai ibu turut berdepan tekanan emosi, keletihan mental dan cabaran keseimbangan hidup. Justeru, menghargai ibu tidak memadai sekadar melalui sambutan satu hari, tetapi hendaklah melalui pembinaan ekosistem masyarakat yang lebih menyokong kesejahteraan wanita dan keluarga.

Hari Ibu seharusnya menjadi ruang untuk masyarakat mengiktiraf bahawa peranan ibu melangkaui urusan domestik, malah menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Kasih sayang seorang ibu mampu membentuk generasi yang sihat emosi, kukuh spiritual dan sejahtera sosial. Dalam Islam, kemuliaan seorang ibu bukan diukur pada kesempurnaan hidupnya, tetapi pada kasih, pengorbanan dan keikhlasan yang dicurahkan dalam membesarkan insan yang seimbang. Di sebalik setiap anak yang membesar dengan baik, sering kali ada doa seorang ibu yang tidak pernah putus.

Explore More

UTM Open Day