📝 Ringkasan
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, telah menyampaikan hala tuju strategik JTNCHEPA dalam Sesi Libat Urus. Beliau menekankan keperluan untuk mentransformasikan pendekatan JTNCHEPA daripada sekadar fungsi sokongan kepada pembina ekosistem pembangunan insan yang menyeluruh dan berimpak tinggi. Beliau juga menggariskan lima pedoman gerak kerja JTNCHEPA dan empat budaya kerja utama untuk memacu kecemerlangan organisasi.
JOHOR BAHRU, 6 Mei – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, telah menyampaikan hala tuju strategik dalam Sesi Libat Urus bersama warga Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), dalam usaha memperkukuh peranan hal ehwal pelajar dan alumni sebagai pemacu utama pembangunan mahasiswa.
Perkongsian tersebut menekankan keperluan untuk mentransformasikan pendekatan JTNCHEPA daripada sekadar fungsi sokongan kepada pembina ekosistem pembangunan insan yang menyeluruh dan berimpak tinggi. Menurut beliau, pembangunan mahasiswa tidak lagi boleh dilaksanakan secara terasing atau berfokus kepada program semata-mata, sebaliknya perlu digerakkan melalui pendekatan yang lebih holistik berasaskan ekosistem pengalaman mahasiswa.
“Kita tidak hanya mengurus pelajar, tetapi membangunkan insan melalui pengalaman yang dirancang secara strategik, tersusun dan bermakna,” jelas beliau.

Selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, beliau menegaskan bahawa kejayaan JTNCHEPA bergantung kepada keupayaan seluruh warga untuk bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu dengan mengamalkan budaya kerja tanpa silo serta memperkukuh kolaborasi merentas fungsi dan peranan.
Dalam memperincikan pendekatan tersebut, beliau turut menggariskan lima pedoman gerak kerja JTNCHEPA sebagai asas memacu kecemerlangan organisasi, di samping memperkenalkan empat budaya kerja utama, iaitu Bersama, Cepat, Tepat dan Berimpak, sebagai prinsip penyampaian perkhidmatan yang lebih efektif dan responsif.
Beliau turut menekankan bahawa dalam landskap semasa yang semakin kompleks dan tidak menentu, khususnya dalam menghadapi cabaran global, JTNCHEPA perlu lebih bersedia melalui pendekatan intervensi awal serta pengurusan risiko secara proaktif.
“Kita tidak boleh menunggu masalah berlaku. Kita perlu menjangka, mengurus risiko lebih awal dan memastikan setiap tindakan yang diambil memberi impak yang jelas dan terukur,” tegas beliau.

Dalam dimensi pembangunan insan, beliau mengingatkan bahawa keseimbangan antara kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) merupakan elemen penting dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dan berdaya tahan. Pendekatan ini turut disandarkan kepada nilai kepimpinan yang dapat dicontohi melalui kisah Nabi Musa AS dan Nabi Yusuf AS dalam membentuk kebijaksanaan, kesabaran serta keupayaan membuat keputusan. Selain itu, beliau menekankan bahawa setiap amanah dalam mengurus hal ehwal pelajar perlu dilaksanakan berteraskan ilmu, integriti dan tanggungjawab, selaras dengan peranan JTNCHEPA sebagai peneraju dalam membentuk generasi masa hadapan.
Mengulas mengenai keutamaan strategik, beliau menjelaskan bahawa setiap inisiatif dan pelaburan JTNCHEPA perlu bersifat strategik, berimpak tinggi serta selari dengan perkembangan teknologi dan ilmu baharu bagi memastikan universiti kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa.
“Kita perlu memastikan setiap pelaburan yang dibuat memberi nilai tambah kepada pelajar dan universiti. Kita tidak boleh bergerak secara biasa dalam dunia yang berubah luar biasa,” ujar beliau.
Sesi libat urus ini turut diperkaya dengan slot pengisian nilai melalui inisiatif “5 Minutes 1 Value” yang disampaikan oleh Ustaz Panji Alam Mazhisham, Pegawai Tadbir (Hal Ehwal Islam) UTM, yang menekankan kepentingan penghayatan adab sebagai asas pembangunan sahsiah warga universiti.

Majlis dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Rahman Tamuri selaku moderator dan turut dihadiri oleh Ketua Pentadbiran JTNCHEPA, Azri Hohad, barisan pengarah, pengetua kolej kediaman serta warga JTNCHEPA.
Sesi tersebut turut membuka ruang dialog dua hala apabila warga JTNCHEPA berpeluang mengemukakan pandangan serta mendapatkan penjelasan berkaitan isu semasa, termasuk keperluan kesiapsiagaan dalam mendepani krisis global yang memberi kesan terhadap kesejahteraan pelajar dan operasi universiti.


Secara keseluruhannya, sesi libat urus ini menjadi platform penting dalam menyelaras hala tuju, memperkukuh kefahaman bersama serta memupuk budaya kerja yang lebih strategik, bersepadu dan berimpak dalam kalangan warga JTNCHEPA, selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan berterusan.
Oleh Muhamad Syafik Rahmat, Ketua Seksyen Korporat dan Nazratul Hazirah Rushdan, Pegawai Media JTNCHEPA