📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan program “1 Kolej 1 Pokok” untuk memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian kampus. Program ini bertepatan dengan sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa dan melibatkan penanaman pokok kayu asli bermutu tinggi di setiap kolej kediaman di UTM. Program ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam mewujudkan persekitaran kampus yang hijau, lestari dan beridentiti tinggi, serta menyokong komitmen global terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
JOHOR BAHRU, 24 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian kampus melalui Majlis Perasmian Program “1 Kolej 1 Pokok”. Penganjuran program ini menjadi lebih bermakna apabila tarikh pelaksanaannya bertepatan dengan sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa pada bulan Mei, sekali gus menterjemahkan komitmen praktikal universiti dalam memelihara khazanah alam.
Program ini merupakan penanda aras penting bagi inisiatif penghijauan seluruh kolej kediaman di UTM yang dilaksanakan bagi mengembalikan serta mengukuhkan identiti warisan setiap kolej menerusi penanaman pokok kayu asli bermutu tinggi. Sebelum ini, kolej-kolej kediaman di bawah naungan UTM telah mula menggerakkan aktiviti penanaman pokok kayu kayan asli yang melambangkan keunikan sejarah penamaan asal kolej masing-masing.
Antaranya ialah Kolej Rahman Putra (KRP) dengan Pokok Meranti, Kolej Tun Fatimah (KTF) dengan Pokok Belian, Kolej Tun Razak (KTR) dengan Pokok Cengal, Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dengan Pokok Merbau, serta Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) dengan Pokok Resak. Kolej Tuanku Canselor (KTC) pula menanam Pokok Kempas, manakala Kolej Perdana (KP) menanam Pokok Jati dan Kolej 9 & 10 menanam Pokok Balau. Aktiviti ini turut melibatkan Kolej Datin Seri Endon (KDSE) dengan Pokok Nyatoh dan Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ) dengan Pokok Keruing.




Inisiatif murni berimpak tinggi ini mencerminkan usaha berterusan universiti dalam mewujudkan persekitaran kampus yang hijau, lestari dan beridentiti tinggi. Program ini juga menyokong secara langsung komitmen global terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 15 berkaitan Kehidupan di Darat dalam memelihara biodiversiti serta ekosistem hutan, dan SDG 11 berkaitan Bandar dan Komuniti Mampan melalui penyediaan ruang ekosistem kampus yang inklusif, selamat dan hijau.
Majlis yang berlangsung dengan meriah ini telah disempurnakan gimik perasmiannya oleh Ketua Timbalan Pendaftar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Azri Hohad, di KTF. Kehadiran beliau membuktikan sokongan penuh pihak pengurusan tertinggi universiti terhadap agenda penghijauan nasional di peringkat akar umbi mahasiswa.
Dalam ucapan perasmiannya, Azri Hohad menegaskan bahawa budaya mesra alam perlu dipupuk secara tekun sejak di menara gading agar generasi muda lebih peka terhadap pemeliharaan biodiversiti dan keseimbangan ekosistem demi generasi akan datang. Penerapan elemen pendidikan berasaskan komuniti ini secara langsung menyokong SDG 4 berkaitan Pendidikan Berkualiti.

Kemuncak program menyaksikan penglibatan aktif seramai 80 orang pelajar yang menyertai aktiviti brisk walk “KTF Ironwood Walk” serta acara simbolik penanaman Pokok Belian. Pemilihan Pokok Belian di KTF ini sarat dengan nilai sejarah tersendiri kerana ia mengambil sempena nama asal kolej berkenaan yang dahulunya dikenali sebagai Kampung Belian dari tahun 1988 hingga 1995 sebelum ditukar penamaannya kepada nama tokoh. Sifat kayu Belian yang sangat kuat dan tahan lasak ini bukan sahaja menjadi lambang legasi dan keutuhan komuniti, malah mencerminkan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan yang berdaya tahan mendepani cabaran masa hadapan, berintegriti serta memiliki jati diri yang mapan.
Menurut Pengerusi Majlis Pengetua UTM, Prof. Madya Ts. Dr. Abd Rahman Tamuri, penganjuran program kelestarian kampus bersepadu seumpama ini bukan sahaja memberi nilai ekologi kepada alam sekitar, malah mendidik mahasiswa mengenai peri pentingnya adab mencintai dan memelihara alam semula jadi. Ini merupakan sebahagian daripada proses pembentukan sahsiah, jati diri dan tanggungjawab sosial korporat warga universiti secara holistik.
Sebagai langkah ke hadapan, kelangsungan agenda hijau ini akan terus diperluas menerusi jalinan kerjasama strategik bersama alumni dan rakan industri. Melalui komitmen berterusan ini, UTM bukan sahaja bertekad memacu kecemerlangan akademik, malah bersedia meletakkan standard baharu dalam melahirkan modal insan yang peka, proaktif dan bertanggungjawab terhadap kelestarian ekosistem global.