📝 Ringkasan
PPMU Kuala Lumpur telah menganjurkan Bengkel Asas AutoCAD untuk pelajar SMK Tinggi Setapak. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan awal dan mempertingkatkan kemahiran teknikal pelajar dalam menggunakan perisian AutoCAD. Program ini juga bertindak sebagai platform untuk membantu pelajar menyelesaikan tugasan Grafik Komunikasi Teknikal (GKT) mereka.
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Dalam usaha menyokong aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU) Kuala Lumpur telah berjaya menganjurkan Bengkel Asas Penggunaan AutoCAD yang disasarkan khusus untuk pelajar sekolah menengah. Program berimpak tinggi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM Kuala Lumpur.
Bengkel yang berlangsung selama sehari ini dikendalikan sepenuhnya oleh PPMU Kuala Lumpur di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi). Seramai 17 orang pelajar Tingkatan 5 daripada aliran teknikal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, bersama tiga orang guru pengiring, telah menyertai program ini bertempat di Makmal AutoCAD, Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), UTM Kuala Lumpur.
Perisian AutoCAD merupakan tunjang utama dalam bidang kejuruteraan, seni bina dan reka cipta industri. Walau bagaimanapun, pendedahan awal terhadap teknologi ini dalam kalangan pelajar sekolah masih lagi terhad. Situasi ini menjadi lebih kritikal memandangkan para pelajar aliran teknikal perlu menyiapkan tugasan kerja kursus bagi mata pelajaran Grafik Komunikasi Teknikal (GKT) yang membawa wajaran sebanyak 10 peratus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kekangan utama yang dihadapi ialah kemudahan komputer di peringkat sekolah yang amat terhad, sekali gus menyukarkan pelajar untuk melengkapkan tugasan penting tersebut dengan sempurna. Menyedari hakikat ini, pihak sekolah amat memerlukan sokongan dan bantuan daripada agensi luar bagi menyediakan kemudahan digital yang mencukupi demi kelangsungan akademik pelajar.
Oleh itu, penganjuran bengkel oleh pihak UTM ini bukan sahaja bertujuan memberikan pendedahan awal, mempertingkatkan kemahiran teknikal serta memupuk minat pelajar untuk menceburi kerjaya dalam bidang kejuruteraan, malah ia bertindak sebagai platform berimpak tinggi dalam membantu pelajar menyelesaikan tugasan GKT mereka. Di samping itu, program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri pengalaman dan suasana pembelajaran di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan modul asas lukisan dua dimensi (2D) dan isometri yang sistematik. Pada fasa awal, para pelajar diperkenalkan dengan antaramuka perisian serta kawalan asas AutoCAD bagi mempelajari fungsi penting dan arahan (commands) utama seperti Line, Circle, Rectangle, Move, Copy, Erase, Save dan Plot. Selepas menguasai kemahiran asas tersebut, sesi diteruskan dengan pengisian praktikal lukisan asas 2D yang memfokuskan kepada teknik membina garis sempadan (border line) dan kotak tajuk (title block) bagi sebuah lukisan teknikal.


Bagi menguji kefahaman peserta, modul bengkel diakhiri dengan cabaran lukisan isometri, di mana pelajar perlu menghasilkan acuan komponen mekanikal iaitu Connecting Rod berdasarkan unjuran ortografik yang diberikan.
Proses pembelajaran menjadi sangat berkesan kerana para pelajar menerima bimbingan secara langsung daripada barisan fasilitator yang terdiri daripada pensyarah Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) serta kakitangan teknikal PPMU Kuala Lumpur. Antara barisan tenaga pengajar yang terlibat ialah Ir. Ts. Dr. Nurul Huda Ahmad, Ts. Dr. Nor Fazilah Mohd Hashim, Dr. Nuraihan Ismail, Shahira Yusnina Yahya dan Siti Norsikin Sharip.


Program pemindahan ilmu ini membuktikan komitmen berterusan UTM dalam menyumbang kepakaran demi pembangunan komuniti setempat. Bengkel diakhiri dengan ulasan hasil kerja lukisan para pelajar, sesi soal jawab dan penyampaian penutup. Melalui maklum balas awal, rata-rata pelajar menzahirkan rasa keterujaan kerana berpeluang mengendalikan perisian profesional ini dengan bantuan fasilitator yang sangat membantu. Diharapkan pendedahan awal seperti ini mampu menjadi pencetus semangat bagi pelajar SMK Tinggi Setapak untuk terus menguasai bidang sains dan teknologi, sekali gus menjadi pelapis tenaga kerja berkemahiran tinggi yang kompetitif pada masa hadapan.
