Pembelajaran sepanjang hayat dalam era digitalisasi: Sorotan pasca keputusan SPM 2025

SDGSDG4SDG8SDG9

📝 Ringkasan

Keputusan selepas SPM 2025 tidak boleh dilihat secara jangka pendek semata-mata. Dalam ekonomi berteraskan teknologi, kemahiran seseorang mempunyai tempoh relevansi yang semakin singkat. Oleh itu, lepasan SPM perlu membuat keputusan yang matang, strategik dan berpandangan jauh untuk menentukan hala tuju masa hadapan.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering menjadi titik penting dalam kehidupan seseorang pelajar. Bagi lepasan SPM 2025, fasa ini bukan sekadar tentang memilih sama ada untuk menyambung pengajian atau terus bekerja. Lebih daripada itu, ia merupakan saat penting untuk menentukan hala tuju masa hadapan dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, kecerdasan buatan (AI), automasi dan perubahan ekonomi yang pantas. Dalam suasana baharu ini, keputusan selepas SPM perlu dibuat dengan lebih matang, strategik dan berpandangan jauh.

Dalam keadaan ekonomi semasa, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian lepasan SPM berdepan tekanan untuk menjana pendapatan dengan segera. Kos sara hidup yang meningkat, tanggungjawab membantu keluarga serta keinginan untuk berdikari menyebabkan pilihan untuk terus memasuki pasaran kerja kelihatan praktikal. Pekerjaan selepas tamat persekolahan boleh memberikan aliran tunai segera dan kestabilan jangka pendek. Namun begitu, pelajar perlu memahami bahawa kebanyakan pekerjaan yang terbuka kepada lepasan SPM lazimnya berada dalam kategori kemahiran rendah hingga sederhana.

Pekerjaan dalam kategori ini biasanya mempunyai ruang perkembangan kerjaya yang terhad sekiranya tidak disertai dengan peningkatan kemahiran. Selain itu, banyak tugasan rutin semakin terdedah kepada risiko automasi apabila teknologi dan AI digunakan secara meluas dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, logistik, pentadbiran dan perniagaan. Justeru, bekerja selepas SPM bukanlah pilihan yang salah, tetapi ia perlu disertai dengan kesedaran bahawa kemahiran mesti terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Oleh itu, keputusan selepas SPM tidak wajar dilihat secara jangka pendek semata-mata. Dalam ekonomi berteraskan teknologi, kemahiran seseorang mempunyai tempoh relevansi yang semakin singkat. Apa yang dianggap mencukupi pada hari ini mungkin tidak lagi memadai dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Kemahiran digital, komunikasi, pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kreativiti dan keupayaan menyesuaikan diri kini menjadi semakin penting merentas pelbagai bidang pekerjaan.

Dalam konteks ini, konsep kalis masa hadapan menjadi sangat relevan. Kalis masa hadapan merujuk kepada keupayaan seseorang untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan, mempelajari kemahiran baharu dan kekal berdaya saing walaupun dunia pekerjaan berubah. Seseorang yang mempunyai sikap ingin belajar, terbuka kepada teknologi dan bersedia meningkatkan kemahiran akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk berkembang dalam kerjaya.

Pada masa yang sama, model pendidikan tradisional yang bersifat linear semakin berdepan cabaran. Dahulu, pendidikan sering dilihat sebagai satu laluan tetap, iaitu tamat sekolah, masuk kolej atau universiti, memperoleh kelayakan, kemudian bekerja. Namun, realiti hari ini tidak lagi semudah itu. Pendidikan tidak boleh dianggap sebagai satu fasa yang berakhir selepas tamat pengajian tinggi. Sebaliknya, pendidikan perlu difahami sebagai proses berterusan yang berlaku sepanjang hayat.

Program pendedahan pendidikan seperti seminar, karnival dan taklimat kampus memberi peluang kepada lepasan SPM untuk memahami pilihan pengajian, laluan kerjaya serta kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dalam era pendigitalan

Pembelajaran kini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Selain program akademik formal seperti diploma, ijazah atau sijil profesional, pelajar juga boleh mengikuti kursus pendek, latihan industri, pensijilan kemahiran dan mikro-kredensial. Pendekatan ini memberi ruang kepada lepasan SPM untuk memilih laluan yang lebih fleksibel mengikut minat, kemampuan kewangan, tahap kesediaan dan matlamat kerjaya masing-masing.

Mikro-kredensial menjadi semakin penting kerana ia menawarkan pembelajaran secara modular, ringkas dan berfokus. Melalui pendekatan ini, seseorang boleh mempelajari kemahiran tertentu secara berperingkat tanpa perlu menunggu terlalu lama untuk melihat hasilnya. Konsep pengumpulan kemahiran pula membolehkan individu mengumpulkan pelbagai kemahiran kecil yang saling melengkapi. Sebagai contoh, seseorang yang berminat dalam bidang perniagaan digital boleh mempelajari asas pemasaran, analitik data, penggunaan AI, reka bentuk kandungan dan komunikasi pelanggan secara berperingkat.

Analogi seperti pengumpulan “XP” dalam permainan digital sesuai digunakan untuk menggambarkan proses ini. Setiap kursus, latihan, pengalaman kerja dan pensijilan kecil merupakan nilai tambah yang meningkatkan keupayaan seseorang. Peningkatan kecil yang dilakukan secara konsisten boleh memberikan impak besar dalam jangka panjang. Pendekatan ini amat sesuai untuk lepasan SPM yang ingin bekerja sambil belajar atau yang belum bersedia membuat komitmen kepada program pengajian yang panjang.

Dalam konteks ini, institusi seperti UTMSPACE memainkan peranan penting dengan menyediakan laluan pendidikan yang fleksibel dan selari dengan keperluan industri. Model pembelajaran modular memberi peluang kepada pelajar untuk masuk dan keluar daripada sistem pendidikan mengikut kesesuaian keadaan tanpa kehilangan momentum pembelajaran. Pendekatan sedemikian menyokong prinsip pembelajaran sepanjang hayat dan membantu pelajar membina kemahiran secara lebih terancang.

Bagi lepasan SPM, pendedahan awal kepada dunia pendidikan tinggi dan industri amat penting sebelum membuat keputusan besar. Mereka digalakkan menyertai program seperti Perkampungan Menara Gading, Karnival Lepasan SPM, lawatan universiti, kelas percubaan, Hari Terbuka, seminar kerjaya dan bengkel kemahiran. Program sedemikian dapat membantu pelajar memahami pilihan yang ada, mengenal pasti minat, menilai potensi diri dan merancang masa hadapan dengan lebih yakin.

Selain itu, kursus pendek dalam bidang seperti kecerdasan buatan, analitik data, teknologi digital, keusahawanan, komunikasi dan kemahiran profesional boleh menjadi langkah awal yang baik. Pendedahan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan, malah membantu pelajar membuat keputusan berdasarkan pengalaman, bukan sekadar andaian atau pengaruh rakan sebaya.

Kesimpulannya, cabaran lepasan SPM 2025 mencerminkan perubahan besar dalam hubungan antara pendidikan, pekerjaan dan teknologi. Kejayaan masa hadapan tidak lagi ditentukan oleh satu keputusan besar selepas SPM semata-mata, tetapi oleh keberanian membuat keputusan kecil yang konsisten dalam membina kemahiran. Sama ada memilih untuk bekerja, belajar atau melakukan kedua-duanya, perkara paling penting ialah tidak berhenti belajar. Pendidikan bukan lagi sebuah garisan penamat, sebaliknya merupakan maraton pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh Ts. Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin, Eksekutif Akademik, SPACE UTM

Explore More

UTM Open Day