NFCC dan UTM meterai MoA di Konvokesyen CFIP, perkukuh kepakaran jenayah kewangan

SDGSDG4SDG8SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) sempena Majlis Konvokesyen Program Pensijilan Penyiasat Kewangan Bertauliah (CFIP) Tahun 2025. MoA ini bertujuan memperkukuh pembangunan kepakaran dan penyelidikan dalam bidang jenayah kewangan. Kerjasama ini akan melibatkan pelaksanaan program kompetensi CFIP, pembangunan platform pembelajaran dalam talian, dan penubuhan Anti Financial Crime Lab.

PUTRAJAYA, 4 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sempena Majlis Konvokesyen Program Pensijilan Penyiasat Kewangan Bertauliah (CFIP) Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Menara Seri Wilayah, di sini, petang tadi.

Majlis penandatanganan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah NFCC, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil, dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus, dengan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Dekan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Lanjutan (SPACE) UTM, Prof. Shahrizal Sunar, serta Prof. Dr. Anazida Zainal daripada Fakulti Komputeran UTM, sekali gus memperlihatkan komitmen institusi akademik dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi kerajaan.

Ketua Pengarah NFCC, Dato’ Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil (duduk, kiri), dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus (duduk, kanan), menyempurnakan majlis penandatanganan yang disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar (tengah)

Pemeteraian MoA ini menandakan langkah signifikan dalam memperkasa pembangunan kepakaran dan penyelidikan dalam bidang jenayah kewangan. Kerjasama ini merangkumi pelaksanaan program kompetensi CFIP yang berstruktur melalui pembangunan lima modul siasatan jenayah dan tiga modul teknik siasatan berasaskan kompetensi, lengkap dengan panduan pembelajaran serta bank soalan penilaian bagi memastikan standard profesional yang tinggi.

Selain itu, inisiatif ini turut menyokong pembangunan platform pembelajaran dalam talian (LMS) yang fleksibel serta kandungan multimedia interaktif bagi memperluas akses latihan kepada pegawai penguat kuasa. Penubuhan Anti Financial Crime Lab juga dijangka menjadi hab latihan berpusat yang menyatukan ekosistem pembelajaran dan pembangunan kepakaran dalam bidang ini.

Dari aspek penyelidikan strategik, kerjasama ini melibatkan pembangunan repositori data jenayah kewangan yang komprehensif, merangkumi kes, tipologi dan indikator risiko sebagai rujukan utama kepada penyiasat dan penganalisis. Pendekatan ini membolehkan keputusan dibuat secara lebih tepat berdasarkan data dan bukti, selari dengan amalan terbaik antarabangsa.

Aspek inovasi turut diberi penekanan melalui penerokaan teknologi kecerdasan buatan, termasuk pembangunan pembantu maya serta penggunaan analitik rangkaian graf bagi mengautomasikan analisis kes, sekali gus meningkatkan kecekapan dan ketepatan siasatan. Inisiatif seperti Scam Matrix Navigator dan rangka kerja pencegahan manipulasi psikologi turut dibangunkan bagi memperkukuh perlindungan awam daripada jenayah penipuan.

Seramai 135 graduan daripada pelbagai agensi penguatkuasaan menerima pengiktirafan sebagai penyiasat kewangan berkelayakan sempena Majlis Konvokesyen CFIP 2025

Majlis Konvokesyen CFIP 2025 turut menyaksikan seramai 135 graduan daripada pelbagai agensi penguatkuasaan ditauliahkan sebagai penyiasat kewangan berkelayakan. Mereka merupakan kohort pertama yang mengikuti pengajian secara digital melalui platform pembelajaran NFCC yang direka bentuk dan dikonfigurasi oleh pasukan Fakulti Komputeran UTM.

Program strategik ini menampilkan kandungan yang dibangunkan oleh Fakulti Komputeran dan Fakulti Pengurusan UTM, manakala penghasilan video instruksional dikendalikan oleh Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel UTM (UTM CDex). Pendekatan bersepadu ini mencerminkan komitmen tinggi dalam melahirkan penyiasat kewangan yang kompeten, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran jenayah kewangan yang semakin kompleks.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menyampaikan ucapan sempena Majlis Konvokesyen CFIP 2025

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pengarah NFCC sebelum ucapan utama disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, sekali gus menegaskan kepentingan kerjasama rentas agensi dan institusi akademik dalam memperkukuh ekosistem kewangan negara yang telus, berdaya tahan dan berintegriti. Turut hadir memeriahkan majlis ialah barisan Ahli Lembaga Penasihat NFCC serta pegawai kanan kerajaan.

Explore More

UTM Open Day