GEMA Nusantara 2026 perkukuh diplomasi budaya dan pertukaran akademik di Indonesia

SDGSDG4SDG5SDG8SDG11SDG16

📝 Ringkasan

Program GEMA Nusantara 2026 di Universiti Negeri Malang (UM) berjaya dilaksanakan dengan impak yang signifikan dalam memartabatkan budaya, pertukaran akademik dan pembangunan mahasiswa global. Program ini melibatkan 23 orang pelajar dan dua orang staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pelajar dan staf UM. Program ini bertujuan memperkasa dan melestarikan warisan budaya Nusantara, khususnya Tarian Zapin, melalui pendekatan bengkel, dokumentasi, perkongsian ilmu dan persembahan budaya.

MALANG, 8 Mei – Program GEMA Nusantara 2026 yang berlangsung di Universitas Negeri Malang (UM), Malang, Indonesia dari 2 hingga 8 Mei 2026 telah berjaya dilaksanakan dengan impak yang signifikan dalam aspek memartabatkan budaya, pertukaran akademik dan pembangunan mahasiswa global. Program bertaraf antarabangsa yang dikategorikan sebagai Aktiviti Impak Tinggi Utama (KHIA) ini melibatkan 23 orang pelajar dan dua orang staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama pelajar dan staf Universitas Negeri Malang.

Program ini bertujuan memperkasa dan melestarikan warisan budaya Nusantara, khususnya Tarian Zapin, melalui pendekatan bengkel, dokumentasi, perkongsian ilmu dan persembahan budaya. Pemilihan UM sebagai rakan kolaborasi adalah berasaskan hubungan timbal balik susulan lawatan mereka ke Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) UTM sebelum ini bagi mempersembahkan budaya Indonesia, iaitu Tarian Topeng Malang. Program ini turut menyokong aspirasi Tahun Melawat Johor 2026 (TMJ 2026) melalui promosi warisan budaya Johor di peringkat antarabangsa.

Antara aktiviti yang mendapat perhatian ramai ialah penganjuran Flash Mob Zapin Pekajang sempena Car Free Day di Jalan Besar Ijen, Malang. Aktiviti ini dilaksanakan oleh wakil UTM sebagai medium promosi warisan budaya Johor kepada masyarakat antarabangsa melalui persembahan tarian tradisional di ruang awam. Persembahan tersebut berjaya menarik perhatian serta interaksi kira-kira 100 orang masyarakat tempatan yang turut menunjukkan minat terhadap keunikan seni dan budaya Melayu Johor.

Wakil UTM mempersembahkan zapin melalui Flash Mob sempena Car Free Day di Jalan Besar Ijen, Malang, sebagai medium promosi warisan budaya Johor kepada masyarakat antarabangsa

Daripada aspek pertukaran budaya, delegasi UTM mempelajari tarian tradisional Jawa Timur, Jejer Jawan Dawok, melalui bimbingan instruktor yang merupakan pelajar Fakultas Teknik, Dwiana Faridhotul Jannah dan Angghun Bunga Lestary. Pada masa yang sama, mahasiswa UTM turut memperkenalkan dan mengajar Zapin Pekajang kepada mahasiswa UM, disertai perkongsian oleh Ts. Yusnorsyazana Mohd Yunos mengenai sejarah dan keunikan warisan budaya tersebut. Pertukaran budaya dua hala ini mencapai kemuncaknya melalui persembahan kolaboratif semasa Majlis Penutupan yang mempersembahkan kedua-dua tarian sebagai simbol persahabatan dan kesatuan budaya serantau.

Mahasiswa UTM dan UM bergambar kenangan selepas sesi latihan dan pertukaran seni budaya yang menampilkan Zapin Pekajang dan tarian tradisional Jawa Timur

Program ini turut diperkukuh dengan pelbagai pengisian akademik. Prof. Madya Dr. Mohd Murtadha Mohamad telah menyampaikan sesi perkongsian bertajuk “The 30-Minute Architect: From a Scenario to Application” yang membincangkan aplikasi kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), teknologi awan dan sistem kedudukan sejagat (GPS) dalam menyelesaikan cabaran masyarakat, khususnya isu pembaziran makanan melalui sistem pengurusan logistik pintar.

Prof. Madya Dr. Mohd Murtadha Mohamad menyampaikan sesi perkongsian ilmu mengenai aplikasi AI, IoT, dan teknologi digital bersama mahasiswa UM

Selain itu, Persidangan Pascasiswazah dan Diskusi Intelektual UTM dan UM telah menghimpunkan pelajar pascasiswazah kedua-dua universiti untuk berkongsi pengalaman penyelidikan dan perkembangan teknologi semasa. Sesi ini melibatkan perkongsian daripada wakil UTM, Nur Ain Md Lukmanul Hakim dan Mohd Amirul Mukminin Latirin, serta pembentangan penyelidikan oleh pelajar pascasiswazah UM berkaitan aplikasi AI dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.

Sesi perbincangan akademik dalam Focus Group Discussion (FGD) bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan dan inovasi antara UTM dan UM

Aspek pembangunan profesional pula diperkukuh melalui Sesi Hi-Tea Alumni Antarabangsa yang diadakan selepas majlis penutupan program di Pejabat Satelit UTM dan UM. Sesi ini menampilkan perkongsian daripada alumni UTM yang kini berkhidmat di UM, iaitu Prof. Hadi Nur, Dr. Mohd Shahril Salleh dan Prof. Madya Dr. Evania Yafie, yang berkongsi pengalaman serta perbezaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran antara Malaysia dan Indonesia. Peserta juga berpeluang bertemu pasangan alumni UTM, Dr. Nurul Hidayat dan Dr. Erni Yulianti, yang berkongsi pengalaman kerjaya dan perjalanan akademik mereka sebagai alumni UTM di Indonesia.

Sesi Hi-Tea dan perkongsian pengalaman bersama alumni UTM yang kini berkhidmat sebagai ahli akademik di Universitas Negeri Malang

Secara keseluruhannya, Program GEMA Nusantara 2026 berjaya menjadi platform yang menggabungkan diplomasi budaya, pertukaran akademik, inovasi teknologi dan pembangunan jaringan antarabangsa. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara UTM dan Universitas Negeri Malang, malah menyumbang kepada pembangunan mahasiswa yang berdaya saing global, beridentiti budaya dan bersedia menghadapi cabaran dunia antarabangsa.

 

Oleh Muhammad Zahir Muzaffar (Penulis) dan Crystal Belinda (Penyunting)

Explore More

UTM Open Day