Dari perca ke pendapatan, UTM perkasa wanita PPR Seri Semarak melalui inovasi Batikgami

SDGSDG1SDG5SDG8SDG11SDG12

📝 Ringkasan

UTM melaksanakan Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Komuniti Perca+ di PPR Seri Semarak, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membangunkan ekosistem komuniti bandar berasaskan inovasi ekonomi kitaran melalui pemanfaatan semula kain perca batik bagi menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasakan komuniti menerusi pelaksanaan Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Komuniti Perca+ Memperkasakan Wanita B40 Bandar melalui Inovasi Ekonomi Kitaran Kain Batik yang berlangsung di Pusat Tuisyen PPR Blok E, Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur.

Program yang dibiayai di bawah Dana KTP Khas UTM Kuala Lumpur ini telah menghimpunkan seramai 20 wanita PPR Seri Semarak berusia antara 18 hingga 74 tahun bagi mengikuti latihan intensif. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada projek pemindahan ilmu selama 12 bulan yang bertujuan membangunkan ekosistem komuniti bandar berasaskan inovasi ekonomi kitaran melalui pemanfaatan semula kain perca batik bagi menjana pendapatan dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi wanita daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Program ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak melalui kerjasama strategik yang melibatkan akademia, industri dan komuniti. Selain wakil daripada UTM, program ini turut dihadiri oleh wakil Bahagian Teknikal Pengurusan Projek (PMTD), Institusi Jurutera Malaysia (IEM), Persatuan Penduduk PPR Seri Semarak dan Surau Jumaat Al-Husna Seri Semarak yang bersama-sama menyokong agenda pembangunan komuniti dan peningkatan kesejahteraan masyarakat setempat.

Ahli projek bergambar bersama penceramah Batikgami, Puan Yusrina Mohamad Salleh dari Yosh Studio serta rakan strategik dari Jafiqa Enterprise dan Project Management Technical Division (PMTD), The Institution of Engineers, Malaysia (IEM)
Ahli projek bergambar bersama penceramah Batikgami, Yusrina Mohamad Salleh dari Yosh Studio, serta rakan strategik dari Jafiqa Enterprise dan PMTD, IEM

Melalui kerjasama strategik dengan Jafiqa Enterprise, lebihan kain perca batik yang lazimnya berakhir sebagai sisa tekstil ditransformasikan menjadi produk kraf tangan bernilai komersial. Jafiqa Enterprise turut menyumbang bahan mentah dalam bentuk barangan bernilai RM10,000 serta menyediakan akses pasaran kepada peserta yang berjaya menghasilkan produk mengikut spesifikasi dan piawaian kualiti yang ditetapkan.

Sepanjang program, peserta diperkenalkan kepada konsep Batikgami, iaitu seni kreatif yang menggabungkan teknik lipatan origami dengan keunikan motif batik Malaysia. Peserta turut mengikuti latihan teori dan amali yang merangkumi pengenalan kepada ekonomi kitaran, pengurusan projek mikro-pengeluaran, kawalan kualiti serta asas keusahawanan. Menariknya, penghasilan produk Batikgami tidak memerlukan kemahiran menjahit, sekali gus membolehkan peserta daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur mengikuti latihan dengan mudah.

Program Komuniti Perca+ menyasarkan penghasilan sembilan inovasi produk berasaskan kain perca batik. Melalui pendekatan pengeluaran mikro yang berstruktur, peserta berpeluang menghasilkan produk dari rumah tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab keluarga.

Projek ini turut menetapkan beberapa sasaran impak yang jelas, termasuk sekurang-kurangnya 75 peratus peserta mampu menghasilkan produk secara kendiri, penghasilan lebih 150 unit produk inovasi, serta peningkatan sekurang-kurangnya 40 peratus tahap pengetahuan dan kemahiran peserta dalam bidang ekonomi kitaran dan penghasilan produk kraf tangan. Dalam jangka sederhana, projek ini mensasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus peserta memperoleh pendapatan tambahan melebihi RM300 sebulan hasil penjualan produk yang dihasilkan.

Latifah Mokhtar, 61 tahun, antara peserta yang menyertai program tersebut, menyatakan bahawa latihan yang diberikan berjaya mengubah persepsi beliau terhadap penghasilan produk kraf tangan.

“Saya tidak pernah belajar menjahit dan pada mulanya berasa bimbang tidak dapat mengikuti aktiviti yang dijalankan. Namun, saya terkejut apabila mendapati produk Batikgami boleh dihasilkan dengan mudah tanpa kemahiran menjahit. Program ini membuktikan bahawa wanita daripada pelbagai peringkat umur, termasuk warga emas seperti saya, masih mampu mempelajari kemahiran baharu dan menjadikannya sebagai peluang untuk menambah pendapatan,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, program tersebut bukan sahaja memberikan ilmu dan kemahiran baharu, malah meningkatkan keyakinan diri peserta untuk meneroka peluang ekonomi berasaskan kreativiti dan amalan ekonomi kitaran. Maklum balas yang diterima daripada peserta lain juga amat menggalakkan apabila majoriti peserta menyatakan minat untuk meneruskan penghasilan produk Batikgami selepas program berakhir. Selain memperoleh kemahiran baharu, mereka turut melihat potensi produk tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan bagi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga.

Hasil inovasi Batikgami yang dihasilkan oleh peserta Komuniti Perca+, membuktikan bahawa sisa kain perca batik mampu ditukar menjadi produk kreatif bernilai ekonomi melalui amalan ekonomi kitaran
Hasil inovasi Batikgami yang dihasilkan oleh peserta Komuniti Perca+, membuktikan bahawa sisa kain perca batik mampu ditukar menjadi produk kreatif bernilai ekonomi melalui amalan ekonomi kitaran

Pelaksanaan Projek Komuniti Perca+ selaras dengan komitmen UTM dalam menjayakan agenda pemindahan ilmu kepada masyarakat dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).

Melalui inisiatif ini, UTM bukan sahaja memindahkan ilmu dan kemahiran kepada komuniti, malah berusaha membangunkan model komuniti berdikari yang mampu berkembang secara autonomi melalui penghasilan produk berasaskan ekonomi kitaran. Program Komuniti Perca+ membuktikan bahawa sisa tekstil yang sebelum ini dianggap tidak bernilai boleh ditransformasikan menjadi sumber pendapatan baharu, sekali gus memperkasakan wanita bandar sebagai agen perubahan dalam komuniti mereka.

Explore More

UTM Open Day