UTM perkasa kolaborasi strategik inovasi dan pelaburan melalui Dialog Siri Ke-3 URIIS 2026

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Dialog Siri Ke-3 URIIS 2026 telah berlangsung dengan jayanya di Institut Dato’ Onn, Iskandar Puteri. Dialog ini membawa dimensi baharu dengan memfokuskan kepada perspektif pelaburan berbanding rundingan akademik semata-mata. Objektif utamanya adalah untuk memahami kekangan struktural yang menyebabkan modal industri masih berhati-hati untuk memasuki ruang penyelidikan dan pembangunan di universiti.

ISKANDAR PUTERI, 29 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan peranannya dalam memacu ekosistem penyelidikan negara melalui penganjuran Dialog Inovasi & Pelaburan Industri-Universiti 2026 (Siri 3). Program yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026 ini telah berlangsung dengan jayanya di Institut Dato’ Onn, Iskandar Puteri.

Sorotan pembentangan oleh Pengarah Kanan MITI, Aedreena Reeza Alwi, mengenai mekanisme pembiayaan di bawah NIMP 2030

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan UTM, dengan sokongan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai rakan strategik.

Majlis pembukaan dan pelancaran telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan Unit Pengurusan Penyampaian, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Aedreena Reeza Alwi. Kehadiran wakil MITI ini menegaskan kepentingan kesalinghubungan antara agenda Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI) dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Sesi dialog interaktif antara wakil universiti dan industri bagi mengenal pasti kenyataan masalah (problem statements) untuk kolaborasi R&D masa hadapan

Dialog kali ini membawa dimensi baharu dengan memfokuskan kepada perspektif pelaburan berbanding rundingan akademik semata-mata. Objektif utamanya adalah untuk memahami kekangan struktural yang menyebabkan modal industri masih berhati-hati untuk memasuki ruang penyelidikan dan pembangunan di universiti.

Perbincangan memberi penekanan kepada aspek kepantasan pelaksanaan, pengurusan risiko, tadbir urus yang cekap, kepastian harta intelek (IP) serta kejelasan pulangan pelaburan (ROI) bagi pihak industri. Selain itu, pihak IRDA turut berkongsi potensi peluang penyelidikan dan inovasi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Suasana sesi perbincangan meja bulat yang memfokuskan kepada perubahan struktural bagi menarik modal industri ke dalam penyelidikan universiti

Bagi mendalami isu-isu yang dibincangkan, sebanyak lima sesi Diskusi Kelompok Terpumpun (FGD) telah dilaksanakan selama satu jam setengah dengan penyertaan rentas sektor antara industri dan ahli akademik. Sesi ini merangkumi bidang strategik seperti kimia dan bahan termaju, elektrik dan elektronik termaju, agroteknologi dan bioteknologi makanan, aeroangkasa serta satu sesi dalam talian bagi sektor ketahanan siber.

Setiap kumpulan diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti halangan utama dan mencadangkan penyelesaian yang praktikal bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan yang berdaya komersial serta berpotensi untuk dikembangkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Wakil industri memberikan input kritikal mengenai keperluan teknikal dan jangkaan ROI bagi projek penyelidikan kolaboratif

Sesi penutup dan hala tuju program telah disampaikan oleh Prof. Madya Ts. Dr. Faridah Kormin dari UTHM. Hasil dapatan dan resolusi daripada dialog ini akan disintesis sebagai input kepada cadangan dasar di peringkat nasional. Laporan akhir tersebut dijadualkan untuk dikemukakan ke peringkat pertimbangan Perdana Menteri sebagai sebahagian daripada agenda URIIS 2026 dalam merapatkan jurang antara hasil penyelidikan universiti dan keperluan pasaran.

Sesi penutup dan rumusan hala tuju URIIS 2026 oleh Prof. Madya Ts. Dr. Faridah Kormin sebagai langkah persediaan ke peringkat sintesis dasar nasional

Komitmen semua pihak, termasuk penglibatan Universiti Putra Malaysia (UPM), membuktikan bahawa sinergi antara universiti dan industri merupakan pemangkin utama dalam memastikan hasil penyelidikan tempatan bukan sahaja berkualiti tinggi, malah mempunyai nilai pelaburan yang kompetitif di peringkat global. Program diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari sebagai tanda penghargaan kepada semua rakan kolaborasi.

Explore More

UTM Open Day