📝 Ringkasan
Ramadan bukan sahaja bulan menunaikan rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa, tetapi juga proses pembentukan dan transformasi dalaman manusia. Ibadah puasa mendidik manusia untuk kembali kepada fitrah yang sarat dengan nilai rahmah, empati dan keprihatinan terhadap orang lain. Melalui pengalaman berpuasa, manusia belajar menahan reaksi negatif, menjadi lebih sabar dan memahami perasaan orang lain. Ini membuka ruang kepada empati yang sebenarnya dan melembutkan hati manusia.
Perubahan dalam masyarakat sebenarnya merupakan refleksi langsung kepada perubahan jiwa individu. Transformasi sosial tidak berlaku secara kolektif dalam sekelip mata, sebaliknya bermula daripada perubahan dalam diri setiap individu. Ramadan mencetuskan kesan gelombang yang bermula daripada individu dan berkembang kepada masyarakat secara lebih luas.
Setiap kali Ramadan menjelma, suasana masyarakat kelihatan berubah. Masjid dan surau menjadi lebih meriah, amalan bersedekah semakin rancak, manakala hati manusia menjadi lebih lembut untuk memaafkan. Namun persoalan yang wajar difikirkan ialah mengapakah perubahan ini berlaku dan bagaimana momentum tersebut boleh dimanfaatkan untuk membina komuniti penyayang yang berkekalan?
Hakikatnya, Ramadan bukan sekadar bulan menunaikan rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa tetapi juga proses pembentukan dan transformasi dalaman manusia. Melalui ibadah puasa, manusia dididik untuk kembali kepada fitrah yang sarat dengan nilai rahmah, empati dan keprihatinan terhadap orang lain. Dalam kehidupan moden yang semakin dipengaruhi kesibukan kerja, tekanan hidup dan kecenderungan individualistik, manusia kelihatan hidup berdekatan secara fizikal tetapi sebaliknya terpisah secara emosi.
Fenomena ini dapat dilihat dalam kehidupan seharian. Jiran tinggal bersebelahan tetapi jarang bertegur sapa. Ada yang tinggal menetap di satu-satu kawasan bertahun-tahun tanpa mengenali mereka yang berada di sekeliling. Dalam konteks ini, Ramadan memainkan peranan penting sebagai pemulih hubungan sosial yang semakin renggang.
Puasa mendidik manusia untuk menahan diri bukan sahaja daripada makan dan minum, tetapi juga daripada kemarahan, prasangka dan sikap mementingkan diri. Apabila seseorang belajar menahan reaksi negatif, dia akan menjadi lebih sabar serta lebih memahami perasaan orang lain. Pada masa yang sama, pengalaman menahan lapar dan dahaga menjadikan seseorang lebih menghayati kesusahan golongan yang kurang bernasib baik.
Empati yang lahir daripada pengalaman ini bukan sekadar pemahaman secara intelektual, tetapi turut melibatkan pengalaman emosi yang mendalam. Perasaan tersebut menjadi asas penting kepada pembentukan tingkah laku sosial seperti membantu, berkongsi dan mengambil berat terhadap kesejahteraan orang lain. Dalam erti kata lain, pengalaman berpuasa melembutkan hati dan membuka ruang kepada empati yang sebenarnya.
Perubahan dalam masyarakat sebenarnya merupakan refleksi langsung kepada perubahan jiwa individu. Transformasi sosial tidak berlaku secara kolektif dalam sekelip mata, sebaliknya bermula daripada perubahan dalam diri setiap individu. Jiwa yang bersih, stabil dan seimbang akan menghasilkan tingkah laku yang konstruktif serta penuh kasih sayang. Sebaliknya, jiwa yang dipenuhi kegelisahan, egoisme dan kelalaian akan melahirkan masyarakat yang rapuh dan terpisah secara emosi.
Perubahan yang bermula daripada individu ini seterusnya berkembang dalam institusi paling asas dalam masyarakat, iaitu keluarga. Rumah merupakan tempat pertama nilai rahmah dan kasih sayang dipupuk. Ramadan membuka ruang kepada keluarga untuk kembali meluangkan masa bersama melalui aktiviti berbuka puasa, bersahur dan beribadah secara berjemaah.
Detik berbuka puasa bersama keluarga, walaupun sederhana, mampu menghidupkan semula hubungan yang mungkin terabai akibat kesibukan harian. Dalam suasana inilah anak-anak belajar daripada teladan ibu bapa mereka. Nilai murni tidak hanya disampaikan melalui nasihat, tetapi lebih berkesan apabila ditunjukkan melalui tingkah laku.
Apabila anak-anak melihat ibu bapa mereka bersabar, bersedekah dan menghormati orang lain, nilai tersebut akan tertanam dalam jiwa mereka. Bermula dari lingkungan keluarga, nilai ini kemudian berkembang kepada jiran dan komuniti yang berada di sekitarnya. Aktiviti sosial yang berlaku sepanjang Ramadan bukan sahaja meningkatkan hubungan spiritual dengan Tuhan, malah turut memperkukuh ikatan emosi antara manusia.
Dari sudut psikologi sosial, fenomena ini boleh difahami melalui konsep “penularan emosi dan tingkah laku” atau emotional and behavioural contagion. Konsep ini merujuk kepada keadaan di mana emosi dan tingkah laku seseorang individu boleh mempengaruhi individu lain dalam persekitarannya.
Apabila seseorang menjadi lebih sabar, lebih pemurah dan lebih pemaaf sepanjang Ramadan, perubahan tersebut secara tidak langsung mempengaruhi ahli keluarga, jiran serta komuniti di sekelilingnya. Dengan kata lain, Ramadan mencetuskan kesan gelombang yang bermula daripada individu dan berkembang kepada masyarakat secara lebih luas.
Hubungan kejiranan pula merupakan lanjutan penting daripada pembentukan nilai dalam keluarga. Dalam masyarakat tradisional, Ramadan sering dikaitkan dengan budaya berkongsi makanan, bertukar juadah dan saling menziarahi. Walaupun kelihatan sederhana, amalan berkongsi juadah berbuka puasa atau sekadar bertanya khabar mempunyai kesan psikologi yang besar.
Amalan tersebut membina rasa kebersamaan dan mengurangkan perasaan terasing dalam kalangan masyarakat. Individu yang merasa dihargai dan disayangi lebih cenderung untuk menunjukkan kasih sayang kepada orang lain. Dari sudut psikologi, keadaan ini meningkatkan rasa keterhubungan sosial, yang merupakan antara faktor penting dalam kesejahteraan mental.
Sebaliknya, pengasingan sosial dan hubungan kejiranan yang lemah sering dikaitkan dengan peningkatan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan kesunyian. Dalam konteks ini, Ramadan boleh dianggap sebagai satu bentuk intervensi sosial semula jadi yang menggalakkan interaksi positif serta mengurangkan jurang emosi antara individu dalam masyarakat.
Selain memperkukuh hubungan sosial, Ramadan juga meningkatkan kesedaran moral dalam diri individu. Apabila seseorang memperbanyakkan amalan ibadah, mereka cenderung menjadi lebih peka terhadap tingkah laku sendiri. Percakapan lebih dijaga, kesalahan orang lain lebih mudah dimaafkan dan keinginan untuk membantu semakin meningkat.
Kesedaran diri ini merupakan komponen penting dalam kecerdasan emosi dan kematangan psikologi. Individu yang mempunyai kesedaran diri yang tinggi lebih mampu mengawal emosi negatif, mengurus konflik secara matang dan membina hubungan interpersonal yang sihat. Apabila nilai ini berkembang dalam diri ramai individu, ia akhirnya membentuk budaya komuniti yang lebih harmoni dan penyayang.
Namun demikian, cabaran utama adalah memastikan perubahan positif sepanjang Ramadan tidak bersifat sementara. Ramai individu mampu bersabar, bersedekah dan berlapang dada sepanjang bulan ini, tetapi kembali kepada tabiat lama apabila Ramadan berakhir. Keadaan ini berlaku kerana Ramadan sering dilihat sebagai tempoh sementara, bukan sebagai titik permulaan perubahan yang berterusan.
Hakikatnya, Ramadan sepatutnya menjadi landasan untuk membentuk keperibadian yang lebih baik dalam jangka panjang. Tanpa kesedaran dan usaha berterusan, perubahan yang berlaku sepanjang Ramadan akan berakhir bersama berakhirnya bulan ini.
Oleh itu, beberapa langkah praktikal boleh diambil untuk memastikan semangat Ramadan terus hidup dalam kehidupan seharian. Antaranya ialah membina budaya komunikasi yang positif dalam keluarga, menghidupkan semula amalan berkongsi dengan jiran, meningkatkan kepekaan terhadap keperluan golongan memerlukan serta mengekalkan budaya memaafkan.
Walaupun kelihatan kecil, tindakan-tindakan ini mempunyai kesan yang besar terhadap pembentukan budaya masyarakat. Komuniti penyayang tidak terbina melalui slogan atau retorik semata-mata, tetapi melalui tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten.
Ramadan mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah masyarakat bergantung kepada kekuatan jiwa individunya. Apabila jiwa menjadi bersih, tingkah laku menjadi baik. Apabila tingkah laku menjadi baik, hubungan sesama manusia menjadi lebih harmoni. Daripada hubungan yang harmoni itulah lahirnya masyarakat yang sejahtera.