February 13, 2026

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menemui sumber air bawah tanah yang disifatkan sebagai ‘nadi bumi’ di kampusnya. Telaga akuifer batuan ini berkeupayaan membekalkan sehingga satu juta liter air bersih setiap hari dan merupakan inovasi luar biasa dalam menjamin bekalan air bagi warga kampus. Projek ini diterajui oleh pasukan penyelidik transdisiplin dari UTM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta rakan industri dan telah mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

Krisis air di Malaysia yang kerap berlaku akibat pencemaran sungai, perubahan iklim dan pertumbuhan bandar yang pesat menimbulkan kebimbangan serius terhadap keupayaan negara menjamin bekalan air yang stabil. Insiden gangguan bekalan air seperti pencemaran Sungai Johor yang berlaku tahun lalu tidak lagi boleh dianggap sebagai peristiwa terpencil. Sebaliknya, keadaan ini mencerminkan risiko sistemik yang mengancam kesihatan awam, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat apabila sumber utama tercemar seterusnya mengakibatkan loji rawatan terpaksa dihentikan operasi beberapa hari. Dalam situasi ini, pencarian sumber air alternatif yang bersih dan lestari bukan lagi satu pilihan, tetapi menjadi keperluan strategik negara.

Di tengah cabaran nasional ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil dengan satu inovasi luar biasa yang mengubah perspektif terhadap peranan institusi pengajian tinggi dalam menjamin bekalan air bagi warga kampus. Di sebalik kehijauan Hutan Rekreasi UTM Johor Bahru, satu penemuan bersejarah telah direkodkan. Dari rekahan batuan keras di bawah permukaan bumi sedalam 158 meter, mengalir sumber air bawah tanah yang disifatkan sebagai ‘nadi bumi’. Telaga akuifer batuan ini berkeupayaan membekalkan sehingga satu juta liter air bersih setiap hari, sekali gus meletakkan UTM sebagai institusi pendidikan tinggi pertama di Malaysia yang berjaya membangunkan dan mengoperasikan telaga akuifer batuan sendiri di dalam kawasan kampus.

Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad (tiga dari kiri) bersama pasukan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) yang terlibat dalam pelaksanaan projek telaga akuifer batuan UTM
Tangki yang digunakan sebagai sistem simpanan air bagi memastikan bekalan mencukupi dan terpelihara kualitinya

Pencapaian ini bukanlah satu kebetulan. Ia lahir daripada pendekatan penyelidikan terjemahan (Translational Research@Campus) yang diperkenalkan sejak 2018. Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM yang turut tersenarai dalam Stanford Elsevier Top 2% Scientists in the World 2025, menjelaskan bahawa inisiatif ini bertujuan memastikan penyelidikan universiti tidak terhenti di jurnal dan makmal semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Perkembangan ilmu melalui kajian dan penyelidikan perlu diakhiri dengan penyampaian manfaat dalam bentuk kesejahteraan, kebahagiaan dan kemudahan kepada orang ramai,” ujar beliau, menggariskan tujuan utama di sebalik projek tersebut.

Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam (kanan) dan Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin berbelakangkan sistem rawatan air yang menggunakan karbon diaktifkan berlogo halal bagi menjamin kualiti dan keselamatan air

Projek ini diterajui oleh pasukan penyelidik transdisiplin dari UTM, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta rakan industri. Mereka menggabungkan kajian geologi, pengimejan geofizik, hidrogeologi dan teknologi geomatik berketepatan tinggi bagi mengenal pasti lokasi rekahan batuan yang berpotensi menyimpan serta menyalurkan air. Prof. Edy menganalogikan usaha ini seperti mencari urat dalam tubuh manusia.

“Aliran ini seperti urat di dalam badan. Apabila dicucuk dengan tepat, maka darah dapat mengalir, tetapi jika tersasar, aliran tidak akan ditemui,” katanya, bagi menjelaskan kaedah mengenal pasti rekahan air dalam batuan keras.

Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad bersama Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin Musa menunjukkan sistem pam penambah tekanan yang memastikan kawalan tekanan air serta operasi bekalan yang stabil dan berterusan

Setelah lima hingga enam bulan kerja penggalian yang bermula pada tahun 2021, sumber air akhirnya ditemukan pada kedalaman 158 meter dalam batuan gabbro.

“Gabbro merupakan sejenis batuan yang terbentuk jauh di dalam kerak bumi UTM. Rekahan dalam batuan tersebut bertindak sebagai laluan semula jadi bagi air hujan yang meresap ke dalam bumi, seterusnya membentuk sistem akuifer yang mengalir berterusan. Air yang dihasilkan bukan sahaja banyak, malah berkualiti tinggi,” jelas Prof. Edy ketika menerangkan keunikan struktur batuan di bawah tanah UTM.

Air hujan yang pada asalnya bersifat berasid berubah menjadi beralkali dan diperkaya dengan mineral seperti magnesium, kalsium, natrium dan kalium apabila melalui lapisan batuan ini. Kandungan ferum yang lazim ditemui dalam air bawah tanah pula dirawat melalui proses pengoksidaan, penggumpalan dan penapisan asas bagi memastikan keselamatannya.

Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad menunjukkan bacaan pH beralkali air akuifer yang telah melalui proses penapisan

Kos pembangunan telaga ini, termasuk pemasangan pam, sistem rawatan asas, tangki penyimpanan dan sistem pengepaman, menelan belanja kira-kira RM200 ribu. Kapasiti air yang dihasilkan mencukupi untuk kegunaan harian sehingga 7,000 pengguna bagi keperluan harian. Bagi tujuan minuman dan memasak pula, sumber ini berpotensi dimanfaatkan sehingga 100 ribu individu sehari.

Keupayaan teknologi ini terbukti signifikan apabila UTM menggerakkan sumber berkenaan bagi membantu pelajar dan warga kampus ketika gangguan bekalan air berskala besar susulan pencemaran Sungai Johor.

“Apabila berlaku isu air yang meluas, satu-satunya sumber yang ada ialah akuifer ini dan kita salurkan air ke tangki utama serta melalui lori tangki kepada pelajar dan warga kampus,” kata Prof. Edy.

Dari sudut geologi, kejayaan ini amat luar biasa kerana kebarangkalian menemui akuifer dalam batuan keras di kawasan berbukit adalah sangat rendah. Prof. Edy menekankan bahawa kajian ini bukan sekadar pengaplikasian sains, tetapi juga memerlukan imaginasi dan ketelitian untuk menentukan lokasi rekahan air yang tepat.

Sistem akuifer batuan UTM menyalurkan air daripada rekahan batuan keras, menjadikannya lebih stabil dan tidak menjejaskan struktur tanah. Projek ini telah mendapat kelulusan rasmi daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor, menandakan pengiktirafan rasmi terhadap inovasi ini.

Prof. Madya Dr. Tajul Ariffin (dua dari kiri) memberi penerangan mengenai fasiliti rawatan air akuifer yang menyokong sistem bekalan air alternatif kampus

Lebih daripada sekadar telaga air, projek ini menjadi simbol bagaimana sebuah universiti boleh berperanan sebagai benteng strategik negara. Ia bukan sahaja mengurangkan kos operasi universiti, malah meningkatkan daya tahan kampus terhadap krisis air. Prof. Edy turut menggambarkan tanah UTM sebagai bumi bertuah” yang kaya dengan mineral berharga lain, yang membuka peluang untuk eksplorasi dan penterjemahan lanjut bagi manfaat masa depan.

Secara keseluruhan, pembangunan telaga akuifer batuan di UTM merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang universiti untuk memperkukuh keselamatan sumber air kampus dan pada masa sama memberi sokongan kepada masyarakat sekitar ketika berdepan krisis. Dari rekahan batuan di Hutan Rekreasi UTM, universiti telah menemukan bukan sekadar air, tetapi satu model masa depan yang menunjukkan bagaimana keterjaminan bekalan air dapat diperkukuh melalui gabungan sains, kepimpinan, dan keberanian. Projek ini menjadi bukti nyata semangat penyelidikan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar, menjadikannya contoh cemerlang bagi universiti lain di Malaysia.

Explore More

UTM Open Day