📝 Ringkasan
Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah menganjurkan Sesi Libat Urus untuk memperingati pelantikan pentadbir akademik baharu dan kenaikan pangkat staf di UTM Cawangan Kuala Lumpur. 11 warga UTM Cawangan Kuala Lumpur yang menerima kenaikan pangkat, termasuk tiga staf pentadbiran dan sokongan serta lapan staf akademik telah diberi ucapan syabas oleh Naib Canselor. Beliau juga mengingatkan bahawa kepimpinan adalah satu amanah besar yang menuntut keadilan, keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang tinggi.
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Universiti Teknologi Malaysia Cawangan Kuala Lumpur telah menganjurkan Sesi Libat Urus Naib Canselor UTM bagi meraikan pelantikan pentadbir akademik baharu, kenaikan pangkat staf tahun 2025 serta staf yang bergraduan pada Majlis Konvokesyen ke-69. Majlis tersebut berlangsung di Dewan Bankuet, Menara Razak, UTM Cawangan Kuala Lumpur.
Dalam ucapan aluan, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, merakamkan ucapan tahniah kepada 11 warga UTM Cawangan Kuala Lumpur yang menerima kenaikan pangkat, melibatkan tiga staf pentadbiran dan sokongan serta lapan staf akademik. Ucapan syabas turut diberikan kepada seorang pentadbir akademik baharu yang dilantik.
Beliau menegaskan bahawa kenaikan pangkat dan pelantikan merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap dedikasi, disiplin serta sumbangan cemerlang staf kepada universiti. Mengambil inspirasi daripada pemikiran Imam al-Ghazali, beliau mengingatkan bahawa kepimpinan adalah satu amanah besar yang menuntut keadilan, keikhlasan dan rasa tanggungjawab yang tinggi.

Majlis turut diserikan dengan slot penghargaan khas bagi meraikan seramai 10 kakitangan UTM Cawangan Kuala Lumpur yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing pada Majlis Konvokesyen ke-69. Pencapaian ini bukan sekadar kejayaan peribadi, malah melambangkan iltizam warga kerja dalam memperkukuh kecemerlangan diri serta menyumbang kepada peningkatan mutu akademik universiti secara keseluruhan.
Pihak pengurusan universiti menyifatkan kejayaan staf yang bergraduan ini sebagai bukti budaya pembelajaran sepanjang hayat yang subur dalam kalangan komuniti UTM. Semangat cekal yang dipamerkan diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada warga kerja lain untuk terus meningkatkan kompetensi dan kepakaran, sekali gus memperkukuh daya saing institusi di peringkat global.
Sebagai penutup ucapan, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menyeru warga staf agar terus mengoptimumkan peranan masing-masing, menterjemahkan ilmu kepada inovasi serta memacu perubahan secara strategik supaya UTM kekal tangkas, relevan dan berdaya tahan. Seruan tersebut selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk meletakkan universiti dalam kelompok 100 terbaik dunia menjelang tahun 2030.

Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam menghargai sumbangan warganya serta memperkukuh budaya kecemerlangan organisasi. Pengiktirafan terhadap pencapaian staf bukan sahaja menyemarakkan motivasi dalaman, malah memperlihatkan kesungguhan UTM dalam membina ekosistem kerja yang progresif, berintegriti dan berorientasikan prestasi tinggi demi kelangsungan kecemerlangan universiti pada masa hadapan.
Diharapkan pengiktirafan dan penghargaan yang dizahirkan melalui sesi ini akan terus menyuntik semangat kepada seluruh warga UTM untuk melangkah lebih jauh dalam bidang kepakaran masing-masing. Semoga budaya kecemerlangan, pembelajaran berterusan dan kepimpinan berintegriti terus subur dalam komuniti universiti, sekali gus memperkukuh peranan UTM sebagai institusi yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, malah menjadi peneraju perubahan yang memberi impak bermakna kepada masyarakat dan negara.