📝 Ringkasan

Cuti semester di UTM bukan sekadar masa rehat, tetapi juga peluang untuk pelajar memulihkan tenaga, bermuhasabah diri, dan membuat persediaan untuk semester seterusnya. Pelajar digalakkan melakukan aktiviti santai dan bermakna, termasuk menyambut perayaan serta menyertai aktiviti sukarelawan atau kursus kemahiran. Dengan perancangan awal, pelajar dijangka kembali dengan semangat baharu dan perspektif matang untuk semester akan datang.

Setiap kali semester berakhir, suasana kampus mula terasa sedikit berbeza. Jika sebelum ini kelihatan pelajar bergegas ke bilik kuliah dan ada yang berjalan santai sambil berborak bersama rakan, suasana itu perlahan-lahan berubah apabila cuti semester bermula. Bilik kuliah, ruang perbincangan, kafe dan perpustakaan yang sebelum ini dipenuhi pelajar untuk menyelesaikan tugasan dan mengulang kaji pelajaran kini menjadi lebih tenang. Selepas melalui minggu pembelajaran yang padat dengan kuliah, projek dan peperiksaan, cuti semester sememangnya satu tempoh yang dinanti-nantikan.

Bagi Semester 1 Sesi 2025/2026, cuti semester kini sedang berlangsung dan dijangka berakhir pada 15 Mac 2026, manakala Semester 2 Sesi 2025/2026 akan bermula pada 16 Mac 2026. Tempoh ini bukan sekadar ruang untuk berehat daripada kesibukan akademik, tetapi juga peluang untuk pelajar mengembalikan tenaga, membuat refleksi diri dan bersedia menghadapi semester seterusnya dengan lebih terancang. Dalam kesibukan menyiapkan tugasan sebelum ini, mungkin terdapat sasaran akademik yang belum dicapai atau strategi pembelajaran yang boleh diperbaiki. Cuti semester memberi ruang untuk menilai semula pendekatan tersebut secara lebih tenang.

Selepas tempoh akademik yang intensif dengan tugasan individu dan berkumpulan, pembentangan projek serta peperiksaan akhir, rasa penat fizikal dan mental adalah sesuatu yang normal. Kadangkala timbul perasaan bersalah apabila berehat terlalu lama, namun rehat sebenarnya sebahagian daripada proses pembelajaran. Tanpa rehat yang mencukupi, fokus dan motivasi mudah terjejas. Kesihatan mental dan emosi yang stabil memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi akademik jangka panjang. Pelajar yang memperoleh rehat secukupnya lazimnya lebih mudah menyesuaikan diri apabila semester baharu bermula.

Pelbagai aktiviti santai boleh dilakukan sepanjang cuti, seperti meluangkan masa bersama keluarga, membaca novel, memasak, berkebun, menonton rancangan kegemaran, bersukan ringan atau membeli-belah. Aktiviti sederhana ini sudah memadai untuk memulihkan tenaga dan menstabilkan emosi. Apabila kesejahteraan diri terpelihara, pelajar kebiasaannya kembali ke kampus dengan semangat yang lebih segar dan motivasi yang diperbaharui.

Cuti semester kali ini juga bertepatan dengan sambutan Tahun Baharu Cina serta kedatangan bulan Ramadan. Situasi ini memberi peluang kepada pelajar untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan sambil meraikan kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan masyarakat Malaysia. Suasana perayaan sentiasa membawa makna kebersamaan, kesyukuran dan penghargaan terhadap hubungan kekeluargaan.

Bagi pelajar Muslim, Ramadan boleh menjadi ruang refleksi diri yang lebih mendalam, bukan sahaja dari sudut spiritual tetapi juga dalam aspek pengurusan masa, disiplin dan keseimbangan hidup. Pelajar berpeluang berbuka puasa bersama keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan, sekali gus mengeratkan silaturahim dalam suasana bulan yang penuh keberkatan. Dalam masa yang sama, suasana perayaan membantu menstabilkan emosi sebelum kembali kepada rutin akademik yang lebih mencabar.

Walaupun cuti semester kali ini jatuh pada bulan Ramadan, ia tidak menghalang pelajar daripada menyertai projek sukarelawan, melaksanakan projek peribadi atau mengikuti kursus kemahiran. Pengalaman sebegini bukan sahaja menambah kemahiran teknikal, malah meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan keupayaan bekerja dalam pasukan. Kemahiran ini amat penting ketika melaksanakan tugasan berkumpulan dan pembentangan projek, malah menjadi nilai tambah apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Sebagai pensyarah, perubahan positif sering dilihat pada pelajar yang aktif mengisi cuti semester dengan pengalaman bermakna. Mereka lazimnya kembali ke kampus dengan hala tuju akademik yang lebih jelas, lebih matang dalam membuat keputusan serta lebih bersedia menghadapi cabaran pembelajaran. Pengalaman di luar bilik kuliah kadangkala membantu pelajar memahami hubungan antara teori dan realiti dengan lebih mendalam.

Sedikit persediaan awal juga boleh membantu mengurangkan tekanan apabila semester bermula. Menyemak kursus yang bakal diikuti, menetapkan sasaran akademik atau menyusun rutin harian sudah memadai untuk memastikan permulaan yang lebih teratur. Pelajar boleh merujuk kalendar akademik dan jadual kerja rasmi melalui laman sesawang Universiti Teknologi Malaysia bagi mendapatkan maklumat berkaitan jadual semester, cuti universiti dan perancangan akademik. Perancangan awal lazimnya membantu pelajar memulakan semester dengan lebih tersusun serta mengelakkan kekeliruan pada minggu pertama kuliah.

Hakikatnya, cuti semester bukan sekadar tempoh berhenti belajar. Ia sebahagian daripada perjalanan pembelajaran itu sendiri, iaitu masa untuk memulihkan tenaga, membuat refleksi diri, memperkukuh kemahiran dan bersedia menghadapi cabaran seterusnya. Diharapkan apabila Semester 2 Sesi 2025/2026 bermula, pelajar UTM kembali dengan tenaga baharu, motivasi yang lebih jelas dan perspektif yang lebih matang. Apa jua cara cuti diisi, semoga ia memberi manfaat kepada kesejahteraan diri dan perkembangan masa depan pelajar.

Akhir kata, selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada yang meraikan dan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh warga UTM yang beragama Islam. Semoga tempoh cuti semester ini menjadi ruang untuk berehat, bermuhasabah dan kembali dengan semangat baharu menghadapi semester akan datang.

Kenangan bersama pelajar Sarjana Muda Kecerdasan Buatan, Fakulti Kecerdasan Buatan, sebelum melangkah ke cuti semester, membawa pengalaman, ilmu dan semangat baharu untuk semester seterusnya
Wajah ceria pelajar sarjana Fakulti Kecerdasan Buatan selepas mengharungi satu semester penuh cabaran akademik dan perbincangan isu semasa dalam bidang informatik dan masyarakat

 

Oleh Dr. Wan Noor Hamiza Wan Ali, Pensyarah Kanan, Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Explore More

UTM Open Day