JOHOR BAHRU, 5 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti penyelidikan berteraskan teknologi apabila memeterai kerjasama strategik industri–universiti bagi memacu penyelidikan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kesihatan, khususnya melalui inovasi teknologi Perubatan Tradisional Cina (Traditional Chinese Medicine – TCM).
Kerjasama ini dizahirkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dan 5M Technology Sdn. Bhd., yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan lokalisasi peralatan TCM berasaskan AI untuk tujuan penyelidikan, inovasi serta pemindahan teknologi. Inisiatif ini diterajui oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTM, selari dengan kepakaran fakulti dalam sistem pintar, kejuruteraan bioperubatan dan aplikasi AI.

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru, telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, manakala 5M Technology Sdn. Bhd. diwakili oleh Pengerusinya, Dato’ Michael Lim Heen Peok.
Dalam ucapannya, Prof. Dr. Mohd Shafry menyatakan penghargaan kepada 5M Technology kerana memilih UTM sebagai rakan strategik dalam inisiatif penting ini.
“Kita tahu teknologi masa kini sangat disruptif dan memerlukan penyesuaian dengan keperluan tempatan. Kadangkala produk yang dibangunkan dari luar negara tidak sesuai dengan konteks kita, jadi kita perlu melakukan inovasi atau penambahbaikan supaya teknologi tersebut benar-benar memenuhi keperluan tempatan, terutamanya dalam bidang TCM,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama ini membuka ruang kepada pembangunan produk tempatan berasaskan teknologi AI dan inovasi kesihatan, serta mengukuhkan peranan universiti dalam memacu penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat.
“Kita mahu pastikan hasil penyelidikan dan teknologi yang dibangunkan bukan sekadar akademik semata-mata, tetapi mampu diterjemahkan kepada kesejahteraan manusia. Dalam strategi UTM ASCEND2030, kita nyatakan dengan jelas bahawa setiap inovasi mesti menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat,” tambah beliau.
Prof. Shafry turut berkongsi pengalaman terdahulu dalam menjalin kolaborasi dengan industri lain, seperti projek bersama Billion Prima Sdn. Bhd., yang menghasilkan ‘durian scanner’ untuk pasaran eksport ke China. Beliau menyifatkan pengalaman itu sebagai bukti bahawa kerjasama erat antara universiti dan industri mampu menghasilkan teknologi yang praktikal dan berimpak ekonomi.
Melalui MoU ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka pelbagai bentuk kolaborasi termasuk penyelidikan bersama, pembangunan makmal satelit penyelidikan, pertukaran kepakaran serta latihan penyelidik dan pelajar pascasiswazah dalam bidang kejuruteraan bioperubatan, sains kesihatan dan aplikasi AI.

Kerjasama strategik ini juga dijangka memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa, khususnya antara Malaysia dan China, sekali gus meningkatkan keterlihatan global UTM dalam bidang teknologi kesihatan dan AI.
Dari sudut hasil, kerjasama ini disasarkan untuk menjana output penyelidikan berimpak tinggi, termasuk penerbitan bersama dalam jurnal berindeks antarabangsa, pembangunan prototaip peranti TCM berasaskan AI, pendaftaran harta intelek (IP) serta potensi pengkomersialan teknologi kesihatan.

Pada masa yang sama, inisiatif ini turut memperkukuh ekosistem pemindahan ilmu dan teknologi daripada makmal ke aplikasi dunia sebenar.
MoU ini berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun dan menjadi platform penting ke arah pembangunan penyelidikan berimpak, inovasi lestari serta pengukuhan hubungan industri–universiti dalam ekosistem kesihatan berteknologi tinggi.