📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan Pelan Strategik ASCEND 2030 untuk meningkatkan kebitaraan institusi. Pelan ini bertujuan memastikan relevansi, daya saing dan impak global UTM. Ia berpandukan falsafah universiti “Kerana Tuhan untuk Manusia” yang menyeimbangkan kecemerlangan global dengan tanggungjawab kemanusiaan. Pelan strategik ini disokong enam objektif strategik utama dan menyasarkan 10 keberhasilan utama termasuk mencapai kedudukan Top 100 QS World University Rankings dan menarik 300,000 pembelajar global.
JOHOR BAHRU, 26 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melonjakkan kebitaraan institusi menerusi Majlis Perutusan Tahun Baharu Naib Canselor 2026 yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim di Dewan Bankuet, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Majlis yang dihadiri seramai 3,899 orang itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik UTM ASCEND 2030.
Tahun 2026 menandakan titik perubahan penting bagi UTM apabila universiti ini membina masa hadapan berlandaskan asas kecemerlangan yang terbukti, di samping melaksanakan pelarasan struktural bagi memastikan relevansi, daya saing dan impak global.
“Perubahan ini bukan sekadar retorik, sebaliknya transformasi strategik berpaksikan nilai, keilmuan dan tanggungjawab universiti kepada masyarakat dan negara,” kata Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry. Aspirasi ini digerakkan di bawah tema Perubahan Struktural, Kesinambungan Kecemerlangan Universiti.

Pelan Strategik ASCEND 2030 berfungsi sebagai kompas strategik yang menyatukan aspirasi akademik, penyelidikan, pembangunan bakat, kelestarian dan kemanusiaan. Ia berpandukan falsafah universiti “Kerana Tuhan untuk Manusia”, yang menyeimbangkan kecemerlangan global dengan tanggungjawab kemanusiaan, serta kemajuan teknologi dengan nilai adab dan etika.
Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry, ”ASCEND 2030 menginspirasikan lonjakan kecemerlangan UTM yang berpaksikan empat teras Keunggulan Terbilang, iaitu Lonjakan Kebitaraan, Bakat Global, Kemampanan dan Kelestarian, serta Kemanusiaan dan Kesejahteraan. Keempat-empat teras ini selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 yang menekankan transformasi pendidikan tinggi berteraskan kemanusiaan dan matlamat pembangunan negara.”
Pelan strategik ini disokong enam objektif strategik utama, antaranya mempertingkatkan kedudukan global universiti, memperkukuh pembelajaran adaptif berteraskan kemanusiaan, mencapai daya tahan kewangan, menyediakan pengalaman kampus mampan dan pintar, memastikan kelestarian institusi, serta memperkasa transformasi ekonomi dan pendidikan melalui pembangunan kapasiti strategik dan integrasi industri.

Menjelang tahun 2030, UTM menyasarkan 10 keberhasilan utama, termasuk mencapai kedudukan Top 100 QS World University Rankings, 10 bidang pengajian tersenarai dalam QS Top 100 Subject Rankings, menarik dan melatih 300,000 pembelajar global merangkumi saluran formal, bukan formal dan tidak formal, serta mencapai 40 peratus penempatan pekerjaan premium Tahap 1 bagi graduan UTM.
Selain itu, universiti menyasarkan penjanaan pendapatan kasar tahunan RM500 juta, pengurangan jejak karbon institusi sebanyak 30 peratus, pengoptimuman kos operasi per pelajar sebanyak 20 peratus, mewujudkan perancangan penggantian Pakar Bidang (Subject Matter Experts, SME) bagi memastikan liputan 100 peratus bakat berimpak tinggi merentas semua bidang kepakaran universiti.
Dalam pada itu, keberhasilan ini turut meliputi pembangunan 13 projek berteraskan kemanusiaan yang memperkasa komuniti melalui penglibatan berihsan, asas etika dan orientasi khidmat, serta mencapai penarafan impak lima bintang bagi 70 projek transformasi komuniti berasaskan R&D yang memajukan kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan penjanaan semula sosioekonomi.

Seiring dengan aspirasi kemanusiaan dan kelestarian yang digariskan dalam ASCEND 2030, UTM turut memperkukuh agenda kebajikan pelajar dan tadbir urus inklusif melalui pelaksanaan Menu Rahmah, penawaran biasiswa berasaskan kecerdasan buatan (AI), biasiswa endowmen serta pembangunan Kampung Inklusif OKU, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).



Dalam aspek kesaksamaan jantina, universiti menetapkan sasaran 40 peratus pelantikan jawatan penting dalam kalangan wanita sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap tadbir urus progresif dan agenda nasional. Usaha kelestarian ini turut diperkukuh melalui pelancaran inisiatif Bangunan Hijau bagi Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim yang dicetuskan oleh Yang Berbahagia Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Universiti, dengan penerapan model amalan Green Building Index sebagai pemangkin pembudayaan amalan lestari merangkumi aspek fizikal bangunan serta perubahan tingkah laku dan kesedaran warga kampus.
Bagi tahun 2026, sebanyak 161 Pelan Tindakan ASCEND akan dilaksanakan merangkumi dimensi Core, Growth, dan Transform melibatkan sembilan kumpulan tindakan strategik yang menyokong pelaksanaan menyeluruh ASCEND 2030.
Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry turut menegaskan bahawa, ”Segala perancangan dalam ASCEND 2030, khususnya Pelan Tindakan 2026, hanya dapat direalisasikan melalui perubahan struktural yang menyentuh asas kepada cara sesebuah universiti berfungsi, termasuk struktur yang mampan, budaya kerja berkualiti dan pemikiran bertahap global.”
Melalui pelancaran Pelan Strategik ASCEND 2030, UTM menunjukkan kesungguhan dengan memacu perubahan struktural, kecemerlangan akademik, pembangunan bakat, kelestarian dan tanggungjawab kemanusiaan secara holistik, di samping memperkukuh kebajikan pelajar, kesaksamaan jantina dan pembangunan komuniti. Pelan ini juga menjadi panduan strategik bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak yang nyata serta menyediakan pengalaman pembelajaran yang mampan dan relevan dengan keperluan global dan industri, seterusnya melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berwawasan global dan beretika yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
