📝 Ringkasan
Program “TVET NextGen: Kemahiran Masa Depan” telah berjaya diadakan oleh Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Razak, Universiti Teknologi Malaysia bersama Kolej Vokasional Kota Tinggi. Program ini bertujuan memberikan pendedahan praktikal dan terkini kepada pelajar diploma Kolej Vokasional Kota Tinggi mengenai landskap pendidikan serta hala tuju kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Program ini memfokuskan aplikasi teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 melalui modul pengenalan sistem Arduino dan telah berjaya membina kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan di kalangan peserta.
KOTA TINGGI, 19 Jan – Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Tun Razak, Universiti Teknologi Malaysia dengan kerjasama Kolej Vokasional Kota Tinggi telah berjaya menganjurkan program “TVET NextGen: Kemahiran Masa Depan” yang bertujuan memberikan pendedahan praktikal dan terkini kepada peserta mengenai landskap pendidikan serta hala tuju kerjaya dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Program ini memfokuskan aplikasi teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 melalui modul pengenalan sistem Arduino. Menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning), pelajar diploma Kolej Vokasional Kota Tinggi diberi peluang memahami aplikasi sebenar kemahiran teknikal dalam persekitaran industri moden, sekali gus mencetuskan minat untuk meneroka laluan akademik dan kerjaya yang lebih progresif.
Aktiviti program dimulakan dengan sesi suai kenal bertemakan Save Our Ships yang dirangka bagi melatih peserta membuat keputusan pantas serta berfikir secara strategik dalam situasi mencabar. Sesi seterusnya menampilkan aktiviti Arduino secara praktikal yang melibatkan pengenalan asas pengaturcaraan dan demonstrasi penggunaan komponen elektronik. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal asas, malah membina kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan.

Program ini dikendalikan oleh dua pakar dalam bidang masing-masing iaitu Muhammad Afandi Azmi, Pengarah Unloop Training dan pelajar Doktor Falsafah UTM, serta Ts. Dr. Mohd Fahmi Adnan, Penyelaras Program dari Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju. Kedua-dua penceramah berkongsi pandangan mendalam berkaitan adaptasi teknologi, keperluan industri semasa serta hala tuju strategik graduan TVET dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.


Pendekatan interaktif yang diterapkan merangkumi bengkel praktikal dan perbincangan berkumpulan yang menuntut penglibatan aktif peserta. Semangat kerjasama jelas terpancar apabila setiap kumpulan membentangkan idea, berkongsi penyelesaian dan saling memberi maklum balas membina, sekali gus membuktikan keberkesanan pembelajaran di luar bilik darjah.


Secara keseluruhannya, program ini berjaya mempamerkan sinergi antara kemahiran teknikal dan pembangunan modal insan secara holistik. Inisiatif ini diharap menjadi titik permulaan kepada pelajar Kolej Vokasional Kota Tinggi dalam membina identiti profesional yang kukuh serta meningkatkan daya saing diri. Melalui penguasaan kemahiran teknikal dan insaniah yang seimbang, graduan TVET berpotensi muncul sebagai tenaga kerja berdaya tahan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara.