February 13, 2026

RPN 2026–2035: UTM Mendukung Penuh Lonjakan Transformasi Pendidikan Negara  

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyokong penuh Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang menekankan transformasi pendidikan negara secara menyeluruh. UTM melihat rancangan ini sebagai pemacu pembangunan insan, ekonomi berteraskan inovasi, dan kemajuan negara, selari dengan gagasan Malaysia MADANI. UTM komited untuk bekerjasama demi merealisasikan aspirasi RPN dan melahirkan generasi masa depan yang cemerlang dan beradab.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai satu pelan strategik nasional yang menetapkan hala tuju pendidikan negara secara menyeluruh, inklusif dan progresif untuk dekad akan datang.

Rancangan Pendidikan Negara (RPN) yang didokong oleh dua pelan utama iaitu Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) ini jelas memperlihatkan satu kerangka nasional yang menyeluruh dan bersepadu dalam memacu pembangunan pendidikan negara.

Sebagai Universiti Awam, UTM melihat RPTM 2026–2035 sebagai satu perubahan struktural dalam pemikiran terhadap peranan pendidikan tinggi, daripada sekadar laluan akademik kepada wahana pembentukan nilai manusiawi, pemangkin ekonomi berteraskan inovasi dan pemacu kemajuan negara berteraskan nilai peradaban tinggi. 

RPTM 2026–2035  bukan sahaja memacu daya saing pendidikan tinggi, malah mengangkat dimensi adab, nilai manusiawi dan kesejahteraan masyarakat sebagai teras pembangunan negara, sejajar gagasan Malaysia MADANI. 

Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan yang bukan hanya berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga beradab, beretika dan bertanggungjawab kepada pembangunan masyarakat, industri serta negara. 

Inisiatif jaminan tempat di IPTA untuk pelajar cemerlang serta penambahan 1,500 tempat kursus di IPTA mencerminkan komitmen Kerajaan dalam memelihara ekosistem kecemerlangan negara melalui pembentukan bakat terbaik negara. UTM menyokong pendekatan ini kerana kecemerlangan akademik perlu terus diraikan dalam kerangka yang menekankan adab dalam keilmuan — iaitu ilmu yang digunakan untuk memakmur dan mensejahtera negara, demi mencipta impak bermakna untuk masyarakat. 

Pada masa yang sama, pendidikan percuma untuk pelajar OKU dan pelajar daripada keluarga miskin tegar, serta penyediaan tambahan 5,000 penginapan pelajar oleh GLIC, memperlihatkan penegasan jelas terhadap nilai manusiawi dalam dasar pendidikan tinggi. UTM berpandangan bahawa akses saksama dan kesejahteraan pelajar merupakan asas penting kepada kejayaan akademik, pembangunan bakat dan mobiliti sosial yang mampan, sekaligus mendokong aspirasi Kerangka Ekonomi Madani yang memperkasa rakyat

Keputusan untuk meletakkan Program Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mulai 2027 pula merupakan langkah strategik yang menyokong kesinambungan sistem pendidikan negara. UTM melihat penyelarasan ini sebagai peluang untuk membina laluan pra-universiti yang lebih berdaya maju, berorientasikan ramuan membentuk bakat global berpemikiran masa hadapan dan menyediakan kesiapsiagaan yang lebih awal untuk pelajar melangkah ke alam pendidikan tinggi.

UTM turut menyokong pemerkasaan Subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) sebagai platform penting untuk membentuk graduan holistik. Dalam era kecerdasan buatan dan teknologi disruptif, penguasaan ilmu teknikal perlu diseimbangkan dengan kefahaman nilai, etika, sejarah dan tanggungjawab sosial agar kemajuan teknologi tidak menghakis kemanusiaan, sebaliknya mengangkat karamah insaniah ke tahap lebih tinggi. 

Seiring itu, UTM melihat AI sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi, bukan sekadar alat teknologi, tetapi sebagai pembolehdaya  kepada pembelajaran yang fleksibel dan mengikut potensi pelajar, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi yang berteraskan penyelesaian lestari dalam konteks dunia sebenar. Pendekatan ini perlu digerakkan dengan adab dan tadbir urus yang jelas agar AI memperkasa manusia, bukan menggantikan peranan manusia. 

Akhirnya, pemerkasaan TVET dan peluasan akses pendidikan tinggi dilihat sebagai komponen penting dalam pengukuhan ekonomi negara. Pendidikan tinggi yang relevan, fleksibel dan berpaksikan keperluan industri akan melahirkan bakat berkemahiran tinggi, menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi cabaran global. 

Secara keseluruhan, UTM yakin bahawa RPN 2026–2035 menyediakan asas kukuh ke arah ekosistem pendidikan yang menekankan nilai adab dan kemanusiaan, progresif dan berimpak. 

UTM kekal komited untuk bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan aspirasi nasional ini demi masa depan negara yang mampan dan pembentukan generasi akan datang yang mencipta kemakmuran serta kesejahteraan sejagat.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di PICC, Putrajaya. 20 Januari 2026. Sumber: Anwar Ibrahim (Facebook)

 

Profesor Ts. Dr. Mohd. Shafry bin Mohd Rahim
Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia

Berita ini dikendalikan sepenuhnya oleh Pejabat Naib Canselor

Explore More

UTM Open Day