📝 Ringkasan / Summary
MyRPM, sebuah sistem pengesanan sinaran buatan tempatan, dibangunkan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap teknologi keselamatan import di pintu masuk strategik. Sistem inovatif ini mampu mengesan bahan radioaktif dan nuklear secara automatik, meningkatkan keselamatan negara dan kesihatan awam. Kejayaan MyRPM membuktikan keupayaan penyelidik tempatan dalam menghasilkan teknologi keselamatan yang setanding dengan produk luar negara, malah berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Kebergantungan negara terhadap teknologi keselamatan import dalam pengurusan pintu masuk strategik seperti pelabuhan dan sempadan telah lama menjadi satu cabaran yang perlu ditangani. Dalam persekitaran berisiko tinggi, gangguan teknikal, kelewatan sokongan kepakaran atau perkembangan geopolitik berpotensi menjejaskan kelangsungan operasi sistem kritikal yang melindungi keselamatan negara, hasil ekonomi dan kesihatan awam.
Keadaan ini menjadi lebih ketara ketika pandemik COVID-19 apabila peralatan berteknologi tinggi perlu terus beroperasi, namun akses kepada sokongan teknikal luar negara adalah terhad. Daripada cabaran inilah timbul keperluan untuk membangunkan teknologi keselamatan yang benar-benar dikuasai dan disokong oleh kepakaran tempatan.
Keperluan tersebut mendorong pembangunan MyRPM atau Malaysian Radiation Portal Monitor, satu sistem pengesanan dan pemantauan sinaran berteknologi tinggi yang dibangunkan sepenuhnya oleh penyelidik tempatan.
“Inovasi ini bukan sekadar produk teknologi, sebaliknya manifestasi kesedaran strategik bahawa keselamatan negara tidak boleh terus bergantung kepada penyelesaian luar, khususnya dalam aspek pengesanan bahan radioaktif dan nuklear di pintu masuk negara,” ujar Prof. Dr. Suhairul.

Menurut Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Suhairul Hashim, idea pembangunan MyRPM mula digerakkan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 apabila industri menyuarakan keperluan untuk memiliki sistem sokongan teknikal tempatan yang mampu beroperasi tanpa henti.
Ketika itu, kerjasama antara industri dan universiti dicetuskan bagi membangunkan teknologi pengimbasan sinar-X dan pengesanan sinaran radioaktif, terutamanya untuk kegunaan di pelabuhan dan pintu masuk sempadan darat negara. Usaha tersebut kemudiannya diperkukuh melalui pembiayaan geran Malaysia Laboratories for Academia-Business Collaboration (MyLab) 2/2020 yang bertujuan merapatkan jurang antara akademia, industri dan kerajaan.
“Dalam konteks operasi pelabuhan, isu kritikal yang sering berlaku ialah pengisytiharan palsu kandungan di dalam kontena. Amalan ini menyebabkan ketirisan hasil negara apabila barangan bercukai diseludup masuk dengan menyembunyikannya dalam kargo yang diisytiharkan sebagai barangan biasa tanpa cukai. Terdapat kes kontena yang dilaporkan membawa peti sejuk terpakai, namun sebenarnya menyimpan alkohol, rokok, dadah atau wang tunai dalam kuantiti besar. Tanpa teknologi pengimbasan dan pengesanan sinaran yang berkesan, ketirisan hasil negara sukar dikesan dan dibanteras secara sistematik,” tambah Prof. Dr. Suhairul.
Lebih membimbangkan, risiko pencemaran radioaktif turut wujud apabila bahan seperti besi buruk yang dikhuatiri tercemar dengan bahan radioaktif dibawa masuk tanpa saringan. Sekiranya bahan tersebut dikitar semula dan digunakan dalam industri pembinaan, orang awam berpotensi terdedah kepada kesan buruk sinaran seperti penyakit barah disebabkan pendedahan sinaran secara berlebihan pada masa yang lama tanpa disedari. Dalam konteks inilah MyRPM memainkan peranan kritikal bukan sahaja dalam melindungi keselamatan pelabuhan, tetapi juga kesihatan awam dan alam sekitar untuk jangka panjang.

Dari sudut teknologi, sistem ini direka untuk mengesan bahan radioaktif dan nuklear secara automatik di pintu masuk negara seperti pelabuhan, sempadan darat dan lapangan terbang bagi menghalang penyeludupan bahan berbahaya. MyRPM menggunakan pengesan dwi saluran gama dan neutron yang mampu membezakan antara sumber sinaran semula jadi dan sinaran buatan manusia. Data pengesanan dihantar secara masa nyata melalui sistem penghantaran tanpa wayar ke pusat kawalan, disokong oleh perisian pemprosesan pintar berasaskan kecerdasan buatan bagi mengurangkan kadar amaran palsu dan menilai corak sinaran berdasarkan profil kargo dan pergerakan kontena.

Dalam operasi sebenar, MyRPM berfungsi sebagai sistem saringan awal yang dipasang di laluan masuk strategik. Setiap kenderaan atau kontena yang melalui portal ini akan diimbas secara automatik tanpa perlu dihentikan atau dibuka.
“Sistem ini dilengkapi tiga warna lampu isyarat sebagai indikator keselamatan, iaitu hijau menandakan keadaan selamat, biru menunjukkan pengesanan neutron dan merah menandakan kehadiran sinaran gama. Setiap item yang melalui portal akan dipaparkan pada monitor kawalan, membolehkan petugas mengenal pasti indikator berbeza bagi setiap jenis sinaran. Sekiranya bacaan melepasi paras selamat yang ditetapkan, amaran akan dijana serta-merta dan dimaklumkan kepada pegawai bertugas melalui paparan sistem dan aplikasi telefon mudah alih secara masa nyata. Mekanisme ini membolehkan tindakan susulan diambil dengan pantas dan terkawal tanpa mendedahkan petugas kepada risiko sinaran secara langsung,” jelas Prof. Dr. Suhairul.

Mengulas cabaran pembangunan MyRPM, Prof. Dr. Suhairul mengakui projek ini menguji ketahanan mental dan emosi pasukan penyelidik, terutamanya apabila berdepan kekangan peruntukan serta peningkatan mendadak kos komponen utama seperti pengesan neutron dan gama akibat konflik geopolitik global. Walaupun berdepan pelbagai kekangan, komitmen pasukan penyelidik bersama rakan industri memastikan pembangunan sistem ini dapat diteruskan secara berperingkat dan berfokus.
Dalam pemilihan rakan industri, syarikat Billion Prima Sdn. Bhd. dipilih atas faktor komitmen tinggi terhadap penyelidikan dan pembangunan serta statusnya sebagai syarikat milik penuh tempatan. Kerjasama strategik ini mempercepatkan proses pengkomersialan teknologi di samping mengukuhkan ekosistem inovasi nasional.
Projek MyRPM kemudiannya diuji di Pelabuhan Kuantan sebagai tapak demonstrasi teknologi, memandangkan kawasan tersebut mempunyai industri kitar semula besi yang besar dan memerlukan sistem saringan yang lebih ketat. Ujian lapangan ini berjaya membuktikan keupayaan sistem, termasuk pemantauan jarak jauh secara masa nyata melalui aplikasi mudah alih.

Kerjasama rentas disiplin turut diperkukuh melalui penglibatan Universiti Putra Malaysia dalam aspek sains data dan simulasi pengesan, sejajar dengan sifat projek MyRPM yang bersifat transdisiplin dan berorientasikan penyelesaian sebenar. Jabatan Kastam Diraja Malaysia terlibat sebagai pengguna akhir untuk ujian lapangan, manakala Jabatan Tenaga Atom Malaysia berperanan sebagai agensi penasihat teknikal dan pengesahan keselamatan sinaran yang mematuhi Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304).
Mengulas faktor pemilihan UTM sebagai rakan strategik, wakil Billion Prima, Lee Yuh Jiunn, menjelaskan bahawa kerjasama antara kedua-dua pihak telah terjalin lebih 15 tahun bermula daripada penyelidikan asas dalam bidang keselamatan sinaran. Hubungan ini berkembang kepada pembangunan produk gunaan seperti Portal Pemantauan Sinaran yang menterjemahkan penyelidikan saintifik kepada penyelesaian sedia pasaran. Beliau turut menyifatkan kerjasama ini sebagai strategik kerana UTM bukan sahaja menyediakan kepakaran akademik, malah melahirkan graduan pascasiswazah berkemahiran tinggi yang terlibat secara langsung dalam projek dan seterusnya menyumbang kepada kesinambungan inovasi di peringkat industri.

Jabatan Tenaga Atom Malaysia pula merakamkan penghargaan terhadap inisiatif pembangunan dan pengkomersialan MyRPM di bawah projek MyLab. Menurut jabatan tersebut, kekuatan utama sistem ini ialah keupayaannya melaksanakan pengesanan awal bahan radioaktif secara automatik, membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih pantas tanpa mendedahkan petugas kepada bahaya sinaran. Keupayaan ini amat signifikan di persekitaran berisiko tinggi seperti pelabuhan, pusat kitar semula logam dan pintu masuk antarabangsa. Jabatan tersebut turut menyatakan keyakinan bahawa prestasi MyRPM setanding dengan teknologi luar negara dari segi kecekapan dan kebolehpercayaan.
Dari sudut pengkomersialan, MyRPM kini telah mencapai tahap kesediaan teknologi TRL8, iaitu tahap prapengkomersialan selepas berjaya diuji dalam persekitaran operasi sebenar. Produk ini telah menembusi pasaran antarabangsa dengan pemasangan unit di Pelabuhan Tanjung Priok, Indonesia, salah satu pelabuhan tersibuk di Asia Tenggara, melalui kerjasama dengan pihak berkuasa pelabuhan dan agensi keselamatan sinaran Indonesia.
Selain itu, MyRPM turut memperoleh perlindungan harta intelek meliputi dua paten dan satu cap dagangan yang didaftarkan di bawah UTM dengan Billion Prima sebagai pemegang hak komersial bersama, sekali gus menjamin kelebihan daya saing dan nilai komersial jangka panjang. Dalam tempoh terdekat, fokus diberikan kepada peluasan pasaran serantau melalui kerjasama antara kerajaan dan industri, diikuti sasaran jangka panjang untuk menembusi pasaran global.
Melalui inovasi ini, terdapat beberapa pengiktirafan berprestij di peringkat antarabangsa berjaya dirangkul, antaranya Anugerah Best Invention (Special Award) daripada The First Institute of Researchers and Inventors (FIRI), Iran, di SEOUL International Invention Fair (SIFF 2025), selain turut dianugerahkan Pingat Emas pada pameran yang sama. Manakala di peringkat kebangsaan dan serantau, inovasi ini mencatat kejayaan cemerlang di 27th Industrial Art and Technology Exhibition and Competition (INATEX) apabila memenangi Pingat Emas, Anugerah Khas (Pengkomersialan) serta Anugerah Best Invention. Pencapaian ini diteruskan dengan kemenangan Pingat Emas di Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan 2025 sempena Malaysia Nuclear Innovation Day (HINM) 2025, selain menerima Anugerah Khas daripada Malaysian Association of Research Scientists (MARS).
Berteraskan kejayaan ini, MyRPM membuktikan bahawa inovasi tempatan bukan sahaja mampu memenuhi keperluan teknikal negara, malah berpotensi menjadi instrumen strategik dalam memperkukuh kedaulatan, keselamatan dan daya saing nasional. Keupayaan penyelidik tempatan menterjemahkan ilmu akademik kepada penyelesaian sebenar di lapangan menandakan bahawa ekosistem penyelidikan, industri dan agensi penguat kuasa negara berada pada landasan yang tepat. Dengan sokongan berterusan, teknologi seperti MyRPM berupaya mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam landskap keselamatan dan pengesanan sinaran di peringkat serantau dan global.