February 6, 2026

Mahasiswa UTM santuni warga emas Nur Ehsan dalam Program Hari Komuniti MyPLUS 2025/26

📝 Ringkasan

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Kolej Rahman Putra telah mengambil bahagian dalam Program Hari Komuniti MyPLUS 2025/26 di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Johor Bahru. Mereka melaksanakan aktiviti khidmat komuniti seperti pembersihan dan penyelenggaraan bilik dorm serta kawasan persekitaran pusat jagaan. Program ini bertujuan untuk menyemai nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial di kalangan pelajar.

JOHOR BAHRU, 17 Jan – Program Hari Komuniti MyPLUS 2025/26 anjuran PLUS Malaysia Berhad terus menjadi landasan bermakna dalam menyemai nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial apabila seramai 25 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Kolej Rahman Putra (KRP) terlibat secara langsung dalam aktiviti khidmat komuniti di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, di sini.

Program berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif PLUS Malaysia Berhad dalam memperkasa konsep Komuniti Selamat dan Lestari di sepanjang jajaran Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2). Penganjurannya dilaksanakan secara serentak di 24 lokasi terpilih di seluruh negara, melibatkan warga kerja PLUS serta sukarelawan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

Program itu memberi tumpuan kepada aktiviti kebajikan dan interaksi sosial bersama golongan warga emas, selari dengan hasrat penganjur untuk mendekatkan generasi muda dengan komuniti setempat serta menyemai kesedaran terhadap keperluan dan kebajikan golongan berusia.

Pasukan pelajar yang terlibat diketuai Presiden Kolej Rahman Putra, Muhamad Daniel, dengan sokongan barisan Jawatankuasa Kolej Rahman Putra. Turut serta sebagai pegawai pengiring ialah Norzielawaty Zainal Abidin dari Pejabat Pengetua Kolej Kediaman, mewakili Pengetua Kolej Rahman Putra Dr. Zulhilmi Che Daud, serta Hasnah Md Amin dari Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi.

Warga emas Pusat Jagaan Nur Ehsan ceria menerima kunjungan wakil kolaborasi komuniti bagi melaksanakan program CSR di pusat berkenaan

Program dimulakan dengan sesi pendaftaran dan taklimat ringkas sebelum para sukarelawan dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk melaksanakan tugasan khidmat komuniti. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kerja pembersihan dan penyelenggaraan bilik dorm serta kawasan persekitaran pusat jagaan, pemasangan papan tanda, rak surau, cermin keselamatan dan kemudahan sokongan lain bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan penghuni.

Menurut Muhamad Daniel, penglibatan pelajar dalam program seumpama ini memberi ruang kepada mahasiswa memahami realiti kehidupan masyarakat serta mempraktikkan nilai empati, hormat-menghormati dan semangat kesukarelawanan di luar persekitaran kampus. Beliau berkata program itu bukan sahaja membuka peluang untuk menyumbang tenaga dan masa, malah memberi pengalaman bermakna kepada pelajar dalam membina hubungan dengan komuniti, khususnya warga emas yang memerlukan perhatian dan sokongan moral.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dijalankan di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan. Selain kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan fasiliti dan penyerahan barangan keperluan harian, program turut dimeriahkan dengan aktiviti santai yang memberi penekanan kepada interaksi sosial dan kesejahteraan emosi penghuni.

Antara aktiviti yang mencuri tumpuan ialah sesi karaoke, perbualan santai serta pertukaran cerita kehidupan antara pelajar dan warga emas. Suasana ceria dan mesra jelas terpancar apabila para pelajar meluangkan masa menyanyi bersama penghuni, mendengar kisah pengalaman hidup mereka serta berkongsi gelak tawa yang merapatkan jurang antara dua generasi berbeza.

Sukarelawan mahasiswa berinteraksi mesra dengan seorang penghuni warga emas dalam salah satu sesi santai yang dijalankan

Menurut salah seorang penghuni pusat jagaan, Meri, beliau berasa syukur dan terharu atas kehadiran para sukarelawan yang menceriakan hari mereka. Katanya, mereka sangat berterima kasih atas kesudian semua pihak meluangkan masa bersama, kerana bukan selalu anak muda sudi duduk berbual, menyanyi dan mendengar cerita orang tua, dan kehadiran sukarelawan benar-benar memberi kegembiraan.

Program ini turut disokong wakil PLUS Malaysia Berhad dari ibu pejabat Kuala Lumpur, Mohd Hamim Mohd Badri dan Atikah Nailah Mohd Kamal, bersama barisan sukarelawan PLUS yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti sepanjang program berlangsung.

Kerjasama erat antara pihak PLUS dan UTM mencerminkan sinergi strategik antara industri dan institusi pengajian tinggi dalam menjayakan agenda pembangunan komuniti yang mampan. Penglibatan pelajar universiti dalam program CSR seperti ini dilihat mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada komuniti setempat, malah kepada pembentukan sahsiah dan jati diri mahasiswa.

Penyertaan pelajar dalam Hari Komuniti MyPLUS 2025/26 selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sosial. Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan warga emas memberi pendedahan bermakna kepada pelajar tentang kepentingan menghormati golongan berusia, sejajar dengan prinsip “adab mendahului ilmu”.

Melalui penglibatan ini, pelajar bukan sahaja mempraktikkan nilai kesukarelawanan, malah belajar untuk lebih peka terhadap keperluan masyarakat serta memahami peranan mereka sebagai ejen perubahan dalam komuniti.

Secara keseluruhan, Program Hari Komuniti MyPLUS 2025/26 bukan sekadar program CSR, sebaliknya menjadi wadah pembelajaran kehidupan yang membina jati diri, memupuk rasa tanggungjawab sosial serta menyemai nilai kemanusiaan dan optimisme dalam kalangan generasi muda. Penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan usaha menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dapat dilaksanakan secara berterusan dan berimpak tinggi.

Explore More

UTM Open Day