February 21, 2026

EFoS 2026 ketengahkan inovasi pelajar Kejuruteraan Kimia tangani isu keterjaminan makanan

📝 Ringkasan

Pameran Engineering for Sustainable Food Security Exhibition (EFoS 2026) telah diadakan di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru dengan mengambil kira isu keterjaminan makanan. Seramai 147 pelajar tahun satu Jabatan Kejuruteraan Kimia mempamerkan idea inovatif mereka dalam pameran ini. Penganjuran kali ini mencipta kelainan apabila pameran yang sebelum ini hanya diadakan di dalam kampus UTM dibawa lebih dekat kepada komuniti.

JOHOR BAHRU, 18 Jan – Seramai 147 pelajar tahun satu Jabatan Kejuruteraan Kimia mempamerkan idea inovatif berkaitan isu keterjaminan makanan menerusi Engineering for Sustainable Food Security Exhibition (EFoS 2026) yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Ismail (PSI), Johor Bahru. Pameran ini dianjurkan oleh pensyarah kursus Introduction to Engineering (ITE) dan Industrial Seminar and Profession (ISP), Jabatan Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Penganjuran kali ini mencipta kelainan apabila pameran yang sebelum ini hanya diadakan di dalam kampus UTM dibawa lebih dekat kepada komuniti. Inisiatif tersebut diterajui oleh Nur Ainabatrisyia Rahizan selaku pengarah program bersama 40 ahli jawatankuasa, sekali gus menjadikan EFoS 2026 berskala lebih besar dan berimpak tinggi.

Pemenang tiga terbaik EFoS 2026 bergambar bersama YM Tengku Zakaria (tengah), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Arif Ab Aziz, barisan penaja dan pensyarah UTM yang terlibat

Menurut Dr. Mohamad Sukri Mohamad Yusof, Penasihat EFoS 2026, penganjuran di luar kampus bertujuan merakyatkan ilmu serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keterjaminan makanan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang Mulia Tengku Tarmizi Tengku Aziz, Pustakawan Kanan PSI, atas sokongan dalam menjayakan pameran tersebut.

Yang Mulia Tengku Tarmizi Tengku Aziz menyifatkan penganjuran EFoS 2026 sebagai satu usaha yang wajar diteruskan dan diperluas penyertaannya kepada institusi pengajian lain di negeri Johor pada masa hadapan.

Antara reruai kumpulan pelajar yang disenarai pendek bagi Best Poster Design Award

EFoS 2026 turut mendapat sokongan penaja iaitu UNBOX Resources Sdn. Bhd., Azuarina Creative Sdn. Bhd. dan Prof. Madya Dr. Hajar Alias. Pameran ini melibatkan sesi penjurian berdasarkan justifikasi penyelesaian kejuruteraan, tahap praktikal dan inklusiviti penyelesaian saintifik, serta elemen kelestarian.

Barisan juri akademik terdiri daripada pensyarah UTM termasuk wakil Pusat Inovasi Agroteknologi untuk Biopemprosesan Termaju (ICA), Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), Kumpulan Penyelidikan Kejuruteraan Makanan dan Biomaterial (FoBERG), serta Pusat Pendidikan Kejuruteraan (CEE). Juri jemputan industri pula melibatkan wakil daripada Pusat Inovasi FGV, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Kerry Ingredients, Win Win Food dan MSM Sugar Refinery. Secara keseluruhan, seramai 24 juri menilai 35 kumpulan pelajar yang bertanding.

Barisan juri akademik dan industri yang terlibat sebagai penilai pembentangan poster EFoS 2026

EFoS 2026 turut menarik kehadiran pengunjung sekitar Larkin, pengunjung tetap PSI serta pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Bahru. Majlis penutup disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Tarmizi Tengku Aziz bersama Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Muhammad Arif Ab Aziz, Ketua Jabatan, Jabatan Kejuruteraan Kimia.

Menurut Prof. Dr. Muhammad Arif, pameran seperti ini sememangnya menjadi amalan tahunan jabatan, namun pendekatan penganjuran kali ini menampilkan pembaharuan dari segi skala, penglibatan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak. Beliau menambah bahawa penganjuran EFoS 2026 menjadi penanda aras baharu untuk pelaksanaan program yang lebih berkualiti pada masa hadapan serta membuka tirai tahun 2026 dengan pencapaian yang membanggakan.

Pelajar tahun satu Jabatan Kejuruteraan Kimia mempamerkan prototaip dan poster inovasi semasa sesi penilaian

Secara keseluruhan, penganjuran EFoS 2026 membuktikan bahawa pendedahan awal kepada cabaran dunia sebenar mampu membentuk pemikiran kejuruteraan yang lebih kritikal, beretika dan berorientasikan kelestarian dalam kalangan pelajar. Usaha menghubungkan pembelajaran asas dengan keperluan masyarakat ini bukan sahaja memperkukuh kompetensi teknikal pelajar, malah menyemai rasa tanggungjawab sosial terhadap isu keterjaminan makanan, sejajar dengan peranan universiti dalam melahirkan jurutera masa hadapan yang peka, inovatif dan berdaya saing.

Author

Explore More

UTM Open Day