December 16, 2025

SISPA UTM perkasa kemahiran menyelamat melalui program Smart Rescue Challenge

JOHOR BAHRU, 13 Dis – Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Malaysia Universiti Teknologi Malaysia (SISPA UTM) telah berjaya menganjurkan program Smart Rescue Challenge bertempat di Taman Pulai Flora dengan penglibatan seramai 30 orang pelajar bersama pegawai pengiring. Program ini dianjurkan bagi memberi pendedahan serta latihan praktikal berkaitan kemahiran asas menyelamat yang penting dalam situasi kecemasan, bukan sahaja kepada pelajar universiti malah kepada masyarakat setempat. Penganjuran program ini turut selari dengan peranan SISPA UTM dalam melahirkan mahasiswa yang berdisiplin, berpengetahuan dan sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada komuniti. Inisiatif ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 3 berkaitan kesihatan dan kesejahteraan serta SDG 11 yang menekankan pembinaan komuniti yang selamat dan berdaya tahan.

Program ini diiringi oleh Kolonel (PA) Saifudin Razali, Pegawai Logistik SISPA UTM, serta Mejar (PA) Azri Hohad, Timbalan Komandan SISPA UTM, yang memberikan sokongan dan pemantauan sepanjang pelaksanaan program. Turut hadir menjayakan program ialah Dr. Mohd Faridh Ahmad Zaharuddin selaku Pengerusi Taman Pulai Flora, dengan sokongan Dr. Ummikalsom Abidin, Penolong Setiausaha Taman Pulai Flora.

Menurut Pengarah Program, Anwar Ahmad, Smart Rescue Challenge memfokuskan kepada dua modul utama iaitu teknik balutan luka kecemasan dan tindakan menyelamat mangsa tercekik yang sering berlaku dalam kehidupan seharian.

Peserta mempraktikkan teknik menyelamat mangsa tercekik 
Pelajar menunjukkan kaedah pemasangan anduh yang betul
Peserta mempraktikkan teknik balutan anduh pada bahagian kepala

Menurut Dr. Mohd Faridh, pendedahan program bantuan awal kecemasan kepada penduduk taman amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat. Antara kepentingannya ialah meningkatkan kesedaran keselamatan, membekalkan kemahiran tindak balas awal, mengurangkan risiko kecederaan dan kematian, memperkukuh peranan komuniti, mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana kecil dan besar, serta membina keyakinan diri dalam kalangan penduduk. Pendedahan sebegini bukan sahaja satu keperluan, malah merupakan pelaburan penting ke arah keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian komuniti setempat.

Bagi modul balutan luka, peserta didedahkan kepada kaedah balutan yang betul bagi mengawal pendarahan. Kemahiran ini amat bermanfaat kepada penduduk setempat sekiranya berlaku kemalangan kecil seperti terjatuh, kecederaan semasa bersukan atau kemalangan domestik.

Manakala bagi modul tindakan menyelamat mangsa tercekik, peserta diberikan pendedahan mengenai langkah-langkah bantuan kecemasan yang tepat dan selamat bagi membantu mangsa yang mengalami saluran pernafasan tersumbat. Pengetahuan ini membolehkan peserta bertindak dengan lebih yakin dan berkesan dalam situasi kritikal, sekali gus berpotensi menyelamatkan nyawa.

Secara keseluruhannya, penganjuran Smart Rescue Challenge ini berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan kemahiran asas menyelamat dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat. Program ini diharap dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif berterusan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Malaysia Universiti Teknologi Malaysia dalam memperkasa budaya keselamatan dan kesiapsiagaan kecemasan, selaras dengan aspirasi universiti.

Explore More

UTM Open Day