JOHOR BAHRU, 11 Dis – Seminar Higien Industri 2025: Peranan dalam Memacu Peningkatan Kualiti Pekerjaan yang berlangsung pada 10 hingga 11 Disember 2025 di Pulai Spring Resort, Johor Bahru telah berjaya menghimpunkan seramai 152 peserta daripada pelbagai latar belakang industri, akademia dan agensi berkaitan. Seminar ini dianjurkan secara hibrid oleh UTM Institute for Oil and Gas (IFOG), melibatkan 69 peserta secara bersemuka dan 83 peserta secara dalam talian.
Penganjuran seminar ini menampilkan kelainan tersendiri apabila buat julung kalinya kerjasama strategik berjaya dijalin bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menawarkan 16 mata Continuing Education Points (CEP) Majlis Perubatan Malaysia (MMC) kepada pengamal perubatan tempatan. Selain itu, peserta turut dianugerahkan mata Continuous Professional Development (CPD) oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), iaitu 15 mata bagi peserta bersemuka dan 10 mata bagi peserta dalam talian.
Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor, Tuan Haji Jaafar Leman. Dalam ucapannya, beliau memuji penganjuran seminar ini yang disifatkan sebagai niche, tersusun dan sangat spesifik dalam bidang higien industri, namun tetap mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta industri.


Beliau turut menegaskan kepentingan bidang higien industri diberi perhatian yang lebih menyeluruh melalui latihan, peningkatan kemahiran dan kesedaran berterusan dalam kalangan majikan serta pekerja. Menurut beliau, pendedahan kepada hazard di tempat kerja seperti bahan kimia, bunyi bising, sinaran dan faktor ergonomik boleh memberi kesan signifikan terhadap kesihatan pekerja, sekali gus menuntut pengurusan higien industri yang lebih sistematik dan berkesan.
Sepanjang dua hari penganjuran, seminar ini menampilkan barisan penceramah pakar daripada pelbagai disiplin yang merangkumi wakil agensi penguatkuasaan, ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pengamal perubatan pekerjaan serta pemain industri. Pelbagai topik telah dibincangkan termasuk kemas kini Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, statistik kemalangan dan penyakit pekerjaan, ergonomik dalam reka bentuk kerja, pengurusan bunyi bising, perlindungan sinaran, integrasi Chemical Health Risk Assessment (CHRA) dalam program higien industri, amalan terbaik di loji kimia serta perkongsian kes sebenar berkaitan penyakit dan keracunan pekerjaan.
Penganjuran seminar ini bukan sahaja memberi manfaat besar kepada peserta industri, malah membawa impak strategik kepada UTM sebagai universiti penyelidikan yang aktif dalam pemindahan ilmu dan kepakaran kepada masyarakat. Penglibatan aktif pensyarah dan pakar UTM sebagai penceramah serta penganjur telah memperkukuh hubungan kolaboratif antara universiti, industri dan agensi kerajaan, selaras dengan aspirasi UTM dalam memperkasa agenda University–Industry Engagement.
Selain itu, seminar ini turut berfungsi sebagai platform penting untuk mengetengahkan kepakaran UTM dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta higien industri. Usaha ini secara tidak langsung meningkatkan keterlihatan universiti di peringkat nasional dan membuka peluang kerjasama penyelidikan, perundingan serta latihan profesional pada masa hadapan.


Seminar Higien Industri 2025 dianjurkan bagi memperkukuh pengetahuan dan kefahaman peserta terhadap isu terkini dalam bidang higien industri serta mempertingkatkan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja. Program ini juga menjadi platform strategik untuk memperkukuh kolaborasi antara universiti, industri dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasa perlindungan pekerja. Di samping itu, seminar ini bertujuan meningkatkan kefahaman terhadap konsep dan kepentingan higien industri, memperkukuh pengetahuan teknikal berkaitan penilaian, pemantauan dan kawalan pendedahan hazard pekerjaan, menyediakan ruang perkongsian amalan terbaik antara pengamal industri, penyelidik dan pihak berkuasa, serta menyokong pelaksanaan perundangan dan dasar kebangsaan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan termasuk pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2022 (Akta 514).
Antara maklum balas yang diterima daripada peserta ialah penghargaan terhadap barisan panel yang terdiri daripada pemimpin industri dan pengamal higien industri yang berpengalaman. Kandungan seminar disifatkan mudah difahami, disampaikan secara jelas serta disokong dengan contoh situasi sebenar yang membantu meningkatkan kefahaman peserta. Kepelbagaian topik merangkumi aspek kimia, ergonomik, bunyi bising, sinaran serta perkongsian daripada pengamal perubatan turut dilihat sebagai kekuatan utama penganjuran seminar ini.
Secara keseluruhannya, Seminar Higien Industri 2025 berjaya mencapai objektif penganjurannya sebagai medan perkongsian ilmu, pembangunan profesional dan jaringan strategik. Penganjuran ini turut menyumbang secara langsung kepada usaha meningkatkan keselamatan, kesihatan dan kualiti pekerjaan, di samping memperkukuh peranan UTM sebagai peneraju ilmu dan rakan strategik industri.

Oleh Prof. Madya Ir. Dr. Mimi Haryani Hassim dan Nor Eman Ismail, UTM-MPRC Institute for Oil and Gas dan Safety and Health Research Group, UTM Johor Bahru