KUALA LUMPUR, 8 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh kerjasama melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Infineon Technologies Asia Pacific Pte. Ltd. bersempena pelancaran Infineon–UTM Innovation Launchpad (UIL) yang bertujuan memperkukuh pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi dalam bidang semikonduktor serta teknologi kecerdasan buatan (AI).
Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, dan Naib Presiden Infineon Technologies Asia Pacific, Goh Say Yeow, dengan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, di Dewan Azman Hashim, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.
UTM merakamkan penghargaan kepada Infineon Technologies atas keyakinan memilih UTM sebagai rakan strategik jangka panjang dalam bidang semikonduktor dan teknologi maju, selain mengiktiraf sokongan berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat dan ekosistem inovasi negara.

Infineon merupakan peneraju global dalam industri semikonduktor yang memainkan peranan utama dalam pembangunan cip kuasa, sistem automotif, industri pintar dan penyelesaian berasaskan Internet Kebendaan (IoT). Kerjasama strategik ini dijangka memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau semikonduktor, selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
Pelancaran UIL membuka akses kepada platform teknologi dan peralatan industri, termasuk sistem automasi, simulasi, peranti kuasa serta aplikasi AI dalam pembangunan dan pembuatan komponen semikonduktor. Inisiatif ini merangkumi latihan industri, pemindahan teknologi serta penyelidikan bersama dalam bidang elektronik kuasa, sistem pintar, sensor maju dan bahan termaju.


UTM melalui Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) akan menerajui pengukuhan program akademik dan penyelidikan berkaitan AI dan kejuruteraan semikonduktor, seiring usaha universiti melahirkan tenaga pakar dan memperluaskan kerjasama bersama industri berimpak tinggi.
Penubuhan Infineon–UTM Innovation Launchpad dijangka melahirkan jurutera dan penyelidik yang memahami keseluruhan rantaian nilai industri semikonduktor, merangkumi reka bentuk, prototaip, pengujian, pembungkusan dan optimasi berasaskan AI. Usaha ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan pesat industri teknologi maju negara, malah meningkatkan kapasiti penyelidikan dan latihan tempatan.
Majlis turut dihadiri pegawai kanan Kementerian Pendidikan Tinggi, delegasi Infineon Technologies Asia Pacific serta barisan pengurusan tertinggi universiti. UTM merakamkan penghargaan kepada Infineon Technologies atas keyakinan memilih UTM sebagai rakan strategik jangka panjang dalam bidang semikonduktor dan teknologi maju, serta kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) atas sokongan berterusan dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat dan ekosistem inovasi negara.

