December 5, 2025

Keberangkatan Tunku Panglima Johor, Tunku Putera Johor meriahkan Motorsports Talk di UTM

JOHOR BAHRU, 4 Dis – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima keberangkatan YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, serta YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor, dalam program Motorsports Talk with JMR Racing Team yang dianjurkan bersama UTM dan Johor Motorsports Racing Team (JMR) di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), UTM Johor Bahru.

Seawal sebelum program bermula, para pelajar telah mula memenuhi ruang PRZS dalam suasana penuh keterujaan bagi menyambut ketibaan kedua-dua YAM Tunku. Kehadiran mereka bukan sahaja menyerikan majlis, malah memberikan peluang istimewa kepada pelajar untuk berada dekat serta beramah mesra dengan ikon permotoran Johor yang menjadi inspirasi kepada generasi muda, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi automotif dan sukan berprestasi tinggi.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus yang mewakili Naib Canselor UTM. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada YAM Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Putera Johor atas keberangkatan Baginda berdua serta menekankan signifikan program ini sebagai platform pembelajaran dunia sebenar kepada pelajar.

Beliau menegaskan bahawa pendedahan seperti ini memberi gambaran luas kepada pelajar tentang disiplin, ketekunan dan inovasi dalam dunia permotoran yang dapat diaplikasikan dalam pembelajaran mereka. Menurut beliau, inspirasi daripada tokoh sebenar lapangan mampu membentuk graduan yang berfikiran maju, kritis dan bersedia menerajui masa depan negara.

Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah ketika menyampaikan ucapan aluan

Program diteruskan dengan tayangan montaj khas oleh JMR Racing yang memaparkan pencapaian kedua-dua YAM Tunku dalam siri perlumbaan sepanjang tahun 2025 di beberapa negara. Persembahan visual tersebut meninggalkan inspirasi mendalam kepada para pelajar tentang potensi besar industri permotoran, bukan sahaja sebagai sukan tetapi sebagai medan inovasi dan teknologi masa depan.

Sesi perkongsian khas oleh YAM Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Putera Johor pula menjadi detik yang paling ditunggu-tunggu. Baginda berdua berkongsi pengalaman luas dalam dunia perlumbaan profesional termasuk persediaan mental dan fizikal, strategi keselamatan, penggunaan teknologi automotif terkini, budaya kerja pasukan dan nilai keberanian dalam sukan ekstrem. Pelajar turut mengambil kesempatan mengajukan soalan secara langsung, antaranya berkaitan cabaran sebagai atlet permotoran, cara membina keyakinan, peluang kerjaya dalam kejuruteraan automotif serta masa depan teknologi sukan ini di peringkat antarabangsa.

YAM Tunku Abdul Rahman berkongsi pandangan berkenaan dunia perlumbaan profesional
YAM Tunku Abu Bakar ketika menjawab persoalan yang diajukan oleh para pelajar

Para pelajar aktif bertanyakan soalan kepada YAM TunkuPelajar UTM turut berpeluang merasai pengalaman unik apabila diberi perkenan untuk menaiki kenderaan lumba peribadi YAM Tunku. Antara pelajar yang mendapat peluang tersebut ialah Nur Aleeya Sofyya Mohamad Nasir, pelajar Sarjana Muda Sains (Matematik) dari Fakulti Sains, serta Hamad Amirul Afhiq Ahmad, pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. Peluang istimewa ini diperoleh selepas mereka menjawab kuiz yang dikendalikan oleh jurutera JMR, Stuart McDonald, yang diterbangkan khas dari Australia untuk program berkenaan. Kesemua pengalaman tersebut adalah hasil inisiatif YAM Tunku sendiri.

Hamad Amirul bertuah mendapat perkenan menaiki kenderaan lumba peribadi YAM Tunku
Nur Aleeya Sofyya merasai kegembiraan ketika berada di dalam kereta

Menurut Pengurus Program, Muhamad Syafik Rahmat, pengalaman melihat sendiri kereta lumba sebenar yang digunakan oleh Baginda dalam perlumbaan profesional memberikan nilai pembelajaran yang amat besar kepada pelajar. Beliau memaklumkan lebih 1,100 tetamu hadir, melebihi jangkaan awal dan mencerminkan minat tinggi warga UTM terhadap dunia permotoran. Beliau menambah bahawa penerangan teknikal daripada JMR Racing Team membantu pelajar memahami aspek-aspek kejuruteraan prestasi tinggi yang jarang dapat diakses secara dekat.

Sebagai tanda penghargaan, sebanyak 300 poskad edisi terhad turut disediakan untuk mendapatkan tandatangan eksklusif kedua-dua YAM Tunku. Sesi Meet & Greet yang berlangsung selepas perkongsian membuka ruang kepada pelajar untuk bergambar bersama Baginda dan melihat dari dekat kereta lumba Diraja JMR selain menerima penjelasan teknikal terus daripada kru profesional JMR Racing Team. Program ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan pelajar tentang dunia permotoran, malah memperkukuh kefahaman mereka mengenai budaya kerja profesional, aspek keselamatan sukan ekstrem serta prospek industri automotif moden.

YAM Tunku Panglima Johor memberikan penerangan mengenai enjin Chevrolet Corvette Z06 GT3.R yang digunakan Baginda

Program Motorsports Talk with JMR Racing Team ini secara keseluruhan berjaya mengukuhkan hubungan strategik antara UTM dan institusi-institusi permotoran Johor, sekali gus membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi automotif dan pemerkasaan bakat mahasiswa. Inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui pendedahan dunia sebenar, malah mengangkat UTM sebagai institusi yang aktif memupuk generasi muda berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi masa depan. Program ini membuktikan bahawa inspirasi, pengetahuan dan aspirasi mampu digerakkan apabila universiti dan komuniti profesional bergabung untuk membina masa depan negara yang lebih inovatif.

Penulis bersama Muhamad Syafik Rahmat, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Explore More

UTM Open Day