📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Riau (UNRI) telah menjalin kerjasama akademik melalui lawatan yang melibatkan pensyarah dan mahasiswa pascasiswazah. Program ini bertujuan untuk perkongsian ilmu dan inovasi dalam pendidikan kimia, dengan tumpuan kepada teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT). Inisiatif ini berjaya menggalakkan pemikiran kreatif dan menghasilkan solusi baharu yang relevan dalam bidang pendidikan kimia.
JOHOR BAHRU, 18 Dis – Seramai dua orang pensyarah dari Fakulti Keguruan dan Ilmu Pendidikan serta 21 orang mahasiswa pascasiswazah dari Universitas Riau (UNRI), Indonesia telah mengadakan lawatan akademik ke Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program ini turut melibatkan sesi perkongsian ilmu bersama 24 orang mahasiswa kursus SHPK2121, Amali dalam Pendidikan Kimia.
Penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan berkaitan inovasi melalui sesi perkongsian idea daripada wakil pascasiswazah Universitas Riau dan pelajar kursus SHPK2121. Inisiatif ini sekali gus menggalakkan pemikiran kreatif serta penjanaan solusi baharu yang relevan dengan keperluan semasa dalam bidang pendidikan kimia.
Program dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Prof. Madya Dr. Corriena Abdul Talib, penasihat dan pensyarah kursus SHPK2121. Seterusnya, ucapan wakil dari Universitas Riau telah disampaikan oleh Prof. Dr. Isjoni sebagai tanda penghargaan atas jalinan kerjasama akademik yang terjalin.


Dalam sesi pembentangan, pihak Universitas Riau memperkenalkan satu inovasi utama iaitu media pembelajaran berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT) yang dikenali sebagai peranti elektronik pintar atau Edukit. Menurut wakil mahasiswa pascasiswazah UNRI, inovasi tersebut dibangunkan bagi menyokong kaedah pengajaran dan pembelajaran digital yang lebih mudah, interaktif dan mesra pengguna.

Program diteruskan dengan pembentangan inovasi daripada wakil pelajar kursus SHPK2121. Pembentangan tersebut memfokuskan kepada penambahbaikan eksperimen Kimia Tingkatan Empat Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Inovasi yang dihasilkan bertujuan membantu guru dan pelajar melaksanakan eksperimen kimia dengan lebih selamat, sistematik dan berkesan selaras dengan keperluan bilik darjah semasa.

Mahasiswa daripada kedua-dua institusi turut berpeluang mengemukakan soalan dalam sesi soal jawab yang berlangsung secara interaktif dan membina. Perbincangan yang tercetus bukan sahaja memperluas perspektif peserta, malah memperkukuh kefahaman terhadap aplikasi inovasi dalam pendidikan kimia.
Secara keseluruhannya, Program Lawatan Akademik Universitas Riau ini berjaya mencapai objektif utama dalam meningkatkan pengetahuan mengenai inovasi pendidikan kimia serta memupuk keinginan untuk meneroka idea baharu pada masa hadapan. Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan sesi bergambar sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Penulis bersama Nurin Batrisyia Khairul Anuar dan Prof. Madya Dr. Corriena Abdul Talib