December 22, 2025

Inisiatif Mahasiswa UTM pupuk generasi celik digital di Kangkar Pulai

KANGKAR PULAI, 20 Dis – Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada kursus Media Digital dan Komuniti (ULRF2102 dan UKQF2012) telah berjaya melaksanakan satu program perkongsian ilmu berteraskan inovasi digital bertajuk Tech4Teens yang berlangsung di Komuniti Pangsapuri Kangkar Pulai. Program khidmat masyarakat ini merupakan sebahagian daripada pengisian akademik di bawah Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) yang menghimpunkan mahasiswa UTM bersama lebih 30 orang penduduk setempat dalam usaha memperkasakan literasi digital dalam kalangan komuniti.

Fokus utama penganjuran program ini adalah untuk merapatkan jurang pengetahuan teknologi melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, santai dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan remaja dan kanak-kanak. Melalui penglibatan secara langsung bersama komuniti, mahasiswa bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah sebagai pemudah cara yang menghubungkan teknologi dengan realiti kehidupan seharian penduduk setempat.

Sesi perkongsian ilmu dimulakan dengan pengenalan mengenai kepentingan keselamatan akaun dalam talian serta etika berkomunikasi di media sosial bagi mengelakkan risiko penipuan siber dan penyebaran maklumat palsu. Para peserta turut didedahkan kepada kemahiran reka bentuk visual melalui modul Ekspresi Kreatif Digital, yang memperkenalkan prinsip asas seperti komposisi, tipografi dan psikologi warna dalam penghasilan poster digital yang bermakna dan berkesan.

Program ini turut membawa dimensi teknologi masa hadapan melalui pameran Realiti Maya (VR) dan pengenalan kepada konsep Kecerdasan Buatan (AI) bagi memberikan gambaran awal kepada penduduk tentang aplikasi teknologi tersebut dalam mempermudah urusan seharian. Pendekatan pembelajaran berasaskan projek yang diterapkan membolehkan peserta bukan sekadar menerima teori secara pasif, sebaliknya berpeluang mempraktikkan kemahiran teknikal secara langsung menggunakan peranti yang disediakan oleh mahasiswa.

Peserta mencuba aplikasi teknologi menggunakan peralatan realiti maya yang disediakan

Aktiviti diteruskan dengan sesi Digital Cerdas, Tanpa Gajet yang menekankan tanggungjawab pengguna media digital melalui permainan explorace dan teka silang kata. Aktiviti ini menguji keupayaan peserta menyemak fakta, melindungi privasi peribadi serta memahami implikasi penggunaan teknologi secara tidak beretika. Walaupun berteraskan elemen teknologi, modul ini membuktikan bahawa kefahaman digital boleh diterapkan melalui aktiviti fizikal yang memupuk kerjasama berpasukan dan komunikasi berkesan.

Keberkesanan perkongsian ilmu ini jelas apabila penduduk mula menunjukkan kefahaman tentang cara memanfaatkan teknologi secara positif bagi memperkukuh hubungan kejiranan serta menyokong aktiviti kemasyarakatan di Pangsapuri Jentayu. Suasana program terus dimeriahkan dengan penglibatan aktif peserta dalam sesi kuiz Teka Media Bijak dan perbincangan berkumpulan yang mencabar kreativiti serta pemikiran kritis mereka.

Mahasiswa UTM memberikan penerangan tentang penghasilan poster digital yang bermakna kepada peserta

Illias pula menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap usaha murni mahasiswa UTM yang membawa ilmu teknologi terkini terus ke komuniti setempat. Beliau menyifatkan inisiatif ini amat bermanfaat dalam mendidik generasi muda agar lebih beretika, bijak dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran dunia digital yang semakin mencabar. Program diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang serta sesi bergambar sebagai simbol kejayaan jalinan kerjasama antara universiti dan komuniti.

Sesi penyampaian hadiah kepada pemenang oleh wakil Pengurusan Perbadanan Jentayu

Explore More

UTM Open Day