JOHOR BAHRU, 16 Nov – Sesi kedua Majlis Konvokesyen ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diserikan dengan keberangkatan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Dalam titahnya, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda menekankan kepentingan pengiktirafan terhadap neurodiversiti dalam dunia pendidikan masa kini.
Memahami keunikan cara berfikir, belajar dan berinteraksi setiap individu, tegas beliau, adalah asas kepada pendekatan pendidikan inklusif yang memupuk inovasi, kreativiti dan empati.

“Memahami dan meraikan neurodiversiti bukan sahaja memperkasa pendekatan pendidikan yang inklusif, tetapi turut membuka ruang kepada inovasi dan kreativiti dalam kalangan warga universiti,” titahnya.
Beliau yakin bahawa UTM sebagai peneraju dalam bidang teknologi dan kejuruteraan mampu terus memimpin pembangunan inovasi yang memberi manfaat khususnya kepada golongan yang memerlukan.
Di samping itu, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda menegaskan bahawa budaya buli tidak boleh wujud dalam masyarakat berilmu.
“Buli adalah manifestasi kelemahan moral yang merosakkan bukan sahaja mangsa, tetapi juga integriti pembuli itu sendiri.
YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda turut menyeru para graduan agar menggunakan ilmu yang dipelajari untuk membina persekitaran yang selamat, saling menghormati dan menyuburkan nilai adab, empati serta integriti dalam semua aspek kehidupan. Menurutnya, ilmu tanpa adab dan akhlak tidak membawa makna.
Dalam menyampaikan amanat kepada para graduan, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda menasihatkan mereka agar sentiasa rendah diri, berintegriti dan menghargai jasa ibu bapa serta para guru.
“Keberkatan ilmu itu datang dengan redha ibu bapa dan guru-guru yang telah membimbing kita.
Mengakhiri titah, YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis konvokesyen pada kali ini.