December 7, 2025

UTM terus perkukuh kolaborasi strategik bersama Johor Port Berhad

JOHOR BAHRU, 25 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Seksyen Dana Endowmen terus memperkukuh hubungan strategik bersama industri dengan penganjuran Program Potensi Memperluas Kolaborasi Bersama Johor Port Berhad (JPB) yang berlangsung di Dewan Senat BCSI, UTM Johor Bahru. Program ini menghimpunkan seramai 23 delegasi Johor Port Berhad bersama barisan pengurusan universiti, melibatkan dekan fakulti, pengarah pusat, serta wakil kepimpinan akademik dan pembangunan.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad diikuti sesi pengenalan mengenai ekosistem Endowmen UTM oleh Pengarah Seksyen Dana Endowmen, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Robiah Hj. Suratman. Johor Port Berhad kemudian menyampaikan pembentangan pengenalan melalui Pengurus Besar Bahagian Kewangan JPB, Md Kamil Md Rafi, yang menekankan keperluan kerjasama strategik dalam memperkukuh inovasi dan daya saing sektor pelabuhan.

Sesi ucapan aluan oleh Prof. Ts. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan)

Sesi perbincangan utama membincangkan sembilan agenda kerjasama, termasuk pembangunan Battery Energy Storage System (BESS), projek Wharf Mark, penyelidikan operasi dan teknologi pelabuhan, serta peluang latihan dan pembangunan profesional untuk kakitangan JPB. Beberapa inisiatif melibatkan pelajar turut dibincangkan, seperti Industrial Immersion Program, latihan nilai tambah oleh Johor Port Skills Centre (JPSC), serta potensi penajaan pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana. Sesi ini juga membuka ruang kolaborasi dalam pembangunan 4D Modelling for Port Infrastructure and Buildings, sejajar dengan fokus jangka panjang JPB dalam transformasi digital.

Sesi perbincangan rasmi antara Johor Port Berhad dan UTM bersama Seksyen Dana Endowmen di Dewan Senat, BCSI, UTM Johor Bahru

Program diteruskan dengan sesi lawatan delegasi ke Pusat Teknologi Marin (MTC) UTM, yang mempamerkan kepakaran penyelidikan marin universiti termasuk simulasi kejuruteraan laut, reka bentuk struktur maritim dan teknologi berkaitan pelabuhan. Lawatan ini memberi gambaran menyeluruh mengenai kemampuan UTM sebagai rakan penyelidikan strategik kepada industri maritim dan logistik negara.

Staf Seksyen Dana Endowmen bersama wakil Johor Port Berhad meninjau kemudahan penyelidikan dan potensi kolaborasi dalam pembangunan teknologi maritim di Pusat Teknologi Marin, UTM Johor Bahru

Secara keseluruhan, program ini berjaya membuka dimensi baharu dalam hubungan UTM–JPB, khususnya dalam memperkukuh jaringan industri, memacu inovasi teknologi, dan membangunkan modal insan berkemahiran tinggi. UTM komited untuk meneruskan usaha memperluas kolaborasi yang berimpak, selaras dengan aspirasi universiti ke arah ekosistem pendidikan tinggi yang mampan dan berdaya saing, serta menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negeri Johor dan negara.

Explore More

UTM Open Day