November 28, 2025

UTM perkukuh budaya kebersihan melalui Hari Tandas Berseri 2025

JOHOR BAHRU, 19 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) berjaya melaksanakan Program Hari Tandas Berseri 2025 bersempena Sambutan Hari Tandas Sedunia pada 19 November 2025. Program ini dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh budaya kebersihan, keselesaan dan kelestarian fasiliti kampus serta menunjukkan komitmen UTM dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 6, Air Bersih dan Sanitasi.

Inisiatif ini menghimpunkan warga kampus daripada pelbagai bahagian termasuk pengurusan aset, operasi fasiliti, kesihatan persekitaran dan sukarelawan mahasiswa. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan tandas yang bersih, selamat dan mesra pengguna, selaras dengan aspirasi global untuk memastikan akses sanitasi berkualiti kepada semua menjelang 2030.

Pengarah program menekankan bahawa tandas merupakan cerminan disiplin dan profesionalisme sesebuah komuniti.

Beliau berkata, “Benar kata orang, kalau nak nilai tahap kebersihan sesebuah organisasi, lihatlah tandasnya. Program ini adalah gerakan bersama warga kampus untuk memastikan fasiliti asas berada pada tahap terbaik, selari dengan aspirasi UTM sebagai kampus lestari.”

Ucapan aluan oleh Qamaruzaman Mohd Noor, Pengarah Program Tandas Berseri UTM 2025 (Foto: Unit Promosi, JTNCP)

Pengerusi Bahagian Pengurusan Aset (BPA) UTM turut menekankan komitmen universiti dalam memastikan penyelenggaraan tandas kampus berada pada tahap terbaik dan selaras dengan amalan sanitasi global. Beliau menyatakan bahawa kejayaan sebenar datang apabila semua warga kampus mengamalkan tanggungjawab bersama.

“Tandas bukan hanya utiliti asas, tetapi penanda aras budaya kerja dan profesionalisme kita. Sempena Hari Tandas Sedunia ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk menjaga kebersihan sebagai amalan harian,” katanya lagi.

Selain itu, usaha penambahbaikan sistem penyelenggaraan dan pelaporan digital turut diperkenalkan sebagai langkah menyokong sasaran global meningkatkan kecekapan pengurusan sanitasi di institusi pendidikan tinggi.

Ucapan perasmian oleh Prof. Madya Sr Dr. Tajul Ariffin Musa, Pengerusi BPA (Foto: Unit Promosi, JTNCP)

Program ini juga selari dengan usaha global mempromosikan sanitasi selamat, penggunaan air berkesan dan pengurangan risiko kesihatan awam, yang merupakan fokus utama SDG 6.

Majlis turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi tiga kategori utama. Dalam Kategori Pejabat, tempat pertama dimenangi oleh Jabatan Pendaftar, diikuti Bangunan Persatuan Pelajar (SUB) di tempat kedua dan Pusat Pembangunan Bakat dan Kepimpinan (CTLD) di tempat ketiga.

Bagi Kategori Kolej Kediaman, juara keseluruhan ialah Kolej Tun Fatimah (KTF), tempat kedua Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), manakala Kolej Datin Seri Endon (KDSE) menduduki tempat ketiga.

Dalam Kategori Bangunan Akademik, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (N01a) memperoleh tempat pertama, diikuti Fakulti Alam Bina dan Ukur (B05) serta Fakulti Pengurusan (T08) di tempat ketiga. Semua pemenang menerima piala pusingan dan sijil penghargaan sebagai galakan terhadap budaya kebersihan mampan, satu prinsip yang turut ditekankan dalam laporan global sanitasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Semua pemenang bergambar bersama-sama untuk meraikan kejayaan mereka (Foto: Unit Promosi, JTNCP)

Melalui penganjuran Hari Tandas Berseri ini, UTM bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan fizikal dan keselesaan di kampus, tetapi turut memperkukuh peranan universiti dalam menyokong SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) serta SDG 11 (Bandar dan Masyarakat Mampan). Program ini membuktikan bahawa UTM bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga aktif menyumbang kepada agenda sanitasi global, sekali gus memupuk budaya lestari dan kesedaran sivik dalam kalangan warga kampus.

Oleh Qamaruzaman Mohd Noor dan Lizawati Mohamad

Explore More

UTM Open Day