Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor, atas pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang sarat dengan agenda mensejahterakan rakyat dan memacu masa depan Bangsa Johor.
Belanjawan bertemakan “Bangsa Johor Sejahtera” ini bukan sekadar dokumen kewangan, tetapi satu komitmen strategik yang mengangkat pendidikan, kemahiran, dan kesejahteraan sosial sebagai nadi pembangunan negeri. UTM amat menghargai iltizam kerajaan negeri yang jelas memberi tumpuan kepada pembinaan modal insan, peningkatan akses pendidikan, serta penyediaan peluang pembelajaran untuk semua.
- Sokongan Terhadap Agenda Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Mahasiswa
UTM menyambut baik pelbagai inisiatif di bawah teras Orang Muda Johor yang benar-benar memberi dampak besar kepada ekosistem pendidikan tinggi. Antaranya termasuk:
- Skim Pinjaman Pelajaran Mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk 2,100 pelajar B40.
- Bantuan Laptop Siswa Johor kepada 5,000 mahasiswa B40.
- Bantuan Pendaftaran Mahasiswa, bantuan tiket pengangkutan, bantuan makanan pelajar tuisyen SPM 2026 serta program pemantapan akademik calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
- Biasiswa Orang Muda Johor untuk pengajian di universiti terbaik dunia, serta Dermasiswa Timur Tengah dan pinjaman pendidikan perubatan luar negara.
Inisiatif ini membawa makna besar kepada UTM kerana sebahagian besar penerima adalah mahasiswa daripada universiti awam termasuk UTM. Ia membantu memastikan akses pendidikan yang adil, merapatkan jurang sosial, dan mempersiapkan generasi muda sebagai tenaga profesional masa depan.
- Penghargaan Kepada Komitmen Kerajaan Negeri terhadap Pendidikan Khas
UTM juga amat menghargai keprihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan khas, khususnya peruntukan:
- Bantuan kepada Sekolah Pendidikan Khas Cerebral Palsy berjumlah RM1 juta.
- Program pemulihan pelatih Orang Kurang Upaya (OKU) Pemulihan dalam Komuniti (PDK), bantuan bulan OKU dan Majlis Belia OKU Johor.
- Menyokong Agenda TVET, Teknologi Hijau dan Transformasi Digital
UTM turut menyokong pelbagai inisiatif pembangunan bakat dan kemahiran seperti:
- Program PRO-MAHIR dan geran peralatan TVET.
- Pembangunan Johor Skills dan transformasi Kolej Universiti YPJ
- Penubuhan Majlis AI Johor untuk menjadikan Johor sebagai Hab AI dan Data Serantau menjelang tahun 2030.
- Inisiatif Pembangunan Raja Zarith Sofiah Learning Centre Johor.
Inisiatif ini membuka ruang kolaborasi strategik antara UTM dan kerajaan negeri dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu, bandar pintar, keselamatan siber, sensor, robotik, dan inovasi hijau, sekaligus mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pusat teknologi dan inovasi serantau. UTM bersedia sepenuhnya dalam membantu negeri Johor, khasnya dengan kepakaran dalam bidang teknologi AI, seterusnya memperhebat agenda AI untuk negeri Johor.
- Komitmen UTM untuk Terus Bersama Membina Johor yang Sejahtera
Bagi pihak seluruh warga UTM, saya merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas kepercayaan kerajaan negeri dalam meletakkan pendidikan sebagai tunjang pembangunan negeri.
UTM komited untuk:
- memperluas penyelidikan yang memenuhi keperluan Johor.
- memperkasa pendidikan TVET dan AI.
- menyokong agenda pembangunan bakat muda Johor.
- memperkukuh pendidikan inklusif dan sokongan OKU.
- menerajui penyelesaian inovatif dan lestari melalui jaringan industri dan komuniti negeri.
Belanjawan 2026 ini jelas membuktikan bahawa Johor sedang melangkah ke hadapan dengan hala tuju yang penuh keyakinan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat. UTM akan terus bersama Kerajaan Negeri Johor, berganding bahu membina Johor yang makmur, berdaya saing dan inklusif untuk semua.
Pejabat Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia
15 November 2025