February 15, 2026

Peserta sedang menghasilkan pelet dengan menggunakan mesin pelet

UTM dan LPNM perkasakan ekonomi pekebun kecil nanas melalui Bengkel PINE2FEED

PONTIAN, 6 Nov – Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), telah menganjurkan Bengkel PINE2FEED, satu program inovatif yang memfokuskan pemanfaatan sisa nanas sebagai sumber makanan ternakan bernilai dan bernutrisi tinggi.

Program ini diketuai oleh Dr. Mira Panadi, Pensyarah Kanan di Jabatan Biosains, Fakulti Sains, UTM. Jawatankuasa bengkel terdiri daripada staf LPNM dan Pengurus Penyelidikan dan Pengetahuan Fakulti Sains UTM, Ts. Dr. Noorazwani Zainol, serta dibantu oleh pelajar Doktor Falsafah Jabatan Biosains, Gan Li Yong, yang sedang menjalankan kajian saintifik mengenai silaj berasaskan sisa daun nanas. Objektif utama bengkel ini adalah memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik formulasi serta kesesuaian sisa daun nanas sebagai makanan ternakan.

Peserta sedang membuat silaj lengkap berasaskan sisa daun nanas dan bahan dedak, serta memasukkan campuran tersebut ke dalam tong silo untuk proses fermentasi
Peserta sedang membuat silaj lengkap daripada sisa daun nanas dan bahan dedak, serta memasukkan campuran tersebut ke dalam tong silo untuk proses fermentasi

Peserta diberikan pendedahan menyeluruh mengenai teknik penghasilan makanan ternakan daripada sisa daun nanas. Proses ini merangkumi pemotongan, pemampatan dan pemeraman untuk menghasilkan silaj ternakan. Selain itu, peserta turut mempelajari cara menghasilkan pelet ternakan daripada serbuk sisa nanas melalui proses pengeringan, formulasi berkesan dan pempeletan. Peserta juga diperkenalkan dengan kaedah meningkatkan nilai nutrisi sisa daun nanas menggunakan pemprosesan moden, termasuk penambahan bahan pengikat dan protein, supaya makanan ternakan yang dihasilkan lebih seimbang dan bernutrisi tinggi.

Sesi teori pengenalan bahan-bahan makanan ternakan dan teknik asas formulasi sebelum memulakan proses pembuatan silaj dan pelet daripada sisa daun nanas yang telah disampaikan oleh Dr. Mira Binti Panadi
Peserta mempelajari teknik penghasilan silaj ternakan menggunakan sisa daun nanas, termasuk pemotongan, pemampatan, dan pemeraman

Program ini dijalankan di bawah projek yang dibiayai oleh Dana UniMadani, Kementerian Kewangan, dengan matlamat memperkasakan ekonomi pekebun kecil melalui inovasi pemakanan ternakan berasaskan sumber tempatan. Bengkel ini memberi peluang kepada peserta untuk mengalami pengalaman praktikal yang meningkatkan kefahaman mereka tentang pengurusan sisa pertanian secara lestari, seterusnya membolehkan mereka mengaplikasikan teknik ini dalam operasi harian bagi menjimatkan kos pengeluaran dan mengurangkan impak alam sekitar.

Peserta sedang menghasilkan pelet dengan menggunakan mesin pelet
Peserta menghasilkan pelet ternakan menggunakan mesin pelet, hasil daripada serbuk sisa daun nanas yang telah dikeringkan dan diformulasi

Peserta yang hadir terdiri daripada pekebun nanas dan usahawan ternakan, yang menyatakan bahawa modul yang dibangunkan oleh ketua projek selaku penceramah utama memudahkan pemahaman dan memberi panduan praktikal yang jelas untuk penghasilan makanan ternakan berkualiti daripada sisa nanas. Bengkel PINE2FEED menekankan pendekatan lestari, praktikal dan berasaskan komuniti, selari dengan usaha kerajaan meningkatkan inovasi pertanian serta ekonomi pekebun kecil di Malaysia.

Sesi bergambar bersama jawatankuasa program yang terdiri daripada staff UTM dan LPNM, serta para peserta
Sesi bergambar bersama jawatankuasa program yang terdiri daripada staf UTM dan LPNM, serta para peserta bengkel PINE2FEED

Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada peserta untuk memahami potensi sisa daun nanas sebagai sumber makanan ternakan yang lestari, tetapi juga menekankan kepentingan inovasi dalam pengurusan sisa pertanian. Dengan penerapan teknik formulasi yang betul, sisa daun nanas bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah berpotensi meningkatkan kualiti dan keberkesanan pemakanan ternakan. Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh peserta dapat diaplikasikan dalam amalan pertanian dan penternakan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan pertanian yang lebih mampan dan mesra alam.

Explore More

UTM Open Day