JERANTUT, 25 Nov – Program “Mahasiswa Turun Desa (MTD) @Kampung Kuala Tahan” telah berlangsung dari 22 hingga 25 November melibatkan seramai 33 mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Para mahasiswa berkampung selama empat hari di Kampung Kuala Tahan, Jerantut, Pahang, dan diiringi oleh dua pensyarah kursus merangkap penasihat program, iaitu Dr. Mohamad Fadhli Rashid dan Dr. Khairul Hisyam Kamarudin. Inisiatif Mahasiswa Turun Desa ini merupakan usaha mahasiswa bersama pensyarah dua kursus elektif di bawah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, iaitu SBEW4123 Komuniti dan Budaya Luar Bandar serta SBEW3173 Pembangunan Ekonomi Luar Bandar.
Pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang empat hari program berlangsung. Setibanya di Masjid Kampung Kuala Tahan, para mahasiswa bergotong-royong bersama penduduk kampung dalam aktiviti Rewang Perdana bagi menyediakan jamuan makan tengah hari. Aktiviti ini dianggap sebagai sesi “ice-breaking” yang secara langsung mengeratkan hubungan antara mahasiswa UTM dan komuniti setempat.

Pada tengah hari, berlangsung majlis perasmian program MTD @Kuala Tahan serta sesi penyerahan anak angkat kepada ibu dan bapa angkat. Majlis dirasmikan oleh Wan Nor Azlan Wan Safri, Ahli Majlis Daerah Jerantut (MDJ) merangkap Pengerusi Komuniti Daerah Jerantut. Turut hadir Ketua Kampung Kuala Tahan, Tok Aki Jalil, pimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta keluarga angkat. Seramai 11 keluarga angkat menerima mahasiswa UTM sebagai anak angkat sepanjang tempoh program.

Pada pagi hari berikutnya, aktiviti “Brisk Walk and Plogging” diadakan melibatkan kawasan sekitar Kampung Kuala Tahan dan lokasi tumpuan pelancong seperti jeti bot ke Taman Negara Kuala Tahan serta zon komersial. Pada sebelah petang pula, program diteruskan dengan kajian lapangan dan kutipan data inventori kawasan bagi memenuhi keperluan tugasan setiap kumpulan mengikut kursus yang terlibat.
Hari ketiga menyaksikan pelaksanaan Sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (Focus Group Discussion, FGD) di Dewan Serbaguna Kampung Tekah, Kuala Tahan. Dua FGD utama dijalankan, iaitu Kajian Keperluan dan Kesediaan terhadap Projek Hutan Komuniti serta Pelan Tindakan Perniagaan Ekopelancongan Berdaya Tahan.
Kehadiran pemegang taruh amat memberangsangkan, dengan penyertaan wakil daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), MDJ, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Tembeling Tengah, Taman Negara, pengusaha hotel dan penginapan, pengusaha bot pelancong, jurupandu dan pengurus pelancong. Komuniti pula diwakili ketua kampung serta ahli JPKK Kampung Kuala Tahan dan Kampung Padang.

Selesai sesi perbincangan, mahasiswa bagi setiap kumpulan FGD membentangkan hasil dapatan untuk semakan, komen dan pengesahan daripada wakil pemegang taruh yang hadir. Pelbagai input penting berjaya dikumpulkan untuk penghasilan laporan akhir kajian, yang akan diterbitkan dalam bentuk buku dan diserahkan kembali kepada komuniti serta agensi berkaitan sebagai rujukan dan tindakan lanjut.

Pada hari terakhir, majlis penutup program MTD berlangsung dengan sesi bergambar mahasiswa bersama keluarga angkat masing-masing sebelum diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderamata kepada ketua kampung serta ibu dan bapa angkat.
Secara keseluruhannya, program Mahasiswa Turun Desa @Kuala Tahan berjaya mencapai matlamatnya dalam membina kapasiti mahasiswa UTM yang berupaya menganjurkan program berimpak, berinteraksi dengan komuniti serta menyumbang kepakaran dalam pemetaan sumber komuniti dan penyediaan dokumen pelan tindakan. Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami nilai murni, budaya tradisional dan cara hidup masyarakat luar bandar yang dapat dijadikan panduan dalam kehidupan mereka selepas kembali ke kampus.
Oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin dan Dr. Mohamad Fadhli Rashid, Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM