JOHOR BAHRU, 10 Nov – Program Bangsa Johor Bahagia (BJB), sebuah inisiatif kesejahteraan komuniti yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong merangkap Sultan Johor, Sultan Ibrahim, bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bakal diperluaskan lagi menerusi pelaksanaan fasa seterusnya, iaitu BJB 3.0.

Pembentangan terperinci mengenai hala tuju dan perancangan Program Bangsa Johor Bahagia 3.0 telah dipersembahkan kepada Raja Permaisuri Agong dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah, dalam satu majlis khas yang berlangsung di Istana Bukit Serene. Pembentangan tersebut turut memperincikan penambahbaikan serta penekanan baharu yang akan dibawa dalam fasa ketiga program berimpak tinggi ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Asman Shah Abd Rahman, bersama isteri Datin Halimah Mohamed Rasip. Hadir sama Yang Berhormat Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Dato’ Mohd Haffiz Ahmad, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru; serta barisan kepimpinan akademik UTM yang terdiri daripada Prof. Sr Dr. Maimunah Sapri selaku Ketua Projek BJB 3.0 dan Prof. Madya Dr. Mohd Hisyam Rasidi, Pengarah UTM Alumni merangkap Ketua Projek BJB 2.0.

Menurut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, pelaksanaan BJB 3.0 akan diperluaskan ke Flat Larkin di Johor Bahru dan Flat Temenggong di Kulai sebagai langkah strategik untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan perumahan berstrata yang dikenal pasti memerlukan intervensi holistik. Beliau menegaskan bahawa usaha ini selaras dengan komitmen Kerajaan Johor dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama pentadbiran negeri.
Program Bangsa Johor Bahagia sebelum ini telah mencatatkan pelbagai kejayaan menerusi pelaksanaan projek komuniti perintis di Rumah Pangsa Bandar Baru Kangkar Pulai melalui BJB 1.0 pada tahun 2019. Kejayaan tersebut menjadi asas kukuh kepada peluasan program ke Flat Plentong Utama menerusi BJB 2.0 pada awal tahun ini, yang menyaksikan peningkatan ketara dalam aspek kebersihan, keselamatan, penyertaan komuniti serta pembangunan kapasiti penduduk.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan fasa terdahulu, Kerajaan Johor kini berhasrat memperkukuh pelaksanaan BJB 3.0 dengan menerapkan tema berasaskan warisan, elemen kebitaraan komuniti serta pendekatan bersepadu dalam menangani cabaran perumahan berstrata, termasuk penyelenggaraan fasiliti, pengurusan komuniti, keselamatan dan kesihatan awam.
Pelaksanaan fasa ketiga ini turut mendapat kerjasama erat daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Kulai dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor. Kesemua agensi ini akan bertindak sebagai rakan pelaksana utama dalam menyelaraskan intervensi fizikal, sosial serta pembangunan modal insan di lokasi yang terlibat.
Dengan pelaksanaan BJB 3.0, Kerajaan Johor optimis bahawa usaha transformasi komuniti perumahan berstrata akan terus diperkasakan, sekali gus membentuk Bangsa Johor yang lebih bersatu, berdaya tahan dan sejahtera selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.