SHAH ALAM, 27 Nov – Sekumpulan pelajar Tahun 2 dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Emas serta Anugerah Tapak Pembentangan Terbaik di acara berprestij Engineering Research Symposium (EuRES) dan International Fusion Invention Research Exhibition Competition (i-FIRE) yang berlangsung di University of Wollongong Malaysia (UOW), Shah Alam.

Pasukan tersebut yang terdiri daripada Azam Fahmi Ahmad Fazli, Muhammad Faris Muhammad Anas, Muhammad Hafizuddin Mustapa dan Muhd Isyraff Ihsan Azahari telah membentangkan kajian inovatif bertajuk “BaraX: Eco-Friendly and Sustainable Fire-Retardant Paint”. Kesemua mereka merupakan pelajar Tahun 2 program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dengan Kepujian.
Projek tersebut mengetengahkan formulasi cat kalis api yang lebih mesra alam dan berasaskan bahan mapan, dengan potensi aplikasi dalam sektor pembinaan dan keselamatan kebakaran.
“Buat masa ini, inovasi ini disasarkan kepada warga luar bandar memandangkan kelompok ini kurang mendapat pendedahan secukupnya terhadap keselamatan kebakaran,” ujar Muhammad Faris.
Pertandingan berkenaan menghimpunkan hampir 50 penyertaan daripada lebih 10 buah sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari dalam serta luar negara. Persaingan sengit tidak menghalang pasukan FKM daripada menonjol hasil mutu penyelidikan yang kukuh dan penyampaian yang meyakinkan. Mereka turut diiringi penasihat kumpulan, Dr. Mohd Haziq Dzulkifli, Pensyarah Kanan di FKM, yang memainkan peranan besar dalam memperkemas penyelidikan dan persediaan pembentangan.
EuFIRE’25, acara anjuran tahunan Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) UTM, terus menjadi platform penting buat penyelidik, industri dan akademia berkongsi inovasi baharu. Selaras dengan tema tahun ini, “Connecting Minds for a Sustainable Future”, penganjuran EuRES dan i-FIRE yang masing-masing memasuki edisi ketujuh dan ketiga berlangsung meriah dengan penyertaan yang sangat kompetitif. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor University of Wollongong Malaysia, Prof. Dr. Hew Pang Leang.

Kejayaan di Shah Alam ini bukanlah yang pertama bagi tiga ahli pasukan tersebut. Pada Oktober lalu, Azam Fahmi, Muhammad Faris dan Muhammad Hafizuddin turut mewakili FKM dan UTM di International Undergraduate Innovation Competition 2025 (IUIC’25) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, di mana mereka berjaya meraih pingat perak. Pengalaman itu menjadi pemangkin untuk mempertingkatkan lagi inovasi BaraX.
“Kami telah menambah baik kajian ini dari beberapa aspek dengan mengambil kira cadangan dan komen yang diterima daripada pertandingan sebelum ini,” jelas Muhammad Hafizuddin mengenai penyertaan kali ini.
Menurut Azam Fahmi, persediaan mereka kali ini lebih rapi, terutamanya dari segi pembentangan. “Walaupun tahap soalan juri lebih sukar, kami lebih yakin kerana pengalaman di pertandingan seperti IUIC’25 sangat membantu,” katanya.
“Kumpulan pelajar ini menunjukkan komitmen dan kefahaman saintifik yang baik. Saya amat bangga dengan pencapaian mereka,” ujar penasihat kumpulan, Dr. Mohd Haziq Dzulkifli. Beliau menambah bahawa pertandingan seperti EuFIRE’25 merupakan platform berkesan untuk mengasah kemahiran insaniah pelajar, sekali gus melahirkan graduan yang memenuhi aspirasi negara.