November 17, 2025

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda bukanlah perjalanan yang mudah bagi Nurnikman Podin, graduan Kejuruteraan Awam dari Kuching, Sarawak yang kini berusia 43 tahun.

Dalam keadaan kesihatan yang tidak menentu akibat kanser tahap empat, beliau tetap menamatkan pengajian dengan penuh ketabahan dan kecekalan.

Sejak di bangku sekolah menengah, khususnya sejak tingkatan empat, Nurnikman sudah menyimpan hasrat untuk menuntut ilmu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), sebuah institusi tersohor dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

Namun perjalanan hidupnya tidak terus membawa beliau ke pintu universiti. Beliau hanya berpeluang mengikuti pengajian Diploma pada tahun 2000 sebelum memulakan pekerjaan tetap pada 2006. Walaupun sibuk dengan tanggungjawab kerjaya, impiannya untuk menyambung pelajaran tidak pernah terpadam.

Tahun 2014 membuka lembaran baharu apabila beliau menerima tawaran menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Namun urusan rasmi di tempat kerja menyebabkan beliau terpaksa melepaskan peluang itu. Beliau akur dan terus menunggu ruang lain yang lebih sesuai.

Dua tahun kemudian, beliau mencuba melalui Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTM SPACE) di Kuching, namun persaingan sengit menyebabkan permohonannya tidak berjaya.

Walaupun berasa kecewa, beliau memujuk diri untuk menerima ketentuan bahawa rezeki belum memihak kepadanya.

Segalanya berubah pada tahun 2019. Permohonannya akhirnya diterima oleh UTM SPACE, membuka jalan ke arah impian yang lama dinanti. Namun cabaran besar menanti sebaik sahaja pengajian bermula.

Pada tahun pertama, beliau terpaksa berulang-alik dari Bintulu ke Kuching pada setiap hujung minggu semata-mata untuk menghadiri kelas. Perjalanan jauh yang meletihkan menjadi rutin mingguan, namun semangatnya tidak goyah.

Dengan izin Allah, beliau kemudian berjaya bertukar ke stesen kerja yang lebih hampir dengan tempat pengajian pada semester kedua, menjadikan perjalanan ke kelas lebih mudah dan teratur.

Nurnikman bersama keluarga yang menjadi tulang belakang perjalanan akademiknya di Majlis Konvokesyen Ke-69 UTM

Tahun 2020 pula membawa cabaran baharu apabila negara dilanda pandemik COVID-19. Semua kelas bertukar kepada mod dalam talian, memaksa beliau menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran tanpa pertemuan bersemuka.

Walaupun mencabar, pengalaman ini mengajar beliau tentang daya tahan dan kemampuan menyesuaikan diri dalam situasi luar jangka.

Ujian paling berat hadir pada tahun 2023 ketika pengajian memasuki tahun keempat. Beliau disahkan menghidap kanser usus tahap empat. Keputusan itu ibarat halilintar yang menyentap seluruh keluarganya.

Atas faktor kesihatan, keluarga menasihatkan agar beliau menangguhkan pengajian. Namun Nurnikman memilih jalan berbeza.

Dengan tekad yang tidak pernah rapuh, beliau meneruskan pengajian sambil menjalani pembedahan, rawatan kemoterapi dan seterusnya imunoterapi.

Usaha ini menuntut ketahanan fizikal dan mental yang bukan sedikit, namun beliau tetap tabah.

Di sebalik dugaan tersebut, ada juga pengalaman indah yang akan kekal tersemat dalam ingatannya.

Beliau mengingati detik pembentangan projek sarjana muda serta penyertaan seminar Kejuruteraan Awam di Pulau Pinang sebagai antara kenangan akademik sepanjang pengajiannya.

Inspirasi paling besar datang daripada kedua-dua arwah ibu bapanya. Bapanya yang merupakan pesakit kanser dan meninggal dunia pada tahun 1991 menjadi sumber kekuatan setiap kali beliau berasa lemah.

Ibunya pula, seorang ibu tunggal yang gigih membesarkan keluarga sebelum meninggal dunia pada 2007, sentiasa menjadi simbol ketabahan yang mendorong beliau untuk terus melangkah.

Menamatkan pengajian dalam keadaan diri sedang bertarung dengan penyakit adalah antara pencapaian terbesar dalam hidupnya.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli keluarga, abang, kakak ipar, anak-anak buah, rakan sekerja, rakan sekelas dan para pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, khususnya Ts. Dr. Mohd Idham Mohd Satar.

Penghargaan turut disampaikan kepada para pensyarah dari fakulti lain serta pasukan perubatan di Borneo Medical Centre (BMC Kuching) termasuk Dr. Yu Kong Leong dan jururawat Oncology Daycare yang sentiasa memberi sokongan sepanjang rawatan.

Rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa menjadi penyokong utama dalam perjalanan pengajian beliau

Kini, setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda, Nurnikman tidak berhenti di situ. Beliau meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana di UTM dan kini berada di semester kedua, membuktikan bahawa cita-cita menuntut ilmu tidak pernah mengenal usia, keadaan atau halangan.

Kisah perjalanan beliau menjadi sumber inspirasi kepada ramai pejuang kanser dan seluruh masyarakat.

Ia membuktikan bahawa dengan kesabaran, keyakinan kepada Allah dan sokongan insan tersayang, segala dugaan yang kelihatan mustahil sekalipun mampu ditempuh.

Ilmu tetap boleh dicapai meskipun jalan yang dilalui penuh duri dan cabaran.

Indahnya rahsia Allah, Kerana Tuhan untuk Manusia.

Explore More

UTM Open Day