February 22, 2026

MyREDS cipta kejayaan emas di IIDEX 2025 melalui pendigitalan komuniti

SHAH ALAM, 30 Okt – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan kecemerlangan projek dan inovasi apabila meraih pingat emas di Invention, Innovation and Design Exposition (IIDEX 2025), sebuah pameran dan pertandingan antarabangsa tahunan yang mengetengahkan kreativiti, kepintaran serta impak inovasi terhadap masyarakat anjuran Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

IIDEX 2025 berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Oktober 2025 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam. Penganjuran kali ini dilaksanakan dengan kerjasama Festival IDEA Putrajaya, sejajar dengan Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia yang menekankan keterlihatan penyelidikan, pemerkasaan inovasi serta pengkomersialan hasil penyelidikan.

Ketua Projek, Prof. Madya Dr. Mohamad Hafis Izran Ishak di reruai pameran MyREDS

Bertemakan inovasi sosial berimpak tinggi, IIDEX 2025 berperanan sebagai platform utama untuk mempamerkan hasil ciptaan dan inovasi yang memberi manfaat langsung kepada komuniti serta berpotensi mentransformasikan kehidupan di peringkat tempatan dan global.

Antara pertandingan yang dianjurkan ialah Pertandingan Ciptaan, Inovasi dan Reka Bentuk serta Anugerah Khas tajaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB). Penganjuran ini turut merangkumi pelbagai kategori penyertaan melibatkan kontinjen institusi, para pencipta, inovator muda dan junior, sekali gus membuka ruang penyertaan yang inklusif merentasi pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

Syarikat hiliran UTM, AR Mechatronics PLT yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Hafis Izran Ishak dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik ini meraih pigat emas menerusi inovasi aplikasi komuniti pintar, MyREDS atau Resident Easy Decision System.

Sistem ini pada asalnya dibangunkan sebagai MyTamu pada tahun 2019 sebelum dijenamakan semula sebagai MyREDS dengan penambahbaikan teknologi digital yang mengintegrasikan Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan. MyREDS dibangunkan sebagai sebuah aplikasi menyeluruh bagi menangani cabaran pengurusan pelawat di komuniti perumahan berpengawal dan berpagar yang sebelum ini bergantung kepada kaedah manual menggunakan buku log. Inovasi ini pernah memenangi pingat emas dan pingat khas pengkomersialan di UTM INATEX 2024.

Sistem MyREDS yang dipertandingkan merangkumi aplikasi mudah alih dan platform web
Senarai pingat dan pengiktirafan yang pernah diterima oleh inovasi MyREDS

Melalui pendigitalan dan penerapan teknologi semasa, MyREDS memperkenalkan sistem daftar masuk kendiri menggunakan imbasan kod QR atau Automatic License Plate Recognition yang diintegrasikan dengan penghadang automatik. Pendekatan ini membolehkan proses daftar masuk diselesaikan dalam tempoh tiga hingga lima saat berbanding kaedah manual yang boleh mengambil masa sehingga lima minit. Sistem ini turut diperkasa dengan teknologi imbasan kad pengenalan berasaskan kecerdasan buatan bagi meningkatkan tahap ketepatan dan keselamatan.

Selain pengurusan pelawat, MyREDS kini berkembang sebagai platform pengurusan komuniti yang komprehensif merangkumi fungsi butang kecemasan, pelaporan dan aduan, pendaftaran kenderaan, pembayaran bil penyelenggaraan bulanan, tempahan fasiliti serta penyimpanan rekod digital secara sistematik. Sehingga kini, sistem MyREDS digunakan secara meluas di komuniti berpagar di Johor, Selangor dan Kedah dengan lebih 2,500 pengguna residen aktif.

Pingat emas yang diperoleh di IIDEX 2025 merupakan pengiktirafan pertama bagi MyREDS pada tahun 2025 serta melengkapkan pencapaian inovasi ini selepas menerima pelbagai pengiktirafan pada tahun sebelumnya. Kejayaan ini mengukuhkan lagi potensi MyREDS sebagai inovasi komuniti pintar yang berimpak tinggi dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Bersama pelawat yang hadir di reruai MyREDs

Author

Explore More

UTM Open Day