November 16, 2025

JOHOR BAHRU, 16 Nov – Wira tidak selalu muncul dalam kisah epik, ada juga yang hadir dalam kehidupan biasa, mengurus keluarga, mendidik murid dan tetap mengejar ilmu.

Begitulah perjalanan Dr. Nurul Hilda Adila Jamian, 37, seorang ibu kepada enam cahaya mata dan guru sepenuh masa, apabila beliau berjaya meraih PhD dalam Psikologi Pendidikan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Kejayaan ini lahir daripada tekad yang tidak pernah goyah, sokongan daripada orang tersayang, serta disiplin dan perancangan yang rapi.

Dalam sesi temu bual, Dr. Nurul Hilda Adila berkongsi tentang rutin hariannya yang padat dan penuh cabaran.

Seperti guru lain, beliau memulakan hari dengan menguruskan anak-anak dan bertugas di sekolah. Setiap ruang masa yang berbaki, walaupun sesingkat mana, beliau gunakan untuk meneruskan penyelidikan dan penulisan tesis PhD.

“Setiap saat yang berbaki, saya cuba manfaatkan sepenuhnya sebagai seorang pelajar PhD,” katanya sambil tersenyum.

Dr Nurul Hilda Adila bersama anak-anak yang menjadi sumber kekuatan.
Dr. Nurul Hilda Adila bersama anak-anak yang menjadi sumber kekuatan dan inspirasi sepanjang perjalanan pengajian PhD beliau

Beliau turut menceritakan cabaran mengurus lima daripada enam orang anak yang masih bersekolah rendah, yang aktif dalam pelbagai aktiviti sukan dan kelas tambahan.

Anak sulungnya, yang mempunyai mild autisme dan kini bersekolah menengah dalam aliran perdana, menjadi salah satu pendorong utama beliau untuk menyambung pengajian hingga ke tahap tertinggi ini.

“Saya mahu dia lihat bahawa dalam kesibukan tugas hakiki, saya masih mampu belajar. Saya mahu dia percaya bahawa dia juga mampu lakukan walaupun mengikut caranya sendiri,” tambah Dr. Nurul Hilda Adila.

Di sebalik kesibukan harian, Dr. Nurul Hilda Adila menekankan bahawa hubungan dengan Allah mesti diutamakan.

Beliau berkongsi bahawa kejayaan yang dicapai tidak dapat dipisahkan daripada amalan kerohanian harian, termasuk solat malam, solat Dhuha, bacaan Yassin, Al-Mathurat dan Al-Waqiah, selawat, zikir serta bersedekah walaupun sedikit. “Restu dan doa ibu bapa juga antara asbab kejayaan ini,” ujarnya dengan penuh keinsafan.

Sokongan suami tercinta, Muhammad Ariff Baharudin, memainkan peranan penting sepanjang perjalanan ini.

Beliau bukan sahaja memberi semangat moral tetapi turut membantu memastikan segala urusan rumah tangga dan pengurusan anak-anak berjalan lancar tanpa mengganggu pengajian Dr. Nurul Hilda Adila.

“Beliau sentiasa mempercayai kebolehan saya melebihi diri saya sendiri. Tanpa beliau, mungkin saya bukan sesiapa dan tidak berdiri di pentas konvokesyen hari ini,” katanya penuh haru.

Dr Nurul Hilda Adila bersama suami tersayang, En Muhammad Ariff bin Baharudin.
Dr. Nurul Hilda Adila bersama suami tersayang, Muhammad Ariff Baharudin, yang menjadi tonggak sokongan sepanjang perjalanan akademik beliau

Selain itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyelia, Dr. Mohd Rustam Mohd Rameli, dan Prof. Madya Dr Zakiah Mohamad Ashari, yang sentiasa memahami kesibukan beliau sebagai guru, isteri dan ibu.

“Saya sangat bersyukur dikurniakan penyelia yang sangat memahami dan sering memberi tunjuk ajar tanpa kira masa,” jelas beliau.

Dr Nurul Hilda Adila bersama penyelia beliau.
Dr. Nurul Hilda Adila bersama penyelia beliau, Dr. Mohd Rustam Rameli, yang sentiasa memberi bimbingan dan dorongan sepanjang perjalanan PhD

Apabila ditanya tentang nasihat kepada wanita yang ingin menyambung pengajian, jawapannya ringkas tetapi penuh makna.

“Niat kerana Allah. Tanamkan tekad. Uruskan masa. Berdisiplin. Terus melangkah tanpa putus asa sehingga ke garisan penamat,” kata beliau dengan yakin.

Dr. Nurul Hilda Adila percaya bahawa ilmu psikologi yang dipelajarinya bukan sahaja penting untuk diri sendiri tetapi juga membolehkan beliau menjadi pendidik yang lebih memahami murid dan mengoptimumkan potensi mereka.

Dr Nurul Hilda bersama (dari kiri) ayah, penyelia dan suami yang menjadi sumber semangat.
Dr. Nurul Hilda Adila bersama ayah, penyelia, dan suami yang menjadi sumber semangat utama sepanjang perjalanan pengajian PhD

Hari ini, beliau berdiri di pentas konvokesyen UTM bukan hanya sebagai penutup sebuah perjuangan, tetapi juga bukti bahawa kejayaan tidak mengira usia, latar belakang atau jumlah tanggungjawab seseorang.

Kisah beliau menjadi saksi bahawa apabila usaha disertai doa, disokong keluarga dan dibimbing oleh insan-insan berilmu, kejayaan pasti menjadi milik mereka yang tidak berputus asa.

Di akhir temu bual, beliau menutup dengan ucapan yang sarat emosi, “Terima kasih semua kerana menjadi sebahagian daripada cerita indah dalam perjalanan PhD saya.”

Explore More

UTM Open Day