December 10, 2025

Graduan Perlu Miliki “Grit” dan “Resilience” untuk Hadapi Dunia Sebenar – Pro-Canselor UTM

JOHOR BAHRU, 17 Nov – Para graduan perlu memiliki grit dan resilience sebagai teras jati diri untuk berjaya dalam dunia sebenar yang penuh cabaran, tegas Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Profesor Emeritus Ir. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Ghazali, Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dalam ucapan beliau pada Sesi Keempat Majlis Konvokesyen ke-69 hari ini.

“Graduan UTM yang hebat bukanlah yang tidak pernah gagal, tetapi yang terus berjuang walaupun diuji. Itulah makna sebenar grit dan resilience,” ujar beliau dalam amanat yang disampaikan di Dewan Sultan Iskandar.

Beliau menjelaskan bahawa grit—yang merangkumi ketabahan, keazaman dan kecekalan—serta resilience—daya tahan dan kebingkasan—adalah gabungan nilai yang membentuk jati diri profesional yang mampu bangkit daripada kesukaran. “Anda semua telah melalui pelbagai cabaran yang menjadikan anda lebih matang dan bersedia untuk menghadapi dunia sebenar,” katanya.

Tan Sri turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan universiti atas pencapaian UTM yang kini berada pada kedudukan ke-153 QS World University Rankings 2026 serta ke-25 di Asia, kedudukan terbaik dalam sejarah UTM. Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai kejayaan bersama seluruh warga universiti. “Ini bukan kejayaan satu individu tetapi kejayaan seluruh warga UTM yang bekerja dengan penuh integriti dan komitmen,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembelajaran sepanjang hayat kini menjadi keperluan untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang sentiasa berubah. “Dunia sentiasa berubah, dan hanya mereka yang terus belajar akan kekal relevan. Sertailah bengkel, seminar dan teruskan membaca,” katanya sambil menggalakkan graduan untuk memanfaatkan program Open and Distance Learning (ODL) UTM bagi meningkatkan kemahiran.

Beliau turut menekankan pentingnya integriti sebagai asas profesionalisme. “Jujur, amanah dan bertanggungjawab adalah nilai asas seorang profesional. Peliharalah etika kerana inilah jati diri sebenar seorang insan berilmu,” tegasnya.

Dalam nada menyentuh hati, Tan Sri mengajak graduan menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan keluarga yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka. “Sebaik selesai majlis ini, pergilah dan ucapkan terima kasih kepada ibu bapa anda. Mohonlah restu mereka kerana doa merekalah yang menjadikan hari ini satu kenyataan,” katanya.

Beliau menutup ucapan dengan seruan agar para graduan menjadi insan bermanfaat kepada masyarakat dan negara. “Hari ini anda diraikan, tetapi esok bangsa dan negara menunggu khidmat anda. Jadilah individu yang bukan sahaja berjaya, tetapi juga bermanfaat,” pesan beliau mengakhiri ucapan.

Explore More

UTM Open Day